Penjagaan yang rapi dan sempurna dari pelbagai aspek amat penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan bagi pesakit strok. Oleh kerana proses penyembuhan pesakit strok adakala mengambil masa yang panjang, peranan penjaga pesakit strok adalah amat penting. Ikuti 6 panduan berikut: LANGKAH 1 Pastikan pesakit strok mengambil diet yang seimbang dan pelbagai agar dapat memenuhi keperluan nutrien harian. Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang amat penting untuk membantu proses penyembuhan mereka. Pengambilan makanan harian pesakit mestilah mengandungi karbohidrat kompleks, protein, lemak, serat dan jumlah cecair yang mencukupi mengikut keperluan harian setiap individu. Serat boleh didapati daripada nasi beras perang, buah-buahan, sayur-sayuran serta kekacang. Pastikan bancuhan susu khas mengikut sukatan yang di sarankan oleh pegawai dietetik anda LANGKAH 2 Kurangkan penyediaan makanan yang kaya dengan lemak dan minyak kerana ia boleh meningkatkan plak lemak di dalam arteri (saluran darah). Kurangkan juga penyediaan makanan yang tinggi kandungan gula dan garam kerana boleh meningkatkan risiko strok berulang. Di samping itu, hadkan penggunaan santan, minyak masak, sos salad dan juga krim ketika menyediakan makanan untuk pesakit strok. LANGKAH 3 Bagi penyediaan makanan, utamakan makanan yang dimasak dengan kaedah masakan yang sihat seperti mengukus, merebus, dan memanggang berbanding makanan yang digoreng. Ketuhar gelombang mikro dan ketuhar juga boleh digunakan sebagai kaedah memasak. LANGKAH 4 Bagi pesakit yang mempunyai masalah dalam pengambilan makanan pejal, pengubahsuaian diet perlu dilakukan. Pesakit boleh mengambil makanan lembut, makanan yang dicincang, makanan yang dikisar atau minuman diet lengkap (full liquid diet). Pilihan diet ini adalah mengikut kesesuaian setiap pesakit. Sudu dan straw khas boleh digunakan untuk membantu pesakit mengambil makanan mengikut kesesuaian dan keadaan pesakit. LANGKAH 5 Bagi pesakit strok yang mempunyai masalah untuk menelan, pengambilan makanan secara enteral (melalui tiub nasogastrik) boleh diberikan bagi memenuhi keperluan pemakanan harian. Bagi memastikan pesakit yang menggunakan tiub mendapat makro dan mikro nutrien yang mencukupi, pemilihan produk yang berasaskan susu yang bersesuaian adalah penting. Keluarga pesakit boleh berjumpa dengan Pegawai Dietetik yang berhampiran untuk membantu dalam pengiraan jumlah hidangan/kekerapan dan keperluan cecair untuk memastikan keperluan pesakit dipenuhi, dan pada masa yang sama Pegawai Dietetik boleh memberi tunjuk ajar dalam penyediaan bancuhan yang betul bagi memastikan pesakit mendapat nutrien yang diperlukan. Bagi pesakit yang diberi makan melalui tiub, pengambilan makanan yang dikisar tidak sesuai diberikan dalam jangka masa yang panjang bagi mengelak berlakunya kekurangan zat makanan. Ini kerana pencairan makanan perlu dilakukan untuk memastikan makanan tersebut dapat melalui tiub yang akan menjejaskan kandungan nutrien makanan tersebut. Bagi memastikan pesakit mendapat nutrien yang mencukupi, pengambilan minuman diet lengkap adalah disyorkan. LANGKAH 6 Bagi memastikan tahap kesihatan pesakit sentiasa terjamin, aspek kebersihan perlu diberi perhatian. Pastikan anda membasuh tangan sebelum dan selepas memberi makanan dan ubat-ubatan kepada pesakit. Di samping itu, pastikan juga segala peralatan dan perkakasan yang digunakan dicuci dengan bersih.Pembersihan tiub perlu dilakukan dengan mengalirkan air masak melalui tiub dalam anggaran 30 ml sebelum dan selepas pemberian susu formula Dengan penjagaan yang rapi, pengambilan diet yang sesuai dan seimbang boleh membantu proses penyembuhan pesakit strok. |
|
---|