Pengenalan
Tulang belakang membantu menyokong badan berkedudukan tegak.
Setiap orang mempunyai bengkokkan semula jadi di mana sedikit daripada bengkokkan itu diperlukan untuk mengimbangi kedudukan badan, bergerak dan berjalan dengan sempurna.
Apakah skoliosis?
Ia adalah satu keadaan di mana tulang belakang membengkok secara berlebihan pada arah yang tidak betul.
Istilah skoliosis diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘bengkok’.
Melalui X-ray tulang belakang akan kelihatan seperti huruf S atau C yang sepatutnya kelihatan lurus.
Siapakah yang menghidap skoliosis?
Kanak-kanak
‘Infantile scoliosis’ – Berlaku pada kanak-kanak berumur di bawah 3 tahun. Mungkin disebabkan oleh:
- Kecacatan sejak lahir
- Penyakit saraf dan otot (distropi otot atau cerebral palsy)
- Kecederaan
- Jangkitan
- Ketumbuhan
‘Juvenile scoliosis’ – Berlaku pada kanak-kanak berumur 3 – 10 tahun. Ia jarang berlaku.
Remaja
‘Adolescent idopathic scoliosis’ – skoliosis yang tidak di ketahui puncanya. Ia terjadi selepas seseorang itu berumur lebih daripada 10 tahun dan kerap di temui.
Dewasa
Skoliosis dewasa berpunca daripada penyakit yang dihadapi semasa kanak-kanak tetapi gagal di kesan atau di rawat pada peringkat awal.
Selalunya ia bermula dengan keabnormalan yang sederhana dan akan menjadi lebih teruk kerana tidak dirawat. Boleh juga berlaku akibat dari proses penuaan.
Faktor keturunan
Jika ada ahli keluarga mendapat skoliosis kemungkinan ahli keluarga yang lain menghidapi skoliosis agak tinggi iaitu hampir 20%.
Jika ada ahli keluarga yang mengalami masalah pembengkokan tulang belakang yang tidak normal, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Punca-punca skoliosis
Kebanyakannya tidak di ketahui. Kebanyakan kes-kes berlaku sejak lahir akibat kecacatan tulang belakang kongenital. Ia tidak berpunca dari:
- Duduk membongkok
- Duduk dalam keadaan janggal
- Tidur di atas tilam lama atau nipis
Skoliosis selalunya lebih menonjol atau menjadi lebih teruk semasa fasa pertumbuhan mendadak di alam remaja.
Gejala
Selalunya tidak sakit pada usia remaja dan belia. Kesakitan selalunya berlaku ketika alam dewasa jika tidak di rawat. Aduan utama pesakit adalah kecacatan bentuk badan. Tanda-tanda lain termasuk:
- Penstrukturan otot belakang yang tidak sama rata
- Penonjolan tulang bahu
- Aras pinggul dan bahu yang tidak sama antara kanan dan kiri
- Kedudukan atau saiz payudara yang tidak sama
- Panjang jarak tangan di sisi badan kiri dan kanan tidak sama
- Baju yang dipakai kelihatan senget
Jika dibiarkan tanpa rawatan: Skoliosis dewasa yang teruk akan menyebabkan:
- Sakit belakang yang berpanjangan
- Kecacatan bentuk badan
- Kesukaran bernafas
Rawatan
Bagi kes skoliosis ringan, pemerhatian berkala akan dibuat oleh doktor sehingga tahap kematangan tulang hampir sempurna.
- Doktor akan memeriksa perkembangannya untuk memastikan pembengkokan tulang belakang tidak menjadi teruk
- Pesakit akan diminta untuk rawatan ulangan setiap 3 ke 6 bulan
Peralatan khas untuk menyokong tulang belakang (“Bracing”)
- Matlamat utama adalah untuk menghalang tulang belakang menjadi lebih bengkok
- Doktor akan mencadangkan untuk memakai peralatan khas (braces) yang sesuai
Pembedahan
- Akan dicadangkan kepada pesakit yang mengalami skoliosis yang teruk
- Pembedahan memerlukan penanaman tulang yang diambil daripada tulang pinggul dan rusuk
- Skru, wayar dan besi khas akan digunakan untuk meluruskan kembali tulang belakang tersebut
- Selepas pembedahan pesakit boleh berjalan tanpa memakai “braces” badan hari ke-2 atau ke-3
- Pesakit akan dibenarkan pulang dalam masa seminggu, seterusnya boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa
- Bersukan dibenarkan selepas 6 ke 9 bulan selepas pembedahan
Petua-petua untuk ibu bapa mengesan skoliosis di peringkat awal:
Skoliosis yang tidak di ketahui puncanya (“idiopathic scoliosis”) selalunya gagal dikesan pada kanak-kanak kerana ia tidak sakit pada peringkat awal.
Ibu bapa seharusnya berwaspada dan lebih mengambil berat ketika usia anak menjangkau 8 tahun ke atas. Tanda – tanda yang dapat dilihat pada anak anda:
- Bahu kelihatan tidak sama tinggi
- Salah satu bahagian bahu kelihatan lebih menonjol
- Pinggang kelihatan senget sebelah
- Pinggul kelihatan tinggi sebelah
- Struktur badan membengkok ke arah sebelah sahaja
Jika terdapat salah satu tanda di atas, sila berjumpa doktor dengan segera.
Last Reviewed | : | 27 April 2012 |
Writer | : | Dr. Nazrila Hairizan Nasir |
Translator | : | En. Lely Azhan b. Ab. Aziz |
: | Dr. Norizzati Bukhary bte. Ismail Bukhary | |
Accreditor | : | Dr. Rohayah bte. Ismail |
: | En. Azman bin Mohamed | |
: | Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid | |
Reviewer | : | Dr. Salmah bt. Nordin |
: | Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary |