A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Endometriosis

Endometriosis merupakan salah satu daripada penyakit sakitpuan yang biasa dialami golongan wanita. Hampir satu daripada tujuh wanita pada peringkat umur di antara 30 dan 45 tahun menghidapinya. Endometriosis tidak bersifat kanser dalam tubuh wanita, di mana sebahagian lapisan tisu dalam rahim dijumpai di bahagian lain dalam badan seperti bahagian pelvis iaitu pundi, usus serta organ reproduktif. Ia kerap ditemui di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus.

Sebab-Sebab

Punca sebenar yang menyebabkan keadaan ini masih samar dan tidak jelas. Teori yang biasa dikatakan merujuk kepada ‘retrograde menstruation’ atau pembalikan darah haid di mana sebahagian daripada darah haid mengalir secara terbalik ke arah pembukaan peritoneal melalui saluran fallopio. Sel-sel endometrium akan melekatkan dirinya kepada bahagian berlainan pada pelvis.

Gejala / Tanda

Keadaan-keadaan berikut akan dialami oleh wanita yang menghidap endometriosis;

  1. Haid yang banyak dan tidak teratur
  2. Senggugut (sakit semasa haid)
  3. Sakit semasa hubungan seks
  4. Sakit di bahagian pelvis dan bawah abdomen (pertengahan haid)
  5. Boleh mendatangkan kesan kepada keupayaan wanita untuk hamil

Bagaimanapun ada wanita yang menghidap endometriosis tidak mengalami sebarang simptom. Penting untuk diingatkan bahawa tahap kesakitan yang dialami tidak berkait dengan pertumbuhan endometriosis. Terdapat wanita yang tidak merasa sakit walaupun ketumbuhan endometriosisnya banyak tetapi ada juga wanita yang mana ketumbuhannya sedikit merasa kesakitan yang teruk.

Sewaktu haid, ketumbuhan endometriosis juga akan gugur seperti mana lapisan uterus gugur sebagai tindakbalas terhadap hormon dalam kitaran haid. Bagaimanapun, tidak seperti lapisan uterus, ketumbuhan ini tidak akan keluar dari tubuh badan. Jika wanita itu hamil atau mengalami menopause, ketumbuhan ini akan mengecil dan kesakitan akan berkurangan.

Diagnosa

Ketumbuhan endometriosis ini biasanya dapat dikesan selepas doktor mengambil sejarah perubatan dan pemeriksaan lanjut pada bahagian pelvis dengan teliti. Ia boleh didiagnosis dengan tepat melalui pembedahan laparoskopi (key hole surgery) di mana satu peralatan khas digunakan untuk mengesan tisu tersebut dalam pelvis.

Rawatan

Rawatan perubatan atau pembedahan bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi. Tujuan rawatan diberikan adalah untuk;

  1. Mengurangkan kesakitan dan simptom lain
  2. Menghalang ketumbuhan daripada membesar atau berulang di masa depan
  3. Mengekalkan kesuburan bagi wanita yang tidak berupaya untuk hamil
  4. Menjamin fungsi reproduktif untuk kehamilan seterusnya

Rawatan bagi endometriosis dalah bertujuan untuk mengurangkan tahap estrogen dan progesterone wanita yang meransang ketumbuhan endometriosis. Ubat yang biasa digunakan adalah pil kontraseptif oral, hormon progesterone dengan dos tinggi dan hormon tiruan lelaki seperti danazol. Pilihan rawatan perubatan yang terbaru adalah analog GnRH (Hormon pembebasan Gonadotropin). Ia merupakan suntikan yang diambil setiap bulan atau tiga bulan bagi mengawal penghasilan estrogen dengan menggalakkan ‘menopause-induced’. Tempoh masa yang diberikan boleh berlanjutan sehingga 6 bulan.

Rawatan pembedahan boleh dilakukan samada secara laparoskopi atau pembedahan biasa. Pembedahan ini boleh bersifat rekonstruktif (pembuangan endometriosis dan pemulihan organ yang dijangkiti) di mana kesuburan perlu dikekalkan. Ia juga boleh menjadi ablasi (pembuangan rahim dan kadangkala ovari) untuk mengurangkan kesakitan yang teruk pada wanita selepas kaedah-kaedah rawatan yang dinyatakan sebelum ini teah menemui kegagalan. Penyakit endometriosis memberikan kesan yang berlainan kepada setiap individu. Sebaik-baiknya pemilihan rawatan bagi endometriosis haruslah mengikut keperluan dan kepentingan wanita berkenaan.

Komplikasi

Kesan sampingan daripada rawatan dengan suntikan GnRH ini termasuklah rasa panas dan tidak selesa (‘hot flushes’), kurang keinginan nafsu syahwat (libido) dan kekeringan vagina. Terapi rawatan mungkin menyebabkan sedikit kerapuhan tulang tetapi keadaan ini akan berkurangan atau sembuh selepas habis rawatan. Namun harus diingatkan dan dijelaskan di sini bahawa penyakit ini boleh berulang selepas rawatan diberikan. Oleh itu terapi yang berterusan perlu bagi wanita yang mengikuti rawatan ini serta tidak merancang untuk hamil.

Pengkelasan Endometriosis

Peringkat I (Sedikit) Peringkat II (Sederhana)
Peringkat III (Pertengahan) Peringkat III (Pertengahan)
Peringkat IV (Teruk) Peringkat IV (Teruk)

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Kannappan a/l AL Palaniappan
Penyemak : Dr. Haris Njoo Suharjono

 

Related Article

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 229,799,421

LAST UPDATE :
2024-10-28 09:55:55
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia