A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. PRIME YEARS
  4. /
  5. Reproductive Health
  6. /
  7. Hubungkait Antara Tekanan Emosi...

Hubungkait Antara Tekanan Emosi Dan Hasil IVF

Apa itu tekanan emosi?

Salah satu penyakit psikologi yang melibatkan kemurungan yang serius kepada individu lelaki atau pun wanita.

Ia merangkumi rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, atau  putus harapan, hilang semangat, konflik, tekanan untuk meneruskan kehidupan  yang bermakna dan gembira. Kehidupan dirasakan sunyi dan kosong.

Gejala ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.

Kebiasaannya, mereka yang terlibat perlu diberi rawatan perubatan dan bantuan psikoterapi  dan kaunseling seawal mungkin bagi mengelakan tekanan emosi ini menjadi semakin serius.

Apakah hubungan antara tekanan dan kemandulan?

Kebanyakan pasangan yang mengalami masalah kemandulan akan menerima tekanan yang berat dari segi peribadi, sosial , keluarga, dan kewangan.

Tekanan boleh merencat rembesan hormon gonadotropin. Apabila tekanan berlebihan dan berpanjangan boleh menyebabkan gangguan kitaran haid termasuk tidak berlakunya ovulasi dan tiada haid (amenorea).

Begitu juga pada lelaki, keupayaan untuk menghasilkan sperma mungkin berkurang.

Oleh itu, ia adalah jelas bahawa tekanan boleh menyebabkan kurang kesuburan dan begitu juga disebaliknya.

Kenapa tekanan emosi selalu dialami oleh pesakit IVF?          

  1. Mereka yang diselubungi perasaan rendah diri, menganggap diri tidak cukup sifat dan gagal dalam hidup
  2. Sesetengah pasangan meletakkan kejayaan memperolehi zuriat sebagai satu prasyarat kebahagian rumah tangga, malah ada yang takut gagal apabila menjalani rawatan serta malu untuk berdepan dengan masyarakat.
  3. Harapan pesakit adalah tinggi tetapi hasilnya lebih kerap menemui kegagalan daripada kejayaan dalam setiap pusingan rawatan. Rawatan ini memerlukan komitmen emosi yang tinggi kerana ianya merupakan rawatan yang tidak menjamin kejayaan seratus peratus.
  4. Sudah menjadi budaya  masyarakat dan harapan keluarga bila sudah berumahtangga mesti mempunyai cahaya mata.
  5. Tambahan pula, rawatan ini  membabitkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang agak lama.
  6. Mengalami  trauma yang tidak dapat diterima oleh pesakit  antaranya kehilangan orang yang penting dalam kehidupan secara mendadak (meninggal dunia atau berpisah) dan pesakit tidak bersedia untuk menghadapi keadaan tersebut. Kebiasaannya mereka adalah orang yang amat dikasihi, disayangi atau dicintai, kehilangan maruah diri  tanpa kerelaan hati (mangsa perkosaan / sumbang mahram)
  7. Mengalami penyakit kronik dan berpanjangan yang menyebabkan pesakit hilang keupayaan diri. Fungsi diri terbatas dan tidak boleh menjalankan peranan kehidupan yang sewajarnya (peranan sebagai isteri/suami/ahli keluarga).
  8. Mengalami masalah yang tidak mampu diatasi dan ia menjadi bebanan kehidupan (contoh : kegagalan dalam kerjaya/ kegagalan dalam rumahtangga) / tekanan di tempat kerja)

Apa kesan tekanan emosi kepada IVF?

  1. Gangguan pada telur menyebabkan telur tidak matang.Tekanan yang berlebihan boleh menyebabkan hormon tidak seimbang, secara langsung ia menyebabkan seseorang wanita menghadapi masalah telur tidak matang, gangguan dalam proses ovulasi dan gangguan proses luteinisation (process dimana folikel membentuk corpus luteum). Maka keseimbangan hormon adalah penting ke arah mendapatkan kehamilan.
  2. Peningkatan atau pengurangan berat badan secara drastik. Keseimbangan hormon juga boleh terganggu apabila mempunyai berat badan yang terlalu kurang atau terlalu berat, mengalami perubahan besar dalam berat badan dalam masa yang singkat kerana melakukan aktiviti fizikal yang keterlaluan. Gangguan disebabkan kelenjar thyroid tidak berfungsi dengan baik atau  disebabkan perembesan hormon prolaktin. Terganggu disebabkan kesan dari sesetengah ubat dan juga tekanan perasaan yang dialami.
  3. Masalah gangguan sperma yang tidak matang. Kebanyakkan masalah yang melibatkan kaum lelaki ialah tidak dapat menghasilkan sperma yang normal dan bergerak. Kualiti air mani yang normal apabila terdapat lebih 15  juta sperma dalam setiap 1 mililiter (ml) air mani dan mempunyai bentuk yang normal sekurang-kurangnya 4% dan sekurang-kurangnya boleh mencapai 32% dari pada sperma tersebut yang boleh bergerak dengan betul. Jika nilai tersebut tidak dapat dicapai, kemampuan sperma untuk melakukan proses persenyawaan adalah rendah.

Cara penyelesaian            

  1. Isteri dan suami perlu mempunyai pengetahuan mengenai kemandulan dan rawatannya. Lebih banyak anda tahu dan faham tentang proses , tekanan semakin berkurangan. Mencari artikel dan bahan bacaan lain mengenai IVF. Ambil kesempatan daripada sumber-sumber daripada pusat rawatan anda, dan bercakap kepada orang lain yang telah melalui IVF.
  2. Belajar untuk memberi tumpuan kepada faktor-faktor yang berada di dalam  kawalan anda (contohnya, berhenti merokok) dan tidak mempunyai kawalan (contohnya , umur anda). Seterusnya berbincang dengan pasangan masing- masing untuk menangani masalah kemandulan.
  3. Dapatkan bantuan segera dari pakar psikologi ,kaunselor atau orang-orang yang berkebolehan. Jangan tunggu sehingga semua  simtom tekanan perasaan tersebut berlaku.  Keadaan ini mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan.
  4. Sentiasa hargai, sayangi, dan jaga diri sendiri. Bantulah diri sebaik mungkin dengan  mendekatkan diri  kepada Tuhan, pasrahkan diri dan redha  dengan ketentuanNya.  Keredhaan dan keikhlasan itu adalah penawar. Tuhan akan memberi yang terbaik, selagi kita memohon kepadaNya. Akan ada hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Yakinkan diri kita.
  5. Elakkan bersendirian. Berhubunglah dengan rakan taulan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan.Jika harus bersendiri banyakkan ibadat dan mengingati Tuhan dengan berzikir.
  6. Jika terasa ingin menangis, menangislah untuk menghilangkan  sebak di dada. Menangis adalah fitrah manusia.  Apa yang perlu dielakkan adalah menangis dengan ratapan. Ratapan boleh melemahkan perasaan atau semangat.
  7. Kuatkan semangat dengan mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kita kepada orang lain. Pada keluarga, rakan taulan, rakan sekerja, dan orang –orang lain yang memerlukan kita. Jika kita  terperangkap dengan kemurungan, ia akan memberi kesan kepada mereka.
  8. Membaca buku-buku yang boleh membina semangat dan motivasi diri.
  9. Jangan menyalahkan diri dan menghukum diri kerana kelemahan yang berlaku.
  10. Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membuatkan anda rasa selesa dan tenang seperti kelas pengurusan stress, mendengar pita bersantai dan lain-lain teknik minda dan badan.
  11. Tingkatkan kesihatan diri dengan mengambil makanan yang sihat dan teratur.
  12. Senaman secara tetap dan mengekalkan berat badan yang sihat adalah dua  gaya hidup yang boleh membantu.
  13. Bersedia untuk membuat keputusan adalah penting untuk menjangka keputusan yang mungkin berlaku semasa IVF dan membincangkan pilihan anda terlebih dahulu.Kadang-kadang keputusan ini boleh membawa implikasi moral dan agama yang anda perlu mempertimbangkan dan berbincang. Kaunseling boleh membantu anda dalam meneroka isu-isu ini dan disyorkan dalam garis panduan rawatan Perubatan Reproduktif.
  14. Memudahkan komunikasi dengan pasangan anda dengan menetapkan jumlah masa yang terhad untuk bercakap tentang IVF, seperti 20 minit sehari, dan  elakan bercakap tentang kemandulan.
  15. Rakan-rakan dan keluarga boleh menjadi sokongan terbaik anda.

Rujukan

  1. American Fertility Association. Emotional and Psychological Obstacles to IVF
  2. Boivin J, Griffiths E, Venetis CA. “Emotional distress in infertile women and failure of assisted reproductive technologies: meta-analysis of prospective psychosocial studies.” BMJ. 2011 Feb 23;342:d223.
  3. Bouwmans CA1, Lintsen BA, Al M, Verhaak CM, Eijkemans RJ, Habbema JD, Braat DD, Hakkaart-Van Roijen LAbsence from work and emotional stress in women undergoing IVF or ICSI: an analysis of IVF-related absence from work in women and the contribution of general and emotional factors. Acta Obstet Gynecol Scand. 2008;87(11):1169-75
  4. Donarelli Z1, Lo Coco G, Gullo S, Marino A, Volpes A, Allegra A. Are attachment dimensions associated with infertility-related stress in couples undergoing their first IVF treatment? A study on the individual and cross-partner effect. Hum Reprod. 2012 Nov;27(11):3215-25.
  5. S.M.S. Ebbesen, R. Zachariae, M.Y. Mehlsen, D. Thomsen, A. Højgaard, L. Ottosen, T. Petersen, H.J. Ingerslev. Stressful Life Events are Associated with a Poor In-vitro Fertilization (IVF) Outcome: A Prospective Study. Hum Reprod. 2009;24(9):2173-2182.

 

Semakan Akhir : 15 Januari 2015
Penulis : Sardiana bt. Sarmidi
Akreditor : Krishnan a/l Kanniah

 

Related Article

Endometriosis

Endometriosis merupakan salah satu daripada penyakit sakitpuan yang biasa dialami

Dyspareunia

Apa dyspareunia? Bermaksud sakit yang dialami sebelum, semasa atau selepas

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 229,799,258

LAST UPDATE :
2024-10-28 09:55:55
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia