Adakah saya sihat?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya sekadar bebas dari segala penyakit atau ketidakupayaan.Anda boleh membuat beberapa ujian atau saringan untuk mengetahui adakah anda sihat atau tidak.
Apakah itu ujian saringan?
Ujian saringan adalah ujian atau penilaian untuk mengesan awal penyakit atau keadaan luarbiasa bagi memudahkan rawatan.
Sebagai contoh, jika kita dapat mengesan lebih awal penyakit darah tinggi atau kencing manis, kita boleh mengawal keadaan tersebut untuk mengelakkan komplikasi seperti angin ahmar dan serangan penyakit jantung.
Untuk menilai kesihatan fizikal, anda dinasihatkan untuk membuat ujian saringan berikut di klinik kesihatan:
- Kegemukan (Obesiti)
- Tekanan Darah Tinggi
- Kencing Manis
- Paras kolesterol dalam darah
Klik disini untuk menilai risiko kesihatan anda!!!
Mengapakah saya harus membuat ujian saringan untuk keadaan tersebut?
Penyakit jantung, angin ahmar dan kanser (barah) adalah faktor utama kemasukan ke hospital dan kematian.
Kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko yang utama untuk penyakit jantung dan angin ahmar. Mengawal keadaan tersebut boleh mengelakkan atau mengurangkan kadar kejadian serangan jantung dan angin ahmar.
Bagaimana untuk membuat ujian saringan?
Keadaan | Apa yang perlu dibuat/ujian yang dijalankan |
Kegemukan | Berat dan tinggi untuk mengira Indek Jisim Badan (IJB) |
Tekanan darah tinggi | Tekanan darah |
Kencing manis | Paras gula dalam darah |
Kolesterol yang tinggi | Paras kolesterol dalam darah |
Bilakah saya perlu membuat ujian saringan?
Anda digalakkan mengikut panduan di bawah:
Ujian | 20 – 34 tahun | 35 – 59 tahun |
---|---|---|
Berat dan tinggi untuk IJB | Sekurang-kurangnya 6 bulan sekali | Sekurang-kurangnya 6 bulan sekali |
Tekanan darah | Sekurang-kurangnya 1 tahun sekali | Sekurang-kurangnya 1 tahun sekali |
Paras gula dalam darah | Lakukan ujian glukos rawak atau berpuaas setahun sekali | Pemeriksaan rambang atau berpuasa untuk gula dalam darah sekurang-kurangnya 1 tahun sekali |
Paras kolesterol dalam darah | Sekali setahun | Setahun sekali |
Dimanakah saya boleh mendapatkan ujian tersebut?
Semua klinik kesihatan kerajaan, klinik swasta, hospital swasta dan makmal swasta menyediakan ujian tersebut.
Siapakah yang perlu saya rujuk sekiranya ujian saya luarbiasa?
Jumpa doktor di premis kesihatan yang berdekatan.
Apakah yang harus saya buat lagi untuk memastikan saya sentiasa sihat?
- Makan secara sihat – Pelbagaikan pemilihan makanan. Makan mengikut keperluan aktiviti fizikal anda.
- Sentiasa aktif– Sentiasa aktif setiap hari. Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu (tahap senaman intensity moderate). Ia dapat mengekalkan IJB dan meningkatkan tahap kecergasan.
- Tidak merokok – Merokok boleh merosakkan paru-paru dan menambah risiko serangan jantung, angin ahmar dan kanser (barah). Sekiranya anda merokok, cuba berhenti. Sila rujuk doktor anda.
- Menangani tekanan (stres) – Kawal perasaan marah untuk mengurangkan tekanan.
Semakan Akhir | : | 26 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Othman Warijo |
Dr. A. Khalek Abd Rahman | ||
Ali bin Puteh | ||
Penyemak | : | Dr. Sri Wahyu Taher |