Apakah jangkitan Chlamydia?
- Ia merupakan sejenis penyakit kelamin yang paling kerap dialami
- Ia disebabkan oleh bakteria Chlamydia trachomatis.
- Bakteria ini merebak melalui hubungan seks atau sentuhan oral-genital
- Ia juga boleh merebak melalui ibu kepada bayi semasa proses kelahiran
Bagaimana anda tahu anda dijangkiti Chlamydia ?
- Anda mungkin tidak sedar bahawa anda telah dijangkiti kerana tidak mengalami sebarang tanda/gejala.
- Apabila dijangkiti, tanda/gejala mungkin timbul selepas 1 hingga 3 minggu kemudian.
Tanda/gejala jangkitan Chlamydia termasuk :
- Mengeluarkan lelehan dari vagina dan saluran kencing
- Sakit semasa kencing
- Bagi wanita, sakit dibahagian bawah abdomen
- Bagi wanita, sakit semasa hubungan seks
- Pendarahan antara kitaran haid
- Bengkak dibahagian buah zakar bagi lelaki
- Demam serta sakit kepala dan sakit badan
- Jangkitan mata, jika lelehan badan tersentuh pada mata
Jika tidak dirawati:
- Bagi wanita, ia akan menyebabkan penyakit radangan pelvik yang akan mengakibatkan kemandulan.
- Bagi lelaki, ia boleh menyebabkan radang pada saluran kencing dan epididimis.
- Jangkitan mungkin merebak dari ibu ke bayi semasa proses kelahiran.
- Jangkitan pada bayi boleh mengakibatkan radang paru-paru dan radang mata (conjunctivitis).
Bagaimana penyakit Chlamydia dirawat?
Jika anda mengesyaki anda dijangkiti Chlamydia, dapatkan rawatan doktor :
- Doktor akan memeriksa anda dan mengambil lelehan dari vagina atau penis untuk dianalisa.
- Jika positif, doktor akan memberi antibiotik secara oral selama seminggu.
Bagaimana penyakit Chlamydia dicegah?
Chlamydia dapat dicegah melalui :
- Cara yang paling baik adalah dengan mengelakkan diri dari hubungan seks.
- Jika anda berumur 16 tahun ke bawah, menjalin hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali anda telah berkahwin.
- Undang-undang Malaysia menyatakan bahawa perhubungan seks dengan remaja perempuan yang berumur 16 tahun dan ke bawah, samada dengan persetujuan atau tidak, akan mengakibatkan lelaki berkenaan disabitkan kesalahan merogol.
- Jika anda aktif melakukan hubungan seks, amalkan hubungan seks yang selamat.
- Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar pasangan.
- Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Chlamydia, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
- Elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda
Semakan Akhir | : | 27 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Hargeet Kaur A/P Basant Singh |
Penyemak | : | Datin Dr. Hjh. Zil Falillah bt. Hj. Mohd. Said |