A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Antiepileptik (Sawan)

Pengenalan

Epilepsi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh perubahan cas elektrik yang tidak terkawal secara tiba- tiba pada bahagian otak dan mengganggu fungsi sistem saraf yang normal. Ini menyebabkan penghidapnya mengalami sawan berulang kali atau tidak sedarkan diri dan tidak dapat mengawal pergerakan badan secara tiba-tiba. Kebiasaannya, epilepsi di rawat dengan menggunakan ubat antiepileptik atau ubat sawan.

Pemilihan ubat antiepileptik.

Terdapat pelbagai jenis ubat antiepileptik yang terdapat di Malaysia. Antaranya ialah carbamazepine, lamotrigine, sodium valporate, levetiracetam, topiramate, phenytoin, gabapentine, clonazepam, dan phenobarbitone. Faktor –faktor yang akan dipertimbangkan untuk memulakan rawatan ubat antiepileptik adalah seperti berikut :

  1. Jenis epilepsi yang dialami

  2. Kemungkinan kesan sampingan

    Antara kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit yang mengambil ubat antiepileptik adalah seperti; sakit kepala, pening, mengantuk, lemah badan, kurang kawalan otot, letih dan ketidakseimbangan pergerakan.

  3. Kehamilan

    Pesakit wanita adalah dinasihatkan untuk merancang kehamilan dengan baik agar risiko serangan sawan kepada pesakit dan kesan sampingan ubat kepada bayi dalam kandungan dapat dielakkan. Pengambilan pil kontraseptif ( pil perancang) bersama ubat antiepileptik boleh menyebabkan interaksi ubat berlaku yang mana kemungkinan pil perancang menyebabkan paras ubat antiepileptik dalam darah berkurang seterusnya akan meningkatkan risiko serangan sawan. Selain daripada itu, beberapa ubat antiepileptik juga boleh mengurangkan kesan pil kontraseptif yang mungkin akan menyebabkan kehamilan yang tidak dirancang seperti carbamazepine, lamotrigine, phenytoin dan topiramate.

  4. Interaksi ubat

    Selain daripada interaksi ubat antiepileptic dengan pil kontraseptif, ada kemungkinan juga untuk berlaku interaksi ubat di antara ubat antiepileptik yang lain sekiranya pesakit mengambil lebih daripada satu jenis ubat antiepileptik, contohnya carbamazepine boleh mengurangkan paras sodium valproate dalam darah yang boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya serangan sawan. Oleh itu, doctor akan mencadangkan pengambilan ubat pada dos yang bersesuaian sekiranya pesakit mengambil lebih daripada satu jenis antiepileptik.

Dos ubat antiepileptik.

Doktor akan memberikan dos ubat antiepileptik yang bersesuaian kepada pesakit berdasarkan faktor – faktor pemilihan yang telah dibuat. Kebiasaannya, pesakit akan diberikan dos ubat yang rendah pada permulaan rawatan dan akan ditingkatkan secara berperingkat sehingga dos pengekalan dicapai iaitu dos di mana ubat antiepileptik tersebut dapat mengawal serangan sawan pesakit.

Perubahan ubat antiepileptik.

Sesetengah pesakit akan merasakan ubat antiepileptik yang diambil tidak lagi dapat mengawal serangan sawan selepas satu tempoh tertentu. Ini mungkin berlaku akibat;

  • Pesakit tidak mengambil ubat secara konsisten
  • Tahap epilepsi pesakit telah berubah
  • Punca penyebab epilepsi pesakit telah berubah
  • Sistem saraf pesakit tidak lagi memberi maklumbalas kepada ubat antiepileptik tersebut

Apabila keadaan ini berlaku, pesakit haruslah segera berjumpa doktor untuk membuat perubahan kepada dos atau jenis antiepileptik yang lebih bersesuaian.

Pemantauan paras ubat dalam darah.

Sesekali, ujian pemantauan paras ubat dalam darah akan dilakukan untuk memastikan pesakit mengambil ubat dengan konsisten atau untuk mengenalpasti sekiranya kesan sampingan adalah disebabkan oleh dos ubat yang terlalu tinggi. Selain daripada itu, pemantauan juga dibuat sekiranya pesakit ingin melakukan sebarang pembedahan atau bagi pesakit wanita yang hamil.

Fakta penting yang perlu diberi perhatian.

Pengambilan ubat antiepileptik secara komplians iaitu dengan pengambilan ubat, dos dan masa yang betul, penting bagi mengelakkan serangan sawan.

Laporkan kepada doktor sekiranya pesakit mengalami sebarang kesan sampingan ubat antiepileptik. alahan kepada jenis ubat tertentu, mengambil ubat – ubatan yang lain atau pil kontraseptif, mengandung atau sedang menyusukan anak.

Berbincang dengan doktor sekiranya pesakit merancang atau sedang mengandung atau sedang menyusukan anak, agar dos ubat antiepileptik dapat diubah mengikut kesesuaian pesakit. Jangan berhenti mengambil ubat antiepileptik semasa mengandung kecuali atas arahan doktor.

Kadar serangan sawan mungkin berubah dari semasa ke semasa akibat perubahan tahap kesihatan yang mungkin disebabkan oleh penuaan, tekanan atau menopaus seterusnya menyebabkan perubahan dos antiepileptik yang diperlukan utnutk mengawal sawan.

Sesetengah ubat antiepileptik boleh menyebabkan kehilangan mineral dari tulang pesakit yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis dan patah tulang. Oleh itu, pesakit digalakkan untuk mengamalkan pemakanan dengan diet tinggi kalsium dan vitamin D; elakkan merokok dan pengambilan alkohol.

Rujukan.

  1. Consensus Guidelines on The Management of Epilepsy. 2010. Epilepsy Council Malaysian Society of Neurosciences
  2. https://www.epilepsy.org.uk
  3. https://patienteducation.osumc.edu
Semakan Akhir : 05 Jun 2013
Penulis : Azrinorwaty bt. Zakaria
Akreditor : Asmalina bt. Mat Ghani

 

Related Article

Ginkgo Biloba

Apa Itu Ginkgo Biloba? Ginkgo Biloba adalah antara salah satu

Paracetamol

Pengenalan Paracetamol atau lebih dikenali dengan pelbagai nama dagang contohnya

Antidiarrheal

What is antidiarrheoal drug? Antidiarrheal drugs are medications used to

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,721,473

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia