A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. PRIME YEARS
  4. /
  5. Disease
  6. /
  7. Hepatoma (Kanser Hati)

Hepatoma (Kanser Hati)

Pengenalan

Hepatoma atau kanser hati adalah salah satu kanser yang semakin ketara hasil daripada program penyaringan kesihatan yang lebih terperinci dalam masa-masa kebelakangan ini. Hepatoma telah di kenal pasti sebagai penyebab kematian bagi 250,000 hingga 1,000,000 individu pada setiap tahun di seluruh dunia. Mengikut kajian, hepatoma menduduki tangga ketiga bagi kematian berpunca dari kanser pada keseluruhannya. Punca utama hepatoma adalah jangkitan kronik hepatitis B dan C (anggaran 80 % daripada keseluruhan kes hepatoma). Kawasan tertinggi merekodkan kes hepatoma adalah kawasan Asia Timur seperti China, Taiwan dan Hong Kong. Malaysia termasuk dalam kawasan pertengahan disamping Indonesia dan Thailand. Perangkaan daripada `National Cancer Registry`, Malaysia terbitan tahun 2004 menunjukkan bahawa kanser hati telah  dikesan pada 2.8/100,000 populasi rakyat  di semenanjung Malaysia dan merupakan salah satu dari 10 kanser utama di golongan lelaki.

Adalah di anggarkan sebanyak 5.24% daripada populasi rakyat Malaysia mengidap penyakit hepatitis B secara kronik dan sebanyak 2% mengidap penyakit hepatitis C secara kronik. Mereka yang mengidap penyakit hepatitis B dan C secara kronik adalah berisiko untuk mendapat hepatoma. . Mereka yang mengidap penyakit hati hepatitis B kronik atau sirosis hati (pembentukan parut di hati daripada pelbagai punca) sangat-sangat berisiko untuk mengidap hepatoma. Berikut adalah golongan pesakit yang berisiko untuk mengidap hepatoma :

  • Pengidap hepatitis B kronik
  • Sirosis hati daripada apa-apa punca.

Gejala/Tanda

Pesakit yang mengidap hepatoma mungkin tidak mempunyai apa-apa simptom pada peringkat awal. Walau bagaimana pun, tanda-tanda berikut mungkin terdapat pada pesakit hepatoma :

  • Sakit di bahagian abdomen terutama bahagian rusuk kanan
  • Keletihan, hilang berat badan dan demam yang kerap
  • Pengesanan pembengkakan hati di bahagian abdomen
  • Jaundice (kuning di bahagian mata dan kulit)
  • Sakit tulang akibat dari penyebaran kanser ke tulang
  • Ascites (pengumpulan cecair akibat sirosis di bahagian abdomen)
  • Pendarahan daripada hepatoma mengakibatkan pendarahan pada cecair ascites

Secara amnya, kemunculan simptom menandakan penyakit mungkin sudah berperingkat lewat. Oleh itu orang yang berisiko untuk menghidap hepatoma seperti diatas adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan denganujian ultrasound skan dan ujian darah alpha feto protein.

Pemeriksaan radiologi lanjutan seperti CT skan atau MRI diperlukan untuk mengesahkan diagnosa hepatoma dan rawatan yang berpatutan

Komplikasi

Pesakit yang mengidap hepatoma mungkin akan mengalami komplikasi berikut :

  • Muntah darah disebabkan oleh pendarahan varices di saluran makan – oesophagus (berpunca dari sirosis atau penyebaran hepatoma kedalam saluran darah))
  • Sakit perut daripada pendarahan dalaman hepatoma
  • Sakit pada bahagian abdomen akibat dari pembesaran hepatoma dan menyebabkan tekanan kepada struktur atau organ berdekatan
  • Jaundice (kekuningan pada mata/kulit akibat daipada tahap bilirubin yang tinggi)
  • Hepatic encephalopathy atau koma akibat kegagalan fungsi hati.

Rajah 1 : Pendarahan varices esophagus


Rajah 2 : Varices esophagus yang telah diikat


Rajah 3 : Distension perut


Rajah 4 : Penyakit kuning

Rawatan

Rawatan bagi hepatoma terbahagi pada beberapa peringkat. Pengesanan awal hepatoma adalah sangat penting kerana rawatan yang akan ditawarkan juga boleh menyembuhkan pesakit tersebut. Andaikata pesakit di kesan pada peringkat akhir, rawatan yang ada akan menjurus kepada rawatan palliatif sahaja. Berikut adalah modaliti bagi rawatan hepatoma (bergantung kepada peringkat hepatoma) :

  • Pembedahan hepatektomi atau pembedahan sebahagian hati yang diserang sel kanser. Cara ini mempunyai kadar sembuh yang tinggi bagi pesakit hepatoma, bergantung pada peringkat hepatoma dan juga keadaan keseluruhan pesakit serta kepakaran yang ada.
  • Pemindahan hati perlu dipertimbangkan sekiranya terdapat hanya satu kancer hati yang berukuran kurang dari 5cm atau kurang dan sama dengan 3c yang tidak boleh dibedah
  • Radiofrequency ablation – penggunaan haba secara radio-frekuensi terus kepada sel kanser di hati yang di jalankan oleh pakar radiologi.
  • Suntikan ethanol secara terus kepada sel-sel kanser yang di jalankan oleh pakar radiologi
  • Kemotherapi – ubatan kemotherapi di suntik terus kepada sel tumour melalui salur darah pesakit oleh pakar radiologi atau dikenali juga dengan istilah TACE (Transarterial chemoembolisation)

Pencegahan

Pesakit yang mengidap hepatoma pada keseluruhannya adalah mereka yang telah pun di kesan mempunyai hepatitis B kronik atau sirosis pada hati. Atas sebab itu kesemua pesakit yang berisiko tinggi seperti pesakit hepatitis B kronik pesakit yang mempunyai sirosis dari punca alkohol atau sebab-sebab lain hendaklah mendapat rawatan susulan dan ujian saringan di klinik pakar. Ahli keluarga pesakit yang di kesan mengidap hepatoma dan pengidap hepatitis B atau C kronik, memerlukan saringan untuk penyakit hepatitis B/C.

Rehabilitasi

Pada amnya, pesakit yang telah menjalani pembedahan hepatektomi atau prosedur di atas akan menjalani program susulan khusus yang akan dinasihatkan oleh doktor yang merawat. Proses pemulihan akan bergantung kepada prosedur yang dijalankan dan keadaan kesihatan pesakit. Pesakit yang telah menjalani pembedahan sepatutnya boleh menjalani rutin harian seperti biasa selepas di akui sihat oleh pakar bedah. Kesemua pesakit ini akan menjalani ujian saringan darah dan skan abdomen secara berkala bagi mengesan penumbuhan balik hepatoma sekiranya ia berlaku kembali.

Rujukan

  1. Data from Malaysian Liver Foundation ( www.liver.org.my )
  2. Data from Malaysian society of gastroenterology and hepatology ( www.msgh.org.my )
  3. Mohamed R, et al. J Gastroenterol Hepatol 2004 : 19 : 958-969
  4. Data from electronic publication ( www.uptodate.com )
  5. Management of hepatocellular carcinoma : an update . Hepatology July 2010
  6. Data from National Cancer Registry , Malaysia ( December 2004 )
  7. EASL-EORTC Clinical Practice Guidelines: Management of hepatocellular carcinoma : Journal of Hepatology 2012
Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Dr. Shamsul Amri Ismail
Akreditor : Dr. Tan Soek Siam
Penyemak : Dr. Hamiza bt. Shahar

 

Related Article

Sinusitis

What are sinuses? Sinuses are air-filled spaces in the skull

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 228,049,315

LAST UPDATE :
2024-07-25 16:00:38
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia