A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Hiperhidrosis

Pengenalan

Hiperhidrosis atau peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan fisiologi badan. Tempat yang paling biasa terjejas adalah tapak tangan (hiperhidrosis palmar; Gambarajah 1&2 ), kaki (hiperhidrosis plantar) dan ketiak (hiperhidrosis axillary). Hiperhidrosis merupakan satu keadaan yang agak biasa dialami oleh semua kaum. Ia mungkin disebabkan faktor keturunan, yang bermula di zaman kanak-kanak atau remaja dan mungkin berterusan selama beberapa tahun. Walaupun ia tidak dikaitkan dengan kematian, ia boleh memberi kesan yang ketara ke atas kualiti hidup pesakit yang mengalaminya.

Gambarajah 1: Tapak tangan kelihatan basah
Gambarajah 2: Keadaan tapak tangan yang basah lebih jelas

Penyebab Hiperhidrosis

Punca sebenar hiperhidrosis masih tidak diketahui. Peluh dihasilkan oleh kelenjar peluh yang terletak di dalam kulit dengan bilangan tertinggi di tapak tangan dan tapak kaki. Aktiviti kelenjar peluh berada di bawah kawalan sistem saraf simpatetik yang mungkin terlalu aktif dalam diri seseorang indidvidu yang mengalami hiperhidrosis.

Terdapat pelbagai cara untuk mengklasifikasikan hiperhidrosis, salah satu daripadanya dibahagikan kepada kategori hiperhidrosis primer (utama) atau sekunder (pertengahan). Bagi hiperhidrosis utama, penyebab asas masih tidak diketahui. Ia cenderung pada kawasan tertentu seperti bahagian tangan, kaki, ketiak dan muka. Hiperhidrosis sekunder disebabkan oleh penyakit lain yang secara amnya memberi kesan kepada seluruh badan. Punca hiperhidrosis termasuk hipertiroidisme, jangkitan seperti batuk kering (tuberculosis) dan kanser kelenjar limfa seperti limfoma. Sebab-sebab lain seperti obesiti, menopaus dan kencing manis. Hiperhidrosis mungkin boleh menjadi lebih teruk disebabkan oleh faktor-faktor seperti haba, emosi, senaman, demam dan makanan pedas. Keadaan berpeluh biasanya berkurangan pada waktu malam dan boleh hilang sama sekali semasa tidur.

Tanda-tanda Hiperhidrosis

Keadaan berpeluh yang berpanjangan menyebabkan kesan-kesan seperti di bawah:

  • Kerap mengelap tangan
  • Tangan yang kerap menggigil
  • Sukar untuk memegang atau mengambil barang, menulis dan bermain alat muzik
  • Sukar untuk beriadah atau bersosial
  • Tertekan dan pucat
  • Malu untuk bersosial kerana keadaan badan dan ketiak yang berpeluh dan berbau
  • Bau yang kurang enak dihasilkan oleh bahagian ketiak dan kaki

Komplikasi

Kawasan yang berpeluh menyebabkan kulit kelihatan basah dan boleh mendapat jangkitan

Rawatan untuk Hiperhidrosis

Sebagai pendekatan awal, rawatan yang dipilih bermula dengan rawatan yang kurang invasif.

Secara umum

  • Memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat
  • Memakai bedak selepas mandi
  • Memakai sarung kaki yang diperbuat daripada kain kapas dan perlu ditukar setiap hari
  • Mendedahkan bahagian kaki sekerap yang mungkin untuk pengudaraan

Secara spesifik:

  1. Antipeluh topikal
    Antipeluh adalah astringen yang mengurangkan kadar pengeluaran peluh oleh kelenjar ekrin dan apokrin. Antipeluh topikal mengandungi bahan kimia seperti aluminium klorida heksahidrat. Garam aluminium akan berkumpul di dalam kelenjar peluh dan menghalang peluh tersebut dan akan menyebabkan kadar perpeluhan berkurangan. Hasilnya memuaskan terutamanya untuk pesakit yang mempunyai masalah perpeluhan yang banyak di ketiak. Ubat ini digunakan atau disapu sebelum tidur di kawasan yang terlibat atau yang diperlukan setelah kawasan tersebut dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu.Kemudian dibiarkan semalaman sebelum ia dibasuh atau dicuci pada pagi yang berikutnya. Ia memerlukan penggunaan setiap hari untuk 7 hingga 10 hari terawal berturut-turut, kemudian sekali seminggu untuk mengekalkannya. Kesan sampingan adalah kekeringan yang boleh diatasi dengan mengurangkan kekerapan penggunaan.
  2. Iontophoresis
    Iontophoresis adalah satu proses di mana sebuah alat dapat mengalirkan tenaga elektrik menerusi lapisan kulit menggunakan air paip sebagai media (Gambarajah 3). Pada awal sesi rawatan, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit setiap 2 atau 3 hari. Selepas itu setiap sesi rawatan boleh dijalankan setiap 2 minggu. Kontraindikasi kepada rawatan ini ialah termasuk perempuan yang mengandung, mereka yang mempunyai masalah kulit yang teruk atau mempunyai luka dan kepada mereka yang mempunyai masalah degupan jantung (cardiac arrthymias). Kesan dari rawatan boleh menyebabkan rasa berdenyut  seketika dan iritasi pada kulit.
Gambarajah 3: Kedua-dua tangan direndam dalam alat iontophoresis
  1. Ubat-ubatan oral
    Sistem pensarafan pada kelenjar peluh menyebabkan pepeluhan hasil aktiviti asetilkolina. Ubat antikolinergik menghalang aktiviti asetilkolina dan menyebabkan pengeluaran peluh berkurangan. Contoh ubat antikolinergik seperti glycopyrrolate dan propantheline bromida. Walaubagaimanapun terdapat beberapa kesan sampingan seperti mulut kering, penglihatan kabur, sembelit, kesukaran untuk membuang air kencing, pening, berdebar-debar dan insomnia.
  2. Botox (botulinum toksin)
    Botox telah digunakan selama bertahun-tahun untuk merawat kekejangan otot dan kedutan. Ia menghalang kelenjar saraf ekrin daripada menghasilkan peluh. Rawatan ini melibatkan suntikan pada kawasan yang terlibat dan perlu diulangi setiap 4 hingga 5 bulan. Kesan daripada pengambilan botox termasuk rasa sakit dan lemah otot yang sementara.
  3. Pembedahan
    Simpatektomi Toraks Endoskopi (ETS) Hiperhidrosis disebabkan oleh aktiviti saraf simpatetik yang berlebihan di dalam rongga dada. Simpatektomi merupakan satu pembedahan kecil yang memusnahkan sebahagian daripada bekalan saraf kepada kelenjar peluh pada kulit. Prosedur ini hanya boleh dilakukan selepas semua langkah-langkah yang lain telah gagal dan selepas berunding dengan pakar bedah. Pakar bedah akan membuat pembelahan kecil di bawah ketiak dan memasukkan instrumen endoskopik khas ke dalam dada. Paru-paru akan kempis seketika untuk paparan yang lebih baik kemudian diikuti dengan pemusnahan saraf. Tahap atau paras sekatan pada saraf adalah berbeza mengikut jenis hiperhidrosis. Kesan sampingan yang paling kerap selepas pembedahan adalah perpeluhan yang banyak terutamanya di bahagian bawah dada, belakang badan, di kawasan abdomen (perut), paha dan kaki. Komplikasi lain termasuklah pendarahan, jangkitan kuman, kesakitan tulang rusuk dan pneumotorak (keadaan dimana paru-paru tidak boleh mengembang dengan elok kerana udara telah memasuki ruang di antara dinding dada dan paru-paru).

Tindakan yang perlu diambil

Jika anda mempunyai tanda-tanda hiperhidrosis seperti yang dinyatakan di atas segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan pengesahan diagnosis penyakit tersebut. Berdasarkan pada penilaian ini, doktor akan menentukan sama ada pesakit memerlukan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti penyebab hiperhidrosis.

 

Semakan Akhir : 10 Oktober 2014
Penulis : Dr. Noorlaily Mohd Noor
Akreditor : Datin Dr. Asmah Johar

 

Related Article

Snoring

Snoring is defined as breathing during sleep with hoarse or

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 224,349,801

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia