A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Bantuan Pesakit Mangsa Bencana...

Bantuan Pesakit Mangsa Bencana Dari Perspektif Kerja Sosial Perubatan

Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital perlu menubuhkan sebuah Pusat Maklumat Mangsa Bencana dengan kadar segera jika diarahkan oleh Pengarah Hospital apabila berlaku bencana.

Pengenalan

Bencana ditakrifkan sebagai insiden yang berlaku secara mengejut dan bersifat kompleks sama ada semula jadi atau kerana faktor manusia. Ia boleh melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan, kemusnahan harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Tahap keterukan yang dialami bergantung pada daya tahan penduduk terjejas dan keupayaan mereka untuk kembali pulih.

Jenis – Jenis Bencana

Secara umumnya bencana boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:

  1. Bencana Bersifat Semulajadi

    Bencana jenis ini merupakan satu bencana alam yang diakibatkan oleh peristiwa buruk yang terhasil daripada proses semulajadi. Sesuatu bencana alam boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kesan ke atas ekonomi. Contohnya banjir, ribut taufan, tanah runtuh, tsunami dan lain-lain.

  2. Bencana Disebabkan Oleh Aktiviti Manusia

    Bencana buatan manusia adalah bencana akibat daripada perbuatan, kecuaian atau kesilapan manusia. Kesan kemusnahan akibat bencana ini biasanya pada skala yang luas dan melibatkan kos yang tinggi. Contohnya kebakaran, kemalangan jalan raya, kemalangan kapal terbang, bangunan runtuh, kemalangan industri, kemalangan nuklear, rusuhan awam, serangan pengganas dan lain – lain.

    Rajah 2: Kemalangan jalan raya di KM 223 Lebuhraya Utara – Selatan pada 10 Oktober 2010 yang mengakibatkan 12 kematian dan 40 orang cedera.
    Sumber: Berita Harian 11 Oktober 2010

    Rajah 3: Kemalangan jalan raya di KM 3.5 Genting Highlands pada 22 Ogos 2013 yang menyebabkan 37 penumpang terkorban dan 16 orang mengalami kecederaan.
    Sumber: Utusan Malaysia 23 Ogos 2013

  3. Bencana Hybrid

    Bencana hybrid adalah merangkumi kedua – dua elemen di atas. Ia berlaku apabila gabungan bencana semulajadi dan bencana buatan manusia telah menyebabkan kerosakan meningkat sebagai kesan sampingan daripada tindakan antropogenik. Contohnya bangunan runtuh semasa banjir, kemalangan jalan raya yang melibatkan mangsa yang ramai semasa rebut taufan dan lain – lain.

Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit Mangsa Bencana

Terdapat beberapa kesukaran atau masalah yang timbul dan perlu dihadapi oleh mangsa dan juga waris apabila berlakunya bencana. Lazimnya masalah – masalah yang akan timbul adalah seperti berikut :

  • Masalah ketiadaan atau kekurangan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, bekalan air dan pakaian yang kemungkinan telah musnah semasa kejadian bencana melanda.
  • Masalah dari segi psikologi iaitu mengalami trauma yang berpanjangan.
  • Masalah kewangan untuk keperluan harian. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini
  • Masalah untuk mendapatkan informasi terkini terhadap ahli keluarga dan waris mereka terutama bagi yang ditimpa bencana yang disebabkan oleh manusia dan bencana hybrid.

Penubuhan Pusat Maklumat Mangsa Bencana

Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital perlu menubuhkan sebuah Pusat Maklumat Mangsa Bencana dengan kadar segera jika diarahkan oleh Pengarah Hospital. Peranan pusat ini ialah:

  • Menjaga kebajikan mangsa dan waris mereka semasa berada di hospital.
  • Menyampaikan informasi terkini berkenaan keadaan mangsa dan memaklumkannya kepada waris mereka.
  • Sebagai perantara kepada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan bekerjasama dalam memberi bantuan.
  • Merupakan tempat untuk memberi sokongan emosi kepada waris yang terlibat dalam bencana.
  • Dijadikan sebagai tempat transit bagi pesakit bencana yang didiscaj sementara menunggu waris datang mengambil mereka

Sumber – Sumber Bantuan

Sebagai usaha membantu mangsa bencana dan waris mereka, Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mendapatkan bantuan daripada beberapa sumber. Sumber – sumber bantuan yang boleh diperoleh adalah seperti berikut:

Agensi Kerajaan

  • Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Baitulmal
  • Pusat Zakat

Badan Bukan Kerajaan (NGO)

  • Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM)
  • Sukarelawan


Rajah 4: Pusat Maklumat Mangsa Bencana
Sumber : Gambar Peribadi

 Rujukan

  1. http://www.ondscene.my/ kemalanganjalanraya
  2. http://portalbencana.mkn.gov.my/
Semakan Terakhir : Februari 2024
Penulis : En. Halim b. Jamil
Penyemak : Zulhan bin Ambi

Artikel Berkaitan

Fonologi

Fonologi lebih difahami sebagai kaedah penghasilan bunyi pertuturan. Sumber bunyi iaitu udara daripada paru-paru berubah mengikut cara penghasilan dan tempat artikulasi bagi membentuk bunyi-bunyi pertuturan yang khusus.

DNA dan Sains Forensik

DNA atau asid deoksiribonukleik adalah satu komponen utama kehidupan. Ia mengandungi set-set arahan biologi yang membentuk keperibadian individu. Maklumat-maklumat ini pula diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui perkembangan pembiakan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,827,040

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-26 15:39:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia