Pengenalan
Sejak kebelakangan ini, golongan remaja semakin mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka. Malaysia hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai gejala sosial remaja yang berlaku hampir setiap hari. Kehidupan remaja yang penuh dengan pelbagai permasalahan sosial sangat merunsingkan ibu bapa dan juga pemimpin negara.
Banyak usaha dan pelbagai pendekatan telah diambil untuk menerapkan nilai-nilai murni dan membimbing mereka menjadi remaja yang tingi nilai akhlaknya, namun mereka tetap memilih jalan yang salah. Kes rogol, pembuangan bayi, pengguguran haram, LBGT, buli, rokok, vape, penyalahgunaan dadah, pornografi, seks bebas dan yang seumpamanya yang mana semua ini semakin berleluasa dari sehari ke sehari. Mereka seolah-olah suka dan bersaing sesama mereka untuk membuat sesuatu yang negatif dan mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Pengaruh media sosial pada hari ini amat memberikan impak yang besar kepada remaja. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan memberi kesan yang negatif kepada remaja. Permasalahan ini juga adalah impak daripada modenisasi dan kejutan budaya yang melanda remaja zaman ini yang bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah melibatkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Hal ini tidak seharusnya dipandang enteng kerana remaja merupakan aset kekayaan semula jadi negara dan bakal memainkan peranan yang begitu besar dan sangat penting dalam mencorakkan masa hadapan politik, ekonomi dan kemasyarakatan di Malaysia. Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”.
Persoalannya, jika remaja kita musnah akibat kesan keseronokan yang sementara ini, siapakah yang akan terus memperjuangkan masa depan mereka? Justeru itu, senario ini mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak seperti golongan ibu bapa, guru, masyarakat, negara dan termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Oleh yang demikian, sebelum keadaan menjadi lebih parah, satu pelan menyeluruh berkaitan perancangan program pencegahan masalah sosial remaja perlu dirangka oleh pasukan kesihatan termasuk Pegawai Kerja Sosial Perubatan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Remaja
Remaja pada umumnya merujuk kepada anak muda yang berumur antara 10 hingga 18 tahun di mana pada masa ini mereka mula berkembang menjadi orang dewasa yang mulai matang dan pandai berfikir. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan fizikal, jasmani, sosial, emosi, dan bahasa.
Zaman remaja juga boleh disifatkan zaman yang penuh dengan pancaroba dan seandainya remaja ini tidak mampu menguruskan hidupnya dengan baik mereka akan mengalami risiko terkandas dan tercicir dalam perjalanan hidup.
Punca Kenakalan Remaja
Kendiri
Remaja hari ini kurang kemampuan untuk menyesuaikan diri kerana tidak berupaya untuk mengawal dan mempertahankan diri. Akibatnya mereka sukar mengendalikan emosi semasa berhadapan dengan masalah hidup dan tekanan daripada keluarga sertarakan-rakan. Kebanyakan remaja tidak tahu mengendalikan emosi marah, bahagia, derita atau cinta yang melingkari kehidupan seharian mereka.
Keluarga
Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah banyak punah disebabkan ibu bapa sibuk bekerja dan tidak menumpukan perhatian serta kurang memberi kasih sayang terhadap anak-anak. Masalah yang berlaku dalam rumah juga memberi kesan kepada jiwa anak-anak terutamanya apabila ibu bapa yang bergaduh di hadapan mereka. Anak-anak akan merasakan diri kurang kasih sayang dan pembesaran yang tidak sihat itu akan membentuk jiwa anak-anak menjadi rapuh dan akan mudah terdedah dengan tarikan sosial negatif di luar.
Kewangan
Banyak jenayah dan masalah sosial yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh faktor kewangan kerana keinginan mereka yang semakin meningkat untuk menikmati kemewahan hidup. Bagi remaja dari keluarga miskin, mereka mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang hidup mewah. Justeru itu, mereka cenderung untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang mewah.
Masyarakat
Masyarakat hari ini banyak mementingkan diri sendiri dan kurang peka terhadap nilai hidup kejiranan dan bermasyarakat. Mereka juga tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial dan komuniti menyebabkan mereka tidak mengenali di antara satu sama lain. Masalah remaja dianggap menjadi remeh dan bukan tanggungjawab mereka untuk bersama-sama mencari penyelesaian.
Rakan-Rakan
Faktor ini telah diketahui ramai sebagai punca utama remaja hari ini terjebak dalam masalah sosial yang negatif. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup mereka. Jika rakan-rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial, maka mereka akan mengikutnya kerana remaja hari ini lemah jati diri dan tiada tujuan hidup.
Keagamaan
Iman dan amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir terhadap perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini berterusan.
Media Sosial
Ledakan informasi teknologi maklumat membawa perubahan yang besar dalam hidup remaja secara khususnya. Kewujudan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok telah menyebabkan jutaan pengguna remaja di Malaysia menggunakannya untuk bersosial. Kemudahan akses kepada media sosial ini membolehkan remaja mendapatkan info dan trend terkini yang negatif di dalam masyarakat dengan begitu mudah. Keadaan ini sekaligus memberikan impak negatif kepada remaja yang telah menyalahgunakan kemudahan media sosial yang sedia ada.
Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan
Pegawai Kerja sosial Perubatan adalah salah seorang anggota pasukan pelbagai disiplin yang terlibat dalam proses rawatan, pemulihan, penjagaan dan pencegahan bagi masalah sosial di kalangan remaja.
Enabler
Memberi sokongan sosial dan nasihat bimbingan kepada remaja dalam mengenalpasti masalah dan memilih jalan penyelesaian.
Fasilitator
Bertanggungjawab memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada remaja untuk menangani masalah-masalah sosial dan melakukan perubahan bagi mencapai matlamat.
Orang tengah (broker)
Menghubungkan remaja dengan badan-badan atau pihak-pihak yang memiliki sumber untuk membantu remaja berubah
Perantara (mediator)
Sebagai pendamai bagi pihak ketiga dalam penyelesaian konflik yang dialami remaja
Peguam Bela
Menjadi penyokong dan membantu remaja mendapatkan layanan yang sewajarnya daripada pihak yang menyediakan perkhidmatan
Aktivis
Mengambil berat perkara-perkara yang berkaitan dengan ketaksamaan dan ketidakadilan terhadap remaja
Perunding
Berusaha mencari kata sepakat dan persetujuan dalam memastikan semua pihak yang terlibat mendapat faedah masing-masing
Pendidik
Menyampaikan maklumat dan mengajar remaja bagaimana menggunakan kemahiran-kemahiran yang sedia ada.
Program-Program Yang Telah Dilaksanakan
- Memberi kaunseling, khidmat nasihat, sokongan emosi dan membantu remaja dalam pemilihan penyelesaian konflik yang dialami.
- Membuat lawatan ke rumah dan sekolah bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang terperinci dan pengesahan berkaitan masalah remaja dari semua sudut seperti sokongan keluarga, rakan-rakan, sekolah dan masyarakat.
- Menjadi platform untuk perjumpaan di antara remaja yang bermasalah, ibubapa dan pihak sekolah bagi mencari jalan penyelesaian bersama.
- Menjalinkan kolobrasi dengan Ngo dan Ngos bagi merangka program yang bersesuaian untuk dilaksanakan oleh disiplin-disiplin kesihatan awam seperti Kesihatan Sekolah, Kesihatan Keluarga, Ibu dan Anak, NCD (Penyakit tidak berjangkit), Pendidikan kesihatan dan mana-mana disiplin yang bersesuaian. Contoh : Mewujudkan Perkhidmatan Kesihatan Remaja dan Kelab Remaja di Klinik Kesihatan.
- Memberi ceramah motivasi dan sesi berdialog dalam forum atau seminar untuk memberi maklumat terkini berkaitan dengan masalah sosial remaja yang semakin kronik.
Kesimpulan
Banyak faktor yang menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja menjadi semakin berleluasa. Semua pihak berkepentingan, iaitu ibu bapa, pihak sekolah, PIBG dan NGO termasuklah penggerak pusat perlindungan dapat mengetahui, membuka mata dan mengambil kira faktor yang mempengaruhi penglibatan remaja dalam masalah sosial ini sekaligus memainkan peranan yang sewajarnya dalam menangani isu remaja ini termasuklah Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan di Kesihatan Awam. Pengetahuan tentang perkara ini seterusnya dapat dijadikan sebagai panduan dalam merangka setiap inti pati kandungan program yang bersesuaian untuk dilaksanakan kepada sasaran golongan remaja ini daripada terjebak dalam masalah sosial yang dapat mengancam kesejahteraan negara.
Rujukan
- http://www.wawasanpendidikan.com/2015/02/Faktor-Faktor-yang-Menyebabkan-Kenakalan-Remaja-dari-Berbagai-Aspek.html
Semakan Akhir | : | Februari 2024 |
Penulis | : | Siti Nur Hafizah bt. Shaharuddin |
Penyemak | : | Arniwaty bt. Abu Bakar |