A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Orang Kurang Upaya...
  6. /
  7. Penilaian Pra-Memandu untuk OKU

Penilaian Pra-Memandu untuk OKU

Memandu merupakan satu tugasan komplek yang melibatkan beberapa kemahiran iaitu kemahiran fizikal, sensori serta persepsi kognitif seperti pemerhatian, perhatian, kebolehan untuk membuat keputusan, masa untuk bertindakbalas dan persepsi yang tepat.

Pengenalan

Memandu merupakan satu tugasan komplek yang melibatkan beberapa kemahiran iaitu kemahiran fizikal, sensori serta persepsi kognitif seperti pemerhatian, perhatian, kebolehan untuk membuat keputusan, masa untuk bertindakbalas dan persepsi yang tepat. Orang kelainan Upaya (OKU) pula didefinasikan sebagai seseorang yang mengalami ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera dimana apabila menghadapi pelbagai halangan boleh menyekat penglibatan mereka sepenuhnya dalam masyarakat.

Tujuan penilaian pra-memandu dilakukan terhadap OKU adalah bagi menentukan tahap keupayaan dan kebolehan untuk memandu serta memberi laporan kepada pegawai perubatan yang merujuk samada mereka perlu memandu kenderaan yang diubahsuai ataupun tidak bagi meningkatkan keberdikarian dan keselamatan semasa memandu.

Pegawai/Jurupulih Perubatan Carakerja menjalankan penilaian pra-memandu kepada OKU. Peranan Pegawai/Jurupulih Perubatan Carakerja dalam penilaian ini ialah :

  • Menentukan kebolehan OKU untuk memandu

  • Mengenalpasti ketidakupayaan OKU yang berkaitan dengan pemanduan.

  • Mengenalpasti faktor yang menyumbang kepada kesukaran untuk memandu.

  • Mengenalpasti pengubahsuaian yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehan memandu

Di antara komponen-komponen penilaian pra-memandu adalah seperti berikut :

  1. Sejarah perubatan dan pemanduan

  • Maklumat seperti keperluan untuk memandu atau memohon lesen memandu, status lesen memandu, sejarah perubatan serta ubatan dan tabiat atau pengalaman memandu.

  1. Penilaian fizikal

  • Menilai keupayaan fizikal seperti kebolehan untuk masuk dan keluar daripada kereta,  kekuatan otot, julat pergerakan sendi, tahap pergerakan, kebolehan  mengendalikan komponen kenderaan bagi anggota atas dan bawah, masa untuk bertindakbalas serta tahap sensori bagi anggota atas dan bawah.

    Penilaian julat pergerakan sendi Penilaian kekuatan otot tangan
  1. Penilaian Sensori

  • Menilai masalah penglihatan yang boleh memberi kesan kepada pemanduan meliputi jarak penglihatan, mengenalpasti warna lampu isyarat, serta menilai masalah sensori pada anggota atas dan bawah.

  1. Penilaian kognitif – Persepsi

  • Menilai keupayaan kognitif – Persepsi dari segi tumpuan, perhatian, memori dan kebolehan membuat keputusan.

  1. Penilaian emosi

  • Menilai samada terdapat reaksi panik atau keresahan semasa memandu.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh OKU untuk memandu

Secara umumnya, masalah-masalah yang dihadapi oleh OKU untuk memandu  adalah seperti berikut :

  1. Masalah Julat pergerakan Sendi (Range of motion) dan kekuatan (strength)

  • Limitasi julat pergerakan pada sendi pinggul, lutut dan buku lali boleh menyebabkan OKU bermasalah untuk masuk dan keluar daripada kereta. Ia juga memberi kesan kepada OKU untuk duduk dalam keadaan  yang  selesa bagi  mengawal komponen kenderaan seperti hon, stering signal lampu, gear, cermin dan lain-lain lagi. Selain itu, limitasi pergerakan pada anggota kaki terutama sendi pergelangan kaki akan memberi impak kepada tekanan yang harus diberikan kepada pedal minyak dan brek untuk mengawal kelajuan kereta.

  1. Masalah tonus otot (Muscle tone)

  • Tonus otot yang tinggi (spastik) atau rendah (flaccid) akan mengakibatkan kesukaran untuk mengawal pergerakan otot semasa memandu terutama semasa mengawal stering atau handle motosikal. Selain itu, sekiranya seseorang itu ada spasm, ia juga boleh menyebabkan kefungsian tangan dan kaki akan terganggu semasa memandu.
  1. Masalah sensori

  • Masalah yang biasanya dikenalpasti adalah sakit, kurang rasa, penglihatan, proprioception and kinaesthesia di mana OKU kemungkinan akan mengalami masalah untuk meletakkan kaki mengikut posisi yang betul pada pedal minyak dan terus memandu walaupun kaki tidak berada dalam posisi yang betul.

  1. Masalah keseimbangan (Balance)

  • Masalah kesimbangan akan memberi kesan kepada kebolehan untuk masuk dan keluar daripada kereta dengan selamat.

  1. Masalah persepsi dan kognitif

  • Kesukaran untuk memberi tumpuan, perhatian, pemprosesan maklumat, ingatan, perancangan, membuat keputusan, pertimbangan dan masa untuk bertindakbalas semasa memandu antara masalah yang akan dinilai untuk ujian memandu.

Secara kesimpulannya, Pegawai/Jurupulih Perubatan Carakerja akan menjalankan penilaian untuk melihat keseriusan masalah di atas dan informasi yang diperolehi akan digunakan untuk menentukan:

  1. Kenderaan perlu diubah suai ataupun tidak

  2. Sekiranya perlu, apakah jenis ubah suai kenderaan yang diperlukan

  3. Lesen memandu perlu dikekalkan atau ditukarkan ke Lesen A (OKU) atau

  4. Tidak digalakkan memandu kerana isu keselamatan

Kondisi dan Cadangan Modifikasi Kereta

Modifikasi kenderaan OKU boleh dilakukan di mana-mana bengkel kenderaan yang berdaftar dengan JPJ. Senarai bengkel yang berdaftar boleh disemak di laman web JPJ iaitu www.jpj.gov.my. Setelah penilaian pra-memandu dijalankan, Jurupulih Carakerja akan mengenalpasti samada kefungsian anggota atas atau anggota bawah OKU tersebut adalah normal, impaired dan memerlukan pengubahsuaian kenderaan, impaired tetapi tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan serta impaired sepenuhnya.

Pengubahsuaian akan dilakukan mengikut ketidakupayaaan atau kondisi OKU seperti berikut :

Ketidakupayaan Kesan kepada pemanduan Pengubahsuaian yang dicadangkan
Anggota bawah kiri atau kaki kiri tiada atau tidak berfungsi
  • Kesukaran untuk mengawal postur badan.
  • Tidak boleh menggunakan clutch
  • Kemungkinan terdapat gangguan pada kaki atau anggota yang tidak berfungsi terhadap brake/accelerator.
  • Automatic transmision
  • Mengikat bahagian yang tidak berfungsi menggunakan tali pinggang atau loop untuk mengelakkan daripada  mengganggu pedal brek dan minyak  semasa memandu.
Anggota bawah kanan atau kaki kanan tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh menggunakan pedal minyak
  • Kemungkinan tidak dapat mengawal keseimbangan badan.
  • Tidak boleh menggunakan clutch
  • Mengubahsuai Pedal minyak  ke sebelah kiri
  • Automatic transmission
  • Mengikat bahangian yang tidak berfungsi menggunakan tali pinggang atau loop untuk mengelakkkan daripada mengganggu pedal brek dan minyak  semasa memandu
Kedua-dua anggota bawah kaki tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh menggunakan pedal brek dan pedal minyak.
  • Kesukaran untuk masuk dan keluar kereta
  • Mengendalikan pedal brek dan minyak menggunakan tangan.
  • Automatic transmission
  • Transfer board / swivel seat
Lengan kiri di bawah paras siku tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh memusingkan stering menggunakan kedua-dua tangan
  • Tidak boleh menukar gear ketika memegang steering
  • Power steering dan spinner knob dilekatkan di stering pada posisi pukul 3 atau 4 di sebelah tangan yang berfungsi.
  • Automatic transmission
Lengan kanan di bawah paras siku tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh memusingkan stering menggunakan kedua-dua tangan.
  • Tidak boleh menukar gear ketika memegang steering
  • Power steering dan spinner knob dilekatkan di stering pada posisi pukul 8 atau 9 di sebelah tangan yang berfungsi.
  • Manual and Automatic transmission tetapi automatic lebih mudah.
Kedua-dua lengan di bawah paras siku tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh memegang dan memusing steering wheel yang standard.
  • Kesukaran untuk mengendalikan komponen di  dashboard.
  • Kesukaran untuk memegang, menarik atau memusing alat pengawalan yang kecil  seperti mengunci pintu kereta, radio knobs dan window cranks.

Memakai prosthesis

  • Driving ring or steering knob diletakkan di steering wheel di sebelah tangan yang dominan.
  • Meletakkan ring pada tempat kawalan dashboard.
  • Ring diletakkan di alat pengawalan yang kecil untuk mudah dikendalikan.

Tanpa memakai prosthesis:

  • Boleh memusingkan stering menggunakan kedua-dua lengan, jika tidak boleh dicadangkan menggunakan extended telescopic steering
  • Dashboard extension
  • Power door locks dan power window
Lengan kiri di atas paras siku tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh memegang dan memusing steering wheel yang standard.
  • Kesukaran untuk mencapai left hand dashboard control.
  • Kesukaran untuk menukar gear manual ketika sedang memandu.
  • Kesukaran untuk menekan hon ketika memandu
  • Knob diletakkan pada stering di sebelah kanan.
  • Right hand extension untuk left hand dashboard control/wiper
  • Parking brake release diubahsuai ke sebelah kanan
  • Automatic transmission
  • Ring diletakkan pada hon dan boleh dicapai tanpa melepaskan stering semasa memandu.
Lengan kanan di atas paras siku tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh memegang dan memusing steering wheel.
  • Kesukaran untuk mencapai right hand dashboard control.
  • Kesukaran untuk menghidupkan enjin kereta
  • Kesukaran untuk menukar gear manual ketika sedang memandu
  • Knob diletakkan pada stering di sebelah kiri.
  • Left hand extension untuk right hand dashboard control/signal
  • Ignition key mesti dapat dicapai oleh tangan kiri semasa parking ataupun diubahsuai ke sebelah kiri.
  • Automatic transmission

 

Kedua-dua lengan di atas paras siku tiada atau tidak berfungsi
  • Tidak boleh menggunakan stering yang standard.
  • Tidak boleh untuk mengendalikan gear yang standard.
  • Tidak boleh mengendalikan signal, ignition key, pengendalian komponen dashboard, hon, parking brake release dan penukaran gear.
  • Pengawalan stering menggunakan kaki.
  • Automatic transmission
  • Pengendaliaan gear menggunakan kaki kanan,
  • Remote control menggunakan lutut untuk pengendalian ignition key, lampu  wiper hon, signal dan brek.

Kesimpulan

Penilaian pra-memandu amat penting dilakukan terhadap OKU untuk meningkatkan keberdikarian dan keselamatan pesakit dalam pemanduan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu perkhidmatan terhadap pesakit OKU.

Di samping itu, terdapat juga garispanduan standard pemeriksaan perubatan bagi permohonan lesen memandu untuk orang kurang upaya yang dikeluarkan oleh Unit Kesihatan Pekerjaan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011. Garispanduan ini adalah untuk memastikan laporan penilaian mengenai kecacatan seseorang yang ingin memohon lesen serta  memandu dengan selamat dan tidak menjadi punca bahaya kepada orang awam sekiranya diberi kebenaran untuk memandu kenderaan berkenaan selaras dengan peruntukan seksyen 30(1) DAN (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992.

Rujukan

  1. Mallon,K. Wood, J.M.(2004).Occupational therapy assessment of open-road driving performance: Validity Of directed and self-directed navigational  instructional components. American Journal of Occupational Therapy,58, 279-286.

  2. Galski,T. Ehle,T.H. Bruno,L.R. (1989, December 13). An assessment  of  measure to predict the outcome of driving evaluations in patients with cerebral damage, American Journal of Occupational Therapy, 709-713.

  3. Physical disabilities ( missing or non-functional body parts ) their effects on driving and suggested driving Aids.

 

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Suzana bt Zakaria
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

Hepatitis A

Apakan itu Hepatitis A? Hepatitis A di sebabkan oleh virus

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,435,557

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia