A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesakitan Kronik – Punca

Punca kesakitan kronik di kalangan warga emas

Persatuan Kajian Kesakitan Sedunia (The International Association for the Study of Pain (IASP) mendefinisikan kesakitan sebagai satu pengalaman deria dan emosi yang tidak selesa akibat kerosakan tisu sebenar atau yang berkemungkinan rosak.

Dalam bidang perubatan, kesakitan kronik mempunyai banyak pengertian. Perbezaan antara kesakitan akut dan kronik adalah secara arbitari bergantung kepada jangkamasa kesakitan. Ia berbeza antara 6 bulan hingga setahun.  Manakala kesakitan kronik secara mudahnya didefinisikan sebagai satu “keadaan penyakit, dengan kesakitan yang dialami berterusan melebihi jangka masa yang diperlukan untuk sembuh” Ia adalah satu proses patologi yang menyebabkan kesakitan berterusan atau kesakitan berulang selama beberapa bulan atau tahun.

Kesakitan kronik mungkin boleh dibahagikan kepada:

  • kesakitan “nociceptive” (disebabkan oleh pengaktifan nociceptor atau reseptor kesakitan)
  • kesakitan “neuropathic” (disebabkan oleh kerosakkan atau kepincangan sistem saraf)
  • kesakitan “campuran”, campuran kepada kedua-dua jenis di atas)

Beberapa keadan yang menyebabkan kesakitan di kalangan warga emas adalah seperti berikut.

Contoh kesakitan “Nociceptive” adalah seperti berikut:

  1. Selepas pembedahan, selepas kecederaan
  2. Rheumatoid atau osteoarthritis
  3. Ischemic disorders (di mana terdapat kekurangan pengaliran darah di jantung)
  4. Kanser
  5. Sakit belakang kronik
  6. Ulser
  7. Penyakit melibatkan organ dalaman manusia

Contoh kesakitan “Neuropathic” di kalangan warga emas adalah seperti berikut:

  1. Post-herpetic neuralgia (selepas penyakit kayap)
  2. Post-stroke pain (selepas strok)
  3. Phantom pain (selepas amputasi kaki/tangan)
  4. Diabetic neuropathies

Tanda dan Gejala

Kesakitan “Nociceptive” boleh dibahagikan kepada:

  • Kesakitan somatik – kesakitan dipermukaan tubuh (superficial somatic)
  • Kesakitan dalaman tubuh sama ada di dalam tubuh (deep somatic) atau di dalam organ (visceral pain).

Kesakitan dipermukaan tubuh (superficial somatic) bermula apabila receptor di bahagian kulit dan tisu permukaan menjadi aktif.

Kesakitan dalam tubuh (deep somatic) bermula apabila reseptor kesakitan di bahagian otot, tulang, saluran darah, fasia dan daging terangsang. Ia berupa kesakitan yang tumpul, lenguh-lenguh dan sukar dikesan tempatnya.

Kesakitan organ dalaman (visceral pain) berasal daripada organ dalaman tubuh di mana amat sukar untuk menentukan lokasinya. Di samping itu, beberapa jenis organ dalaman menghasilkan kesakitan rujukan (referred pain) apabila organ ini tercedera, di mana rasa sakit berada di kawasan yang jauh daripada punca penyebab kesakitan akibat kecederaan atau patologi. Kesakitan dada dan merebak ke leher adalah satu contoh kesakitan rujukan disebabkan oleh sakit jantung angina.

Kesakitan neuropathic dibahagikan kepada “kesakitan periferal” (peripheral) yang berasal daripada sistem saraf periferal (peripheral nervous system), “kesakitan sentral” (central) berasal daripada otak dan saraf tunjang dan simpatetik (sympathetic).

Kesakitan neuropatik periferal selalunya digambarkan sebagai kesakitan berupa “terbakar”, “ngilu”, renjatan elektrik, tikaman, kebas atau tusukan jarum dan paku.

Komplikasi

Kelewatan memberi rawatan kepada kesakitan kronik yang sewajarnya akan memanjangkan penderitaan dan boleh menyebabkan patologi yang berkekalan. Kesakitan kronik mempunyai banyak kesan psikososial yang perlu diuruskan segera sebelum kemurungan menjadi sebahagian daripada gambaran klinikal pesakit. Kesakitan kronik boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang memerlukan perhatian dan tindakan di semua tahap.

Masalah rumit yang terjadi akibat kesakitan kronik adalah seperti berikut:

  1. Secara psikologi kesakitan menyebabkan penderitaan dan kesengsaraan. Perasaan hati menjadi berubah-ubah dan menjadikan seseorang mudah terganggu. Gangguan tidur menjadi satu isu dan sesetengah pesakit menyendiri, kurang bersosial dan akhirnya menjadi murung.
  2. Warga emas memerlukan bantuan untuk mereka berfungsi dalam aktiviti harian mereka kerana ramai daripada mereka mempunyai masalah pergerakan akibat kesakitan.
  3. Ada di antara warga emas menjadi resah dan meracau apabila mereka berada dalam kesakitan terutamanya di kalangan yang mempunyai masalah kognitif.
  4. Akan terdapat pertambahan penggunaan khidmat kesakitan dan kos perubatan

Rawatan

  • Kejayaan dalam rawatan kesakitan amat bergantung kepada kejayaan meredakan punca kesakitan.
  • Kesakitan akut akan hilang apabila kecederaan sembuh atau apabila punca masalah diselesaikan dengan jayanya. Oleh itu, rawatan mesti ditumpukan pada punca dan bukan pada kesakitan sahaja.
  • Kesakitan kronik dan kesakitan luar biasa mempunyai komponen psikososial yang perlu di hadapi sebelum kemurungan terjadi. Ia lebih sukar dirawat kerana punca asal kesakitan sudah berubah kepada punca lain contohnya kesan psikososial, kerohanian, isu kewangan dan lain-lain.
Semakan akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Yau Weng Keong
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Rambut

Semasa proses penuaan, rambut menjadi lebih nipis, lebih senang patah dan kehilangan warna asalnya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,435,598

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia