A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Amalan terbaik untuk antibiotik

Amalan terbaik untuk antibiotik

Apakah Bakteria?

Bakteria adalah organisme yang terdiri daripada satu sel sahaja, tetapi ia mampu menggandakan dirinya dengan banyak. Bentuk bakteria adalah berbeza-beza. dan ianya boleh wujud di mana-mana sahaja, sama ada di dalam atau luar tubuh kita. Kebanyakan bakteria adalah tidak berbahaya dan sebahagian daripadanya sangat berguna untuk tubuh kita. Namun begitu, ada sesetengah bakteria boleh menyebabkan penyakit, sama ada kerana mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya dalam tubuh kita atau bakteria itu sememangnya merbahaya dan boleh mendatangkan penyakit.

alt

Apakah Antibiotik ?

Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.

Antibiotik TIDAK BERKESAN terhadap jangkitan virus seperti demam biasa, selesema dan bronkitis akut iaitu sejenis keradangan atau kerengsaan pada saluran pernafasan (tiub bronkiul) di dalam paru-paru.

Penggunaan antibiotik secara tidak tepat atau berlebihan akan menyebabkan kerintangan antibiotik.

alt

Apakah Kerintangan Antibiotik?

Kerintangan antibiotik berlaku apabila antibiotik hilang keupayaan untuk membunuh bakteria. Oleh itu antibiotik tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan bakteria. Kerintangan terhadap antibiotik terjadi apabila bakteria mengubah dirinya sebagai cara untuk mengurangkan atau menghapuskan keberkesanan antibiotik.

Kerintangan antibiotik adalah disebabkan oleh penggunaan antibiotik yang berlebihan dan tidak tepat contohnya merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus dengan antibiotik dalam kebanyakkan jangkitan bahagian atas salur pernafasan seperti sakit tekak dan batuk biasa.

Mencegah Kerintangan Antibiotik Sekarang!

Sebagai seorang pesakit, anda disyorkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi mengenai penggunaan antibiotik yang sesuai. Berikut merupakan beberapa panduan asas yang dapat membantu anda dalam menghalang penyebaran kerintangan antibiotik:

  1. Menggunakan antibiotik atau memberi antibiotik kepada anak anda, apabila dipreskrib oleh doktor SAHAJA.

  2. Habiskan semua antibiotik dalam tempoh yang ditetapkan walaupun anda berasa telah sihat. Tidak menghabiskan antibiotik yang seperti yang diarahkan oleh doktor akan menyumbang kepada kerintangan antibiotik. Sekiranya anda tidak melengkapkan rawatan seperti yang disyorkan, kecenderungan berlakunya kerintangan antibiotik adalah tinggi disamping risiko berlakunya jangkitan-semula.

  3. Jangan simpan antibiotik yang tidak habis digunakan untuk tujuan merawat penyakit yang sama pada masa akan datang. Sekiranya masih terdapat lagi baki antibiotik, pastikan ianya dibuang.

  4. Jangan sekali-kali mengambil antibiotik yang dipreskrib untuk orang lain. Jangan berkongsi antibiotik atau menggunakan baki antibiotik sebelumnya. Ini kerana antibiotik ada banyak jenis, dan hanya doktor yang boleh menentukan antibiotik yang sesuai untuk merawat jangkitan tertentu.

  5. Patuhi keputusan dan nasihat doktor APABILA doktor memutuskan anda tidak memerlukan antibiotik.

  6. Amalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran jangkitan.

Apa Yang Anda Boleh Buat Untuk Melindungi Keberkesanan Antibiotik

Penggunaan antibiotik yang tidak tepat adalah punca utama kepada peningkatan dalam kerintangan antibiotik. Berikut adalah apa yang anda boleh lakukan untuk menggalakkan penggunaan antibiotik yang betul.

  1. Memahami bila antibiotik perlu digunakan

    Anda tidak perlu mengambil antibiotik setiap kali jatuh sakit. Antibiotik berkesan dalam merawat kebanyakan jangkitan bakteria, tetapi tidak berkesan terhadap jangkitan virus seperti demam, bronkitis akut atau selesema. Sesetengah jangkitan bakteria biasa seperti sakit telinga sederhana, tidak mendapat banyak manfaat daripada penggunaan antibiotik.

  2. Tanyalah doktor apakah yang boleh dilakukan untuk membantu melegakan gejala-gejala jangkitan yang disebabkan oleh virus.

  3. Doktor mengetahui rawatan yang terbaik untuk anda. Bertanya apakah yang boleh dilakukan untuk membantu melegakan gejala-gejala jangkitan dan tidak meminta doktor untuk mempreskrib antibiotik sekiranya tidak sesuai. Mengambil antibiotik seperti yang dipreskribkan.

  4. Jangan sekali-kali mengambil antibiotik tanpa preskripsi atau arahan doktor

    Jika anda tidak menghabiskan antibiotik yang dipreskrib, anda mungkin akan terdorong untuk menggunakan baki yang ada pada masa akan datang apabila anda jatuh sakit atau memberikannya kepada orang lain. Antibiotik merawat jenis jangkitan yang khusus dan antibiotik anda mungkin tidak cukup untuk merawat jangkitan yang baru.

  5. Elakkan penyebaran kuman.

    Menjaga kebersihan adalah amalan terbaik dalam mencegah jangkitan. Basuh tangan anda dengan bersih menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas menggunakan tandas, menukar lampin dan apabila hendak mengendalikan makanan. Jagalah kebersihan kawasan penyediaan makanan. Sabun biasa dan air adalah memadai dan mampu membunuh kuman, anda tidak semestinya mengunakan pencuci dan sabun yang ada antibakteria.

Bilakah Doktor Memberi Preskripsi Untuk Antibiotik?

alt

Hanya doktor yang boleh menentukan sama ada anda atau anak anda memerlukan antibiotik atau tidak. Mereka akan memberi preskripsi antibiotik untuk anda atau anak anda.

Strategi yang selamat dan berkesan dalam penggunaan antibiotik adalah mempreskrib antibiotik apabila diperlukan sahaja. Antibiotik yang dipilih hendaklah berkesan pada dos yang betul dengan spektrum yang sempit, mempunyai kesan sampingan paling rendah dan kos yang murah.

Prinsip-prinsip am untuk mempreskrib antibiotik:

    1. Hanya mempreskrib antibiotik untuk jangkitan bakteria sekiranya:

      • Terdapat risiko komplikasi yang tinggi

      • Jangkitan masih tidak sembuh.

      • Terdapat gejala yang teruk dan signifikan.

    2. Menggunakan antibiotik barisan pertama terlebih dahulu

 

  1. Simpan antibiotik berspektrum luas untuk jangkitan bakteria yang diindikasikan sahaja.

Disini Beberapa Petua Untuk Kekal Sihat

alt

  1. Cuci tangan dengan bersih untuk mencegah penyebaran kuman.

  2. Dapatkan vaksin selesema dan pneumokokal.

  3. Bersenam.

  4. Makan makanan yang sihat.

  5. GDapatkan 6-8 jam tidur malam.

Di sini ialah beberapa pilihan yang boleh membantu anda rasa lebih sihat secepat mungkin tanpa antibiotik

alt

PENYAKIT

RAWATAN KENDIRI
DI RUMAH

UBAT- UBATAN

[Ubat am (over the counter) tidak disyorkan untuk bayi dan kanak-kanak berumur kurang daripada 2 tahun. Bagi kanak-kanak  berumur melebihi 2 tahun,  perlu mengikut dos  yang  dinyatakan pada sisip bungkusan]

Semua selesema dan jangkitan virus
  • Minum banyak cecair (seperti air dan sup)
  • Duduk di rumah dan berehat
Hidung tersumbat
  • Gunakan bilik yang ada alat pelembab udara (humidifier)
  • Titiskan atau semburkan air garam dihidung
Decongestant: membuka saluran hidung
Hidung berair
  • Sapukan jeli petroleum di luar hidung.
  • Gunakan tisu lembab
Antihistamine: mengeringkan lelehan cecair hidung atau hingus
Batuk tanpa kahak
  • Gunakan bilik yang ada alat pelembab udara (humidifier)
  • Berkumur dengan air garam yang suam
Penahan batuk: membantu menghentikan batuk
Batuk berkahak
  • Minum air dengan lebih banyak
Ekspektoran: menipiskan kahak, menjadikannya lebih mudah untuk dikeluarkan semasa batuk

Boleh membeli ubat am
Bahan aktif: Guaifenesin

Sakit tekak
  • Berkumur dengan air garam yang suam
  • Elakkan asap
  • Minum teh
Lozeng tekak – melegakan tekak (Jangan diberi pada kanak-kanak berumur kurang daripada 10 tahun)

Boleh membeli ubat am
Bahan aktif: Menthol ,Dichlorobenzyl Alcohol, Amylmetacresol

Gatal, mata berair / bersin
  • Elakkan daripada mengambil benda atau makanan yang anda alah atau menyebabkan kerengsaan.
Antihistamine: mengeringkan dan melegakan gatal pada mata
Demam / sakit otot
  • Tuam dengan ais atau air sejuk pada dahi.
  • Tuam dengan tuala atau pek panas pada tempat yang sakit.
  • Berehat dikatil.
Analgesik: pelega kesakitan

Boleh membeli ubat am
Bahan aktif: Paracetamol ;Acetylsalicylic Acid

Sakit telinga
  • Tuam dengan tuala atau pek panas pada telinga yang sakit.
Analgesik: pelega kesakitan

Boleh membeli ubat am
Bahan aktif: Paracetamol ;Acetylsalicylic Acid

 

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Noraini bt. Sa’ari
Penyemak : Yam Chiew Fong

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,521

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia