A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Berkaitan Dentur

Dentur membantu dalam memulihkan fungsi mulut dan gigi. Ia boleh ditanggalkan bagi tujuan pembersihan.

Definisi dentur

Kita sering dengar istilah gigi seumur hidup. Namun, berapa kerap orang yang mempunyai hampir keseluruhan gigi mereka ketika usia sudah meningkat. Antara sebab kehilangan awal gigi adalah berpunca dari pengambilan makanan manis bergula, bercoklat, minuman berkarbonat di samping trauma akibat kecederaan dan kemalangan. Gigi amat penting dalam membantu kita mengunyah makanan, bertutur dengan jelas, memberi keyakinan diri dan rupa paras yang cantik.

Dentur adalah prostesis yang di perbuat daripada bahan plastik akrilik ataupun dari jenis logam tuangan bagi menggantikan gigi dan struktur yang berkaitan yang telah hilang. Ia membantu dalam memulihkan fungsi mulut dan gigi. Ia boleh ditanggalkan bagi tujuan pembersihan.

Tidak dapat di nafikan, akan terdapat beberapa masalah berkaitan dengan pemakaian dentur. masalah akan jadi lebih ketara bagi mereka yang pertama kali memakainya.

Rasa sakit

Batas tulang rahang dalam mulut ditutupi oleh lapisan gusi. Apabila dentur di letakkan kedalam mulut, gusi akan teranjak akibat di tolak dentur.  Gusi akan mudah terluka, mengakibatkan rasa sakit dan ulcer dalam mulut. Biasanya, hal ini berkaitan dengan bahagian tepi/ hujung dentur yang terlebih panjang dan terlalu mencengkam.

Dentur longgar

Bagi mereka yang tidak pernah pakai denture, pemakaian dentur pada awalnya akan terasa agak longgar Walaubagaimanapun, dentur  akan terasa lebih kemas setelah beberapa hari. masalah ini biasanya berkait rapat dengan bahagian tepi/ hujung dentur yang agak pendek menyebabkan pegangan dentur dalam mulut tidak memadai. Antara sebab lain kelonggaran dentur adalah:

  1. Penyusunan gigi palsu yang tidak harmoni dengan tisu dalam mulut
  2. Peletakan gigi palsu  yang tidak bersesuaian
  3. Ketebalan dentur yang tidak sekata dengan bahagian pinggir yang agak tebal atau terlalu nipis
  4. Keluasan dentur tidak mengikut anatomi rahang yang bersesuaian.

Hal ini juga berkaitan dengan tindakbalas oleh badan mengeluarkan air liur yang banyak dalam mulut. Hal ini terjadi sebab prosthesis dentur di anggap benda asing yang belum di kenali dalam mulut. Anda boleh menggunakan bahan pelekat dentur. Bahan pelekat ini akan membantu melekatkan dentur di dalam mulut supaya anda merasa lebih yakin dengan dentur anda. Akan tetapi, penggunaan pelekat dentur adalah tidak digalakkan untuk dentur yang sudah terlalu lama dan longgar. Anda dinasihatkan supaya membaca arahan cara menggunakan bahan tersebut dengan teliti.

Sukar bertutur

Pemakaian dentur akan menyebabkan masalah bertutur dengan jelas pada segelintir pesakit. Ini di sebabkan oleh saiz dentur yang agak besar di rahang atas dan bawah. Ruang mulut akan menjadi lebih  sempit dan pergerakan lidah dan lelangit akan terasa agak terhad. Anda perlu berlatih untuk bertutur dengan jelas selepas mendapat dentur. Biasanya, anda akan dapat menyesuaikan diri dan dapat menerima dentur baru tersebut dalam jangkamasa yang singkat.

Sukar mengunyah makanan

Pada awal pemakaian dentur, anda akan mengalami kesukaran untuk mengunyah makanan. Adalah  dinasihatkan agar mengambil makanan yang lembut terlebih dahulu. Makanan haruslah dipotong kecil dan dikunyah secara perlahan-lahan menggunakan kedua-dua belah gigi. Anda dinasihatkan mengunyah secara menbegak ke atas dan ke bawah, dan bukannya dari sisi ke sisi. Cuba elakkan dari menggunakan gigi hadapan untuk memotong makanan.

Refleks muntah

Refleks muntah boleh disebabkan oleh hujung dentur terlalu jauh di belakang (bahagian lelangit lembut) atau dentur terlalu tebal. Jika perkara ini berlaku, anda hendaklah berjumpa dengan doktor pergigian  untuk memeriksa dentur anda. Bahagian hujung ini amat penting kerana ia membantu memegang dentur atas ke lelangit.

Keradangan pada gusi berkaitan pemakaian dentur

Denture-induced stomatitis. Ia sejenis jangkitan oleh kulat/ fungus. Ini biasanya di kaitkan dengan pemakaian dentur yang berterusan termasuk ketika tidur dan panjagaan higin yang kurang memuaskan. Dentur lama lebih berisiko untuk dijangkiti. Anda mungkin tidak menyedari jika terkena jangkitan ini kerana simptomnya tidak menimbulkan rasa sakit. Di antara simptom-simptomnya ialah; tompokan kecil warna merah di sekitar lelangit mulut atau warna kemerahan pada keseluruhan mulut terutamanya di bahagian yang ditutupi oleh dentur. Jangkitan ini boleh dirawat dengan ubat dan juga dengan cara penjagaan dentur yang berkesan.

Anda perlu menanggalkan dentur tersebut untuk merehatkan gusi dan  memastikan semua permukaan dentur sentiasa bersih.

Mengatasi masalah berkaitan dentur

Selepas gigi di cabut, tulang alveolus akan mengecut, dan gusi juga akan mengecut. Proses bone remodeling ini mengambil masa dalam 3 – 12 minggu. Dalam tempoh ini, pembuatan dentur adalah tidak di galakkan. Pembuatan dentur yang terlalu awal boleh menyebabkan dentur menjadi longgar dengan cepat di samping timbulnya beberapa masalah berkaitan.

Walau bagaimanapun, masalah berkaitan pemakaian dentur ini masih boleh diperbaiki. Anda perlu pergi ke klinik pergigian berhampiran untuk dapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut.  Antara langkah yang boleh di ambil adalah pemangkasan pinggir dentur, pemangkasan gigi selektif, dan melapik dentur bagi memperbaiki padanan yang lebih baik. Anda mungkin dinasihatkan untuk mendapatkan dentur  yang baru sekiranya masalah tidak dapat di perbaiki lagi.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Isma Liza bt. Ali
Akreditor : Dr. Balkis bt. Ghazali
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,897

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia