A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gigi Palsu

Gigi palsu adalah peralatan boleh tanggal yang digunakan untuk menggantikan gigi yang telah hilang dan tisu disekitarnya.

Pendahuluan

Gigi palsu adalah peralatan boleh tanggal yang digunakan untuk menggantikan gigi yang telah hilang dan tisu disekitarnya.

Jenis-jenis gigi palsu

Terdapat tiga jenis gigi palsu iaitu gigi palsu separuh, penuh dan overdentur.

    1. Gigi palsu separuhGigi palsu separuh adalah gigi palsu yang menggantikan kehilangan beberapa batang gigi di dalam rahang.
      Gigi palsu separuh jenis akrilik untuk rahang atas
  1. Gigi palsu penuhGigi palsu penuh adalah gigi palsu yang menggantikan semua gigi asli dan struktur tisu berkaitan pada rahang atas dan bawah.
  2. OverdenturOverdentur adalah gigi palsu yang disokong oleh satu atau lebih akar gigi didalam mulut. Sebatang atau dua gigi yang tinggal di dalam mulut tidak dicabut, tetapi dipilih untuk dijadikan gigi sokongan overdentur. Gigi yang dipilih ini dijalankan rawatan akar, dan bahagian korona gigi dipendekkan dan dikontur menjadi akar gigi yang akan menyokong overdentur.
    Dua batang gigi hadapan disiapkan sebagai gigi tupang untuk overdentur.
    Overdentur dipasang didalam mulut. Overdentur ini menutupi dua gigi tupang.

Jenis-jenis bahan gigi palsu

  1. Gigi Palsu Akrilik: Gigi palsu ini dibuat daripada plastik sebagai landas/tapak, dimana gigi gantian diproses kedalam plastik (akrilik) yang berwarna merah jambu seperti warna gusi. Untuk membantu mengetatkan gigi palsu itu, satu atau lebih cangkuk diletakkan pada gigi palsu. Gigi palsu akrilik lebih murah dan mudah dibuat, tetapi ia meliputi lebih tisu lembut, sedikit tebal daripada gigi palsu Kobalt Kromium dan mudah patah.
  2. Gigi Palsu Kobalt Kromium: Rangka gigi palsu ini dibuat daripada logam Kobalt dan Kromium. Ianya lebih nipis, lebih kuat dan lebih ringan daripada gigi palsu akrilik tetapi kos pembuatannya lebih tinggi.
Kerangka Kobalt Kromium untuk gigi palsu separuh rahang atas
Gigi palsu separuh jenis Kobalt Kromium di dalam mulut

Mengapa anda memerlukan gigi palsu?

Menggantikan gigi yang hilang dengan gigi palsu akan memudahkan anda mengunyah makanan dan bercakap dengan lebih jelas. Apabila banyak gigi yang hilang, otot muka boleh mengendur dan membuatkan wajah kelihatan lebih tua. Gigi palsu juga boleh membantu mengembalikan profil wajah anda, mengembalikan semula senyuman dan membantu meningkatkan keyakinan diri. Ia juga mencegah gigi bersebelahan bergerak ke arah ruang kosong yang terjadi akibat kehilangan gigi.

Bagaimana gigi palsu dibuat?

Anda boleh mengunjungi klinik pergigian kerajaan atau swasta untuk membuat gigi palsu. Proses pembuatan gigi palsu mengambil masa kira-kira 3-6 kali lawatan. Setelah doktor gigi anda menentukan jenis gigi palsu yang terbaik untuk anda, langkah-langkah pembuatan gigi palsu adalah seperti berikut:

  1. Pada lawatan pertama, doktor gigi akan melakukan pemeriksaan gigi dan mengambil acuan pertama. Acuan ini akan digunakan untuk membuat model gigi bagi tujuan merancang dan merekabentuk gigi palsu.
  2. Doktor gigi kemudiannya akan membuat persediaan yang perlu pada gigi mengikut reka bentuk gigi palsu, dan mengambil acuan kedua untuk dijadikan model yang lebih tepat untuk pembuatan gigi palsu.
  3. Peringkat merekod gigitan: Langkah ini adalah untuk merekod gigitan antara rahang atas dan bawah dan mengukur ruang yang ada di antara kedua rahang.
  4. Peringkat percubaan: Pada peringkat ini, satu set awal gigi palsu yang diperbuat daripada lilin dibuat untuk memberi peluang kepada anda untuk mencuba gigi palsu baru. Anda boleh menilai warna dan padanan gigi sebelum gigi diproses.
  5. Peringkat penyudahan: Gigi palsu yang telah siap diproses dimasukkan ke dalam mulut dan pelarasan akan dibuat sehingga anda berasa selesa memakai gigi palsu baru. Arahan akan diberikan mengenai kepentingan membersihkan gigi sedia ada dalam mulut dan cara penjagaan gigi palsu.
  6. Peringkat rawatan susulan: Tujuan lawatan ini adalah untuk memastikan bahawa tisu mulut tidak luka akibat pemakaian gigi palsu dan untuk memastikan gigi palsu berfungsi dengan baik.

Memakai gigi palsu untuk kali pertama

Anda mungkin merasa janggal memakai gigi palsu baru untuk beberapa minggu pertama sehinggalah anda dapat menyesuaikan diri. Bercakap dan makan akan rasa berbeza dengan pemakaian gigi palsu. Gigi palsu mungkin berasa longgar sehinggalah otot pipi dan lidah anda telah belajar menetapkan posisi gigi palsu anda. Anda juga mungkin mengalami kerengsaan kecil atau kesakitan dan peningkatan pengeluaran air liur. Jika anda mengalami kerengsaan, kesakitan atau ulser, hubungi doktor gigi anda. Temujanji susulan dengan doktor gigi adalah perlu supaya anda tidak mengalami masalah dengan gigi palsu anda.

Tips untuk pemakai gigi palsu

Untuk beberapa hari pertama memakai gigi palsu, mulakan dengan memakan makanan lembut. Anda juga boleh memotong makanan anda kepada potongan kecil. Membaca dengan kuat untuk beberapa hari pertama akan membantu anda mengatasi masalah pertuturan. Anda juga boleh menggunakan pelekat gigi palsu untuk membantu anda membiasakan diri dengan pemakaian gigi palsu. Jika anda mengalami kesakitan, jangan guna gigi palsu itu untuk sementara waktu; segera berjumpa doktor gigi untuk rawatan.

Bagaimana menjaga gigi palsu anda

Berus dan bilas gigi palsu anda selepas makan dan sebelum tidur. Rendam gigi palsu dalam air biasa yang bersih bila tidak dipakai. Jangan guna air suam atau air panas. Jangan cuba untuk mengubah atau membaiki gigi palsu itu sendiri. Elakkan memakai gigi palsu semasa tidur.


Berus dan bilas gigi palsu anda selepas makan dan sebelum tidur.

Rujukan

Davenport JC, Basker RM, Heath JR, Ralph JP & Glantz PO. (2000). A Clinical Guide To Removable Partial Dentures. London: British Dental Association.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Fauziah bt. Ahmad
Akreditor : Dr. Isma Liza bt. Ali
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

Penggunaan Penapis Air : Kesan Terhadap Kesihatan Mulut

Semasa memilih alat penapis air, pastikan sistem yang digunakan oleh alat penapis air tersebut. Kita perlu tahu bahawa terdapat sistem penapis air di rumah yang boleh mengurangkan kesan fluorida dan mineral yang lain yang terkandung di dalam air minuman kita seperti sistem penapis air osmosis berbalik (reverse osmosis) dan penyulingan.

Memberus Gigi

Memberus gigi boleh membersihkan sisa makanan dan plak dari permukaan gigi. Ia juga merupakan salah satu cara untuk menyapu fluorida yang kepada bahagian gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,300

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia