A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Berdengkur : Tanya Kepada...

Berdengkur : Tanya Kepada Doktor Gigi Anda Untuk Mendapatkan Bantuan

Berdengkur adalah salah satu masalah pernafasan semasa tidur yang dicirikan oleh pengulangan halangan pada sistem pernafasan dan menyebabkan oksihemoglobin menjadi tepu semasa tahap tidur nyenyak.

Berdengkur adalah salah satu masalah pernafasan semasa tidur yang dicirikan oleh pengulangan halangan pada sistem pernafasan dan menyebabkan oksihemoglobin menjadi tepu semasa tahap tidur nyenyak. Dengkuran berlaku apabila udara tidak dapat bergerak secara bebas melalui hidung dan tekak semasa tidur. Ini akan menyebabkan tisu-tisu sekeliling bergetar dan mengeluarkan bunyi dengkuran. Orang yang berdengkur biasanya mempunyai tisu yang tebal pada tekak dan hidung yang lebih cenderung untuk bergetar. Kedudukan lidah juga boleh menjadi halangan kepada pernafasan yang lancar.

Dengkuran boleh disebabkan oleh beberapa punca yang biasa seperti;

  1. Berat badan berlebihan – tisu lemak dan tonus otot yang lemah menyumbang kepada dengkuran. Lemak yang berlebihan disekeliling leher dan tekak juga boleh menyumbang kepada dengkur.
  2. Usia- seiring dengan peningkatan usia, tekak akan menjadi lebih sempit, dan ton otot tekak juga akan berkurangan.
  3. Kerangka tubuh – lelaki mempunyai saluran udara yang lebih sempit daripada wanita dan lebih cenderung untuk berdengkur. Tekak sempit, lelangit rekah, adenoid yang membesar dan faktor-faktor fizikal lain yang menyumbang kepda dengkuran biasanya adalah faktor keturunan dan diwarisi.
  4. Masalah hidung dan sinus- saluran udara atau hidung tersumbat menyebabkan proses pernafasan menjadi sukar dan menghasilkan ruang vakum di dalam tekak, yang menyebabkan bunyi dengkuran
  5. Alkohol, merokok dan ubat-ubatan- Pengambilan alkohol, merokok dan sesetengah ubat penenang seperti lorazepam (Ativan) dan diazepam (Valium), boleh meningkatkan pengenduran otot dan menyumbang kepada dengkuran.
  6. Postur tidur – Tidur secara terlentang boleh menyebabkan daging di bahagian tekak mengendur dan menghalang saluran pernafasan. Mengubah posisi tidur dapat membantu mengurangkan dengkur.

Adalah penting untuk mengambil perhatian mengenai cara tidur yang berbeza dan juga dengkuran

  1. Berdengkur dengan mulut tertutup menunjukkan masalah berpunca dari lidah
  2. Berdengkur dengan mulut terbuka menunjukkan masalah berpunca dari tisu sekeliling tekak
  3. Berdengkur semasa tidur terlentang berkemungkinan besar adalah masalah dengkur yang minima- mengubah tabiat tidur dan gaya hidup boleh menjadi penawar yang efektif
  4. Jika pada semua jenis posisi tidur kita berdengkur ini mungkin menunjukkan masalah yang serius dan memerlukan rawatan yang lebih komprehensif

Jika masalah dengkur kerapkali berlaku, ia boleh memberi kesan kepada kuantiti dan kualiti tidur seseorang itu sendiri dan sekaligus boleh menganggu ahli keluarga dan juga rakan sebilik yang lain. Dengkuran boleh menyebabkan kekurangan waktu tidur yang berkualiti dan menyebabkan keletihan yang amat pada waktu siang, cepat marah dan meningkatnya masalah kesihatan. Berdengkur juga adalah indikasi kepada apnea tidur iaitu salah satu halangan pernafasan yang berpotensi mengancam nyawa dan memerlukan rawatan perubatan. Ia juga menyebabkan si penghidap apnea tidur sentiasa terjaga untuk bernafas semula kerana pernafasan terhenti secara tiba-tiba. Dengkur yang normal tidak mengganggu kualiti tidur seseorang sebagaimana apnea tidur Jika anda mengalami keletihan yang melampau dan rasa mengantuk yang tidak dapat dikawal pada waktu siang hari, masalah anda mungkin bukan hanya dengkur biasa. Apnea tidur boleh menyebabkan beberapa masalah, termasuklah;

  1. Gangguan pernafasan yang panjang semasa tidur (lebih daripada 10 saat) disebabkan oleh sebahagian atau keseluruhan salur udara yang tersumbat
  2. Kerap terjaga dari tidur tanpa disedari
  3. Tidur yang tidak nyenyak- orang yang menghidapi apnea tidur tidak akan dapat mencapai tidur nyenyak kerana mereka perlu menjaga otot tekak supaya cukup tegang untuk mengekalkan aliran udara.
  4. Tekanan pada jantung-penghidap apnea tidur kronik selalunya mudah mendapat penyakit darah tinggi dan boleh menyebabkan pembesaran jantung (kardiomegali) dan mempunyai risiko yang tinggi diserang penyakit jantung dan juga strok.
  5. Tidur malam yang tidak berkualiti-ini boleh menyebabkan rasa sentiasa mengantuk pada waktu siang dan akan mengganggu kualiti hidup
  6. Kadar oksigen yang rendah dalam darah – keadaan ini boleh menyebabkan salur darah menyempit di dalam paru-paru dan menghasilkan ‘hypertensi pulmonari’.
  7. Sakit kepala yang berpanjangan
  8. Kegemukan
  9. Keletihan dan mengantuk yang berlebihan pada waktu siang

Rawatan untuk berdengkur dan apnea tidur obstruktif adalah dua bidang perubatan di mana pengamal pergigian boleh memainkan peranan yang sangat penting di dalam menangani permasalahan ini. Disebabkan oleh kurangnya perhatian yang diberikan oleh orang awam dan juga golongan professional, adalah penting untuk merekodkan masalah dengkur pesakit, mengantuk pada waktu siang dan juga tanda dan gejala lain yang menjurus kearah apnea tidur obstruktif. Terapi applians oral telah diterima pakai sebagai salah satu modaliti rawatan untuk sesetengah pesakit oleh ‘American sleep Disorders Association’.

Aplians oral telah menunjukkan tahap kejayaan yang besar apabila digunakan oleh pesakit yang menghidapi dengkur biasa, rintangan salur udara pernafasan atas dan apnea tidur obstruktif ringan dan sederhana. Kajian ini juga menunjukkan kumpulan pesakit yang menggunakan applians oral ini sangat berkesan kepada pesakit apnea tidur obstruktif yang ringan atau sederhana dengan kadar komplians adalah 75% (Lowe, 1994).

Aplians oral boleh mengangkat lelangit lembut atau lidah dan mandible dan membolehkan pembukaan salur pernafasan. Gabungan aplians oral dan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) juga telah digunakan untuk merawat sesetengah kes.

Aplian-aplian oral adalah seperti berikut;

  1. Aplians pengangkat lelangit lembut – pengangkat lelangit lembut adalah sangat jarang digunakan kerana ia boleh menyebabkan rasa ingin muntah dan ketidakselesaan
  2. Peranti penahan lidah- mempunyai mentol berongga anterior, yang mewujudkan vakum tekanan negatif apabila lidah dimasukkan. Lidah yang dipegang kehadapan daripada dinding faringeal, sekaligus membuka saluran pernafasan
  3. Alat Posisi semula mandibel (MRD / MAD) – melibatkan satu atau kedua-dua rahang pergigian dalam mengubahsuai protrusi mandible. Ini  secara tidak langsung membawa lidah ke hadapan dan membuka saluran udara posterior (sila rujuk Rajah 1 dan Rajah 2).


Rajah 1 : Aplian Reposisi Mandibel tidak boleh laras


Rajah 2:Aplian Reposisi Mandibel

Kelebihan aplians oral dalam merawat apnea tidur adalah kos yang secara relatifnya lebih rendah, kadar kejayaan yang lebih tinggi, kesan yang lebih cepat dan penamatan yang mudah dengan sekuela (Padma A, 2007). Kesan sampingan aplians oral ini secara keseluruhannya adalah sangat sedikit dan biasanya melibatkan pengeluaran air liur yang berlebihan, ketidakselesaan otot dan gigi dan kadang-kadang menyebabkan ketidakselesaan sendi temporomandibel. Tetapi simptom kebiasaannya akan hilang seirring dengan masa.

Memandangkan berdengkur boleh membawa kepada apnea tidur obstruktif dan meningkatkan risiko pesakit mendapat serangan jantung, strok dan kematian awal, doktor gigi mungkin berada di dalam kedudukan kritikal sebagai penyaring dan merawat pesakit. Walau bagaimanapun, ia adalah perlu bagi doktor gigi bekerja sebagai satu pasukan yang memberikan rawatan bersama pakar perubatan dan pakar tidur dan tidak mengambil tanggungjawab untuk membuat diagnosis dan memberi rawatan dengan secara solo.

Rujukan

  1. Lowe, A. (1994). Dental appliances for treatment of snoring and sleep apnoea. In R. T. Kruyger M, Principles and practice of sleep medicine (pp. 722-735). Philidelphia: Saunders Co.
  2. Maglioca KR, H. J. (2000). Obstructive sleep apnoea Diagnosis, medical management and dental implications. J Am Dent. Assoc. Vol 136, 1121-1129.
  3. Padma A, R. N. (2007). Management of obstructive sleep apnea: A dental perspective. J Dent Res, 201-209.
  4. Waller PC, B. R. (1989). Is snoring a cause of vascular disease. An epidemiological review. Lancet, 143-146.
 
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Zaihan bt. Othman
Akreditor : Dr. Nama Bibi Saerah bt. Abd. Karim
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,238

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia