A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Pelekat Keselamatan Hologram MeditagTM...

Pelekat Keselamatan Hologram MeditagTM Terkini

Pendaftaran Produk Farmaseutikal di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan semua keluaran farmaseutikal dan produk penjagaan kesihatan yang berada di pasaran adalah berkualiti, selamat, berkesan dan dikawal mengikut undang-undang yang berkaitan. Oleh itu, semua produk farmaseutikal termasuklah suplemen kesihatan dan produk tradisional perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum boleh dipasarkan di Malaysia.

Produk yang berdaftar dengan PBKD adalah berkualiti dan selamat untuk diambil oleh orang ramai. Setiap produk farmaseutikal yang berdaftar akan diberikan satu nombor pendaftaran khusus yang perlu dicetak pada label atau pembungkusan produk tersebut. Nombor pendafatarn ini dimulakan dengan ‘MAL’, diikuti dengan 8 nombor dan diakhiri dengan huruf, contohnya MAL 20001564T.

Walaubagaimanapun, pemantauan pasaran oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM mendapati wujud produk farmaseutikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu ataupun nombor pendaftaran milik produk lain. Ini kerana nombor pendaftaran ini mudah ditiru dan pengguna sukar untuk mengesahkan kesahihannya semasa membeli.

Bagi mengatasi masalah ini dan meningkatkan lagi keselamatan dan identiti produk yang berdaftar dengan PBKD, kementerian telah mengambil satu langkah proaktif dengan memperkenalkan dan mewajibkan penggunaan pelekat label keselamatan Hologram Meditag TM pada semua produk farmaseutikal. Hologram ini yang mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang boleh diperhatikan oleh pengguna dan pegawai penguatkuasa farmasi telah mula digunakan pada 1 Mei 2005.

Gambar 1: Produk yang berdaftar dengan PBKD mempunyai 2 ciri iaitu nombor pendaftaran dan pelekat keselamatan Hologram Meditag TM versi kedua

Pengenalan Pelekat Keselamatan Hologram Meditag TM

Hologram MeditagTM ini yang dikeluarkan oleh Syarikat Mediharta Sdn Bhd hanya dibekalkan kepada pengilang yang mempunyai lesen GMP (Amalan Pengilangan Baik) ataupun pengimport yang dilesenkan oleh KKM bagi memastikan ia tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pelekat label Hologram MeditagTM mempunyai ciri keselamatan yang tinggi dan setiap satu diberikan nombor siri. Pada 1 September 2006, hologram versi pertama telah digantikan dengan versi kedua yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan sebagai langkah tambahan untuk memudahkan pengguna dan mengelakkan pengeluaran pelekat hologram tiruan.

Penggunaan hologram MeditagTM ini telah berjaya memudahkan pengguna untuk mengenal pasti produk-produk farmaseutikal yang berdaftar selain membantu pegawai penguatkuasa farmasi mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap produk-produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dengan KKM.

Pelekat Keselamatan Hologram MeditagTM III Terkini (2012)

Selaras dengan perkembangan sains dan teknologi selain untuk meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan, hologram versi ketiga (Meditag III) telah diperkenalkan dan mula digunakan pada 1 November 2012. Hologram terbaru ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan lebih mesra pengguna.

hologram-3bi

Gambar 2: Peningkatan ciri-ciri keselamatan pada hologram MeditagTM III selaras dengan perkembangan sains dan teknologi terkini

Bagi memudahkan pengguna membuat pengesahan ketulenan hologram bagi produk yang dibeli, KKM telah membekal sejenis alat yang dinamakan dekoder Meditag kepada semua premis farmasi berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi setiap negeri. Alat ini wajib diletakkan pada kaunter dalam premis farmasi agar senang digunakan oleh orang ramai untuk membuat pengesahan ketulenan produk yang dibeli. Dengan ini, secara tidak langsung pengguna juga boleh mendapatkan khidmat nasihat ubat-ubatan daripada ahli farmasi yang berkenaan.

Gambar 3: Semak ketulenan hologram produk anda menggunakan Dekoder Meditag yang terdapat di kedai farmasi berdekatan.

Cara Penggunaan alat “Decoder Hologram MeditagTM” untuk memastikan ketulenan label hologram MeditagTM

Pandangan sebelum slide dekoder digerakkan – Huruf ‘KKM tidak kelihatan Gerakkan slide dekoder ke atas – Huruf KKM akan muncul

Aplikasi MeditagTM Checker

Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, KKM juga telah mengambil inisiatif memperkenalkan aplikasi telefon pintar MeditagTM Checker untuk memudahkan pengguna mengenalpasti ciri-ciri hologram MaditagTM yang tulen pada produk farmaseutikal. Pengguna boleh muat turun aplikasi MeditagTM Checker ini secara percuma melalui Google Playstore bagi sistem android dan melalui App Store bagi sistem iOS.

Gambar 4: Aplikasi MeditagTM Checker boleh dimuat turun secara percuma untuk pengguna telefon pintar Android ataupun iOS.

Peranan pengguna

Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM dan sentiasa menyemak ketulenan produk yang dibeli. Elakkan dari mengambil produk yang tidak berdaftar dengan KKM ataupun produk yang meragukan. Jika terdapat sebarang keraguan, pertanyaan ataupun aduan mengenai produk tidak berdaftar, pengguna boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM di talian 03-78413200 ataupun e-mel pharmacy1@moh.gov.my

  1. Malaysian Laws On Poisons And Sale Of Drugs. International Law Book Services. Kuala Lumpur. 2006.
  2. http://www.pharmacy.gov.my
  3. http://www.knowyourmedicine.gov.my
Semakan Akhir : 11 Jun 2014
Penulis : Rahman bin Baco
Akreditor : Mazlan bin Ismail

 

Artikel Berkaitan

Orlistat

Apa Itu Orlistat? Orlistat merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,525

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia