A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Overdentur

Overdentur adalah dentur sebahagian atau dentur penuh yang menutupi satu atau lebih gigi , tunggul gigi dan/atau implan pergigian.


Gambar 1

Overdentur adalah dentur sebahagian atau dentur penuh yang menutupi satu atau lebih gigi , tunggul gigi dan/atau implan pergigian.

Apabila gigi dicabut, tulang alveolar akan mengecut. Ini menyebabkan kurangnya sokongan dan pegangan  terhadap dentur seterusnya menyebabkan kesukaran untuk memakai dentur. Oleh yang demikian, sekiranya gigi atau tunggul gigi masih boleh dikekalkan di dalam tulang alveolar, ia akan mengekalkan jisim tulang alveolar rahang daripada mengecut, seterusnya memudahkan pesakit untuk memakai dentur.

Overdentur diindikasikan untuk pesakit yang mempunyai bilangan gigi yang sedikit pada rahang,  pesakit yang mempunyai masalah hubungan batas gusi atas dan bawah, dan pesakit yang hanya memerlukan sama ada dentur bawah atau dentur atas sahaja. Selain itu ia juga diindikasikan untuk pesakit yang mempunyai posisi lidah atau pelekatan otot yang tidak normal dan juga pesakit yang mempunyai lelangit yang tinggi yang mana akan memberi kesan ke atas kestabilan dan juga pegangan dentur.

Overdentur tidak boleh diindikasikan kepada pesakit yang mempunyai kebersihan mulut yang tidak memuaskan, pesakit yang mempunyai komplikasi perubatan dan juga pesakit yang tidak mempunyai ruang yang mencukupi di antara rahang atas dan bawah.

Overdentur dapat memberi beberapa kebaikan kepada pesakit. Di antaranya ialah ia dapat mengekalkan paras tulang alveolar dan propriosepsi serta meningkatkan kestabilan dan pegangan dentur. Overdentur boleh diubah menjadi dentur penuh bila perlu. Pesakit akan mendapat kesan psikologi yang baik seumpama mereka masih mempunyai gigi sendiri dan boleh meningkatkan kemahiran untuk mengendalikan dentur di dalam mulut.

Turutan rawatan

Overdentur yang disokong oleh gigi memerlukan rawatan kanal akar terlebih dahulu pada gigi yang akan dikekalkan di dalam mulut sebagai abutmen. Gigi kanin (taring) dan premolar (molar kecil) adalah gigi yang terbaik sebagai abutmen. Ini adalah kerana kedudukannya yang paling sesuai. (Gambar 2)


Gambar 2

Bahagian korona gigi akan dipotong pada paras gusi.  (Gambar 3)

Gambar 3

Bahagian permukaan gigi yang tinggal  akan ditutup dengan bahan tampalan komposit (Gambar4), amalgam  atau logam (Gambar 5) dan dibentuk seperti kubah.

Gambar 4
Gambar 5

Elemen retensi boleh diletakkan di atas permukaan gigi tersebut untuk bertindak sebagai penyokong dan pegangan tambahan kepada dentur. (Gambar 6 & Gambar 7).

Gambar 6
Gambar 7

Overdentur yang disokong oleh implan boleh menggunakan berbagai jenis elemen retensi untuk memberi pegangan tambahan kepada dentur ( Gambar 8, Gambar 9, Gambar 10 & Gambar 11)

Gambar 8
Gambar 9
   
Gambar 10
Gambar 11

Walaupun overdentur memberikan kebaikan kepada pesakit, akan tetapi  terdapat juga beberapa kesan buruk seperti kejadian karies dan penyakit gusi. Pesakit mestilah mempunyai tahap kebersihan mulut yang optimum untuk mengelakkan kejadian karies dan penyakit gusi.  Salah satu faktor penyebab kejadian karies adalah pengumpulan plak dibahagian bawah overdentur akibat dari kolonisasi bakteria. Ini memerlukan kesungguhan dan keperihatinan pesakit yang tinggi untuk mengelakkan dari berlakunya karies. Pesakit dinasihatkan supaya tidak memakai dentur semasa tidur, berkumur dan membersihkan dentur setiap kali selepas makan. Selain itu, pesakit perlu memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida sekurang-kurangnya 2 kali sehari.

Flanj overdentur selalunya kelihatan lebih cembung dan nipis di kawasan yang menutupi tunggul gigi. Ini akan memberi kesan pada estetik dan mempengaruhi kekuatan dentur tersebut.

Selain itu, rawatan overdentur adalah lebih mahal jika dibandingkan dengan dentur biasa. Rawatan ini juga  melibatkan bilangan temujanji yang lebih kerap berbanding dengan rawatan dentur biasa.

Rujukan

  1. Ettinger RL. Do Root Supported Overdentures Have a Good Prognosis in General Dental Practice? Oral Health Journal, 2014.
  2. Miller P.A. Complete Dentures Supported by Natural Teeth. J Prosthet Dent 1958;8:924-8.
  3. Tooth supported overdenture: A concept overshadowed but not yet forgotten! Rupandeep Kaur Samra1, Shreenivas Vasant Bhide2, Chhavi Goyal3, Taranjit Kaur4  Year : 2015  |  Volume : 7  |  Issue : 1  |  Page : 16-21
  4. Sadowsky SJ. The implant-supported prosthesis for the edentulous arch: design considerations. J Prosthet Dent. 1997;78:28-33.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Isma Liza bt. Ali
Akreditor : Dr. Fauziah bt. Ahmad
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,342

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia