A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penaksiran Risiko Bahan Kimia...

Penaksiran Risiko Bahan Kimia Kepada Kesihatan (CHRA)

Di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 ada dinyatakan bahawa wajib dijalankan penaksiran risiko bahan kimia kepada kesihatan di tempat kerja dan majikan tidak dibenarkan menggunakan sebarang bahan kimia berbahaya kepada kesihatan melainkan penilaian risiko terhadapnya telah dilakukan.

 

Pengenalan

Melindungi pekerja dari sebarang kesan sampingan akibat pendedahan kepada bahan kimia merupakan salah satu tanggungjawab majikan seperti yang termaktub dibawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Bagi menjalankan tanggungjawab ini, penaksiran risiko terhadap bahan kimia yang digunakan ditempat kerja perlu dijalankan untuk mengenalpasti, menilai dan mengawal sebarang risiko yang berkaitan dengan aktiviti yang melibatkan penggunaan bahan kimia. Di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 ada dinyatakan bahawa wajib dijalankan penaksiran risiko bahan kimia kepada kesihatan di tempat kerja dan majikan tidak dibenarkan menggunakan sebarang bahan kimia berbahaya kepada kesihatan melainkan penilaian risiko terhadapnya telah dilakukan.

Rajah 1 : Label Bahan Kimia Berbahaya

Bahan Kimia Berbahaya di Tempat Kerja

Bahan Kimia merupakan unsur kimia, sebatian atau campuran daripadanya, sama ada asli atau tiruan tetapi tidak termasuk mikroorganisma. Bahan kimia berbahaya di tempat kerja terdiri daripada;

  • Bahan kimia yang dibawa ke tempat kerja, digunakan atau disimpan (cat, agen pencuci, pelarut dan gam)
  • Bahan kimia yang terhasil daripada proses atau pekerjaan yang dilakukan (asap daripada aktiviti kimpalan dan wap daripada aktiviti mengecat)
  • Bahan atau campuran yang terhasil daripada proses kerja atau tindak balas kimia termasuk sisa bahan kimia / by-product

*Bahan kimia dianggap bahaya bukan sahaja kerana kandungan yang terdapat didalamnya tetapi cara bahan itu digunakan di tempat kerja.

Rajah 2 : Contoh Label Bahan Kimia Berbahaya

Tanggungjawab Majikan

Setiap majikan perlu menjalankan penaksiran bertulis mengenai risiko (CHRA) yang mungkin terhasil daripada bahan kimia kepada kesihatan pekerja sebelum sesuatu kerja dijalankan. Oleh itu majikan boleh melantik Pengapit yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk menjalankan penaksiran risiko bahan kimia kepada kesihatan di tempat kerja mereka seperti mana yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000. Pengapit boleh merujuk manual Assessment of the Health Risks Arising from Use of Hazardous Chemical in the Workplace (2nd Edition-2000) yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk menjalankan penaksiran risiko bahan kimia kepada kesihatan.

 “Pengapit” merujuk kepada seseorang pekerja atau mana-mana orang lain yang dilantik oleh majikan dan berdaftar dengan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk menjalankan penaksiran risiko kepada kesihatan.

Langkah-langkah Penaksiran Risiko Bahan Kimia Kepada Kesihatan (CHRA)

Secara umumnya, penilaian penuh akan dijalankan di setiap unit kerja. Merujuk kepada Garis Panduan “Manual Assessment of the Health Risks Arising from Use of Hazardous Chemical in the Workplace (2nd Edition-2000)” yang dikeluarkan oleh oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terdapat beberapa langkah yang perlu dijalankan, antaranya; 

  1. Melantik Penilai (Pengapit)
  2. Mengumpulkan Maklumat berkaitan bahan kimia, pekerjaan dan cara kerja
  3. Bahagikan kepada unit kerja
  4. Menentukan Tahap Bahaya
  5. Menilai Pendedahan
  6. Menilai keberkesanan langkah kawalan
  7. Kesimpulan terhadap penilaian
  8. Mengenalpasti tindakan yang perlu diambil
  9. Melaporkan penilaian yang telah dijalankan
  10. Kajian Semula

Generik CHRA

Penaksiran risiko bahan kimia berbahaya kepada kesihatan (CHRA) secara generik atau dikenali sebagai Generik CHRA boleh digunakan apabila bahan kimia berbahaya kepada kesihatan di beberapa buah tempat kerja dikendalikan atau digunakan dengan tatacara kerja atau kaedah yang sama dan langkah-langkah kawalan yang sama. Penaksiran dijalankan bagi mewakili tempat kerja atau pekerjaan yang mempunyai risiko yang setara serta tindakan dan cadangan langkah kawalan yang sama. Generik CHRA boleh dijalankan bagi tempat kerja yang sama seperti kilang sawit, kilang getah rangkaian restoran makanan segera dimana aktiviti kerja yang dijalankan mempunyai risiko yang setara.

Penilaian Risiko dan Kawalan Ringkas

Penilaian Risiko dan Kawalan Ringkas atau Simple Risk Assessment and Control (SiRAC) merupakan satu pendekatan lain yang boleh diambil. Pendekatan ini boleh digunakan untuk melakukan penilaian ringkas ke atas proses pengelasan risiko tempat kerja serta langkah kawalan berdasarkan kombinasi maklumat hazard dan pendedahan pada bahan kimia berbahaya yang lebih menekankan kepada kawalan risiko. Pendekatan ini hanya boleh diaplikasikan sekiranya bahan kimia tersebut;

  • Bahan kimia yang tersenarai dalam daftar bahan kimia
  • Bahan kimia yang tidak diklasifikasikan sebagai karsinogen 1; mutagen kategori 1 atau 2, atau berbahaya pada pemekaan pernafasan kategori 1 seperti terkandung dalam Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelebelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013
  • Proses yang tidak menghasilkan debu, asap
  • Bukan debu organik dan gas

SiRAC boleh dijalankan oleh seseorang yang mempunyai pengetahuan dalam;

  • Cara penafsiran Risalah Data Keselamatan
  • Proses kerja dan tugas
  • Prinsip dasar pengenalpastian Hazard, penafsiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)
  • Keperluan asas Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 dan panduan yang releven.

 

Rujukan

  1. Department of Occupational Safety and Health. (2000). Occupational Safety and Health (Use and Standard of Exposure of Chemical Hazardous to Health) Regulation. (http://www.dosh.gov.my/images/dmdocuments/regulations/AKKP/ve_usechh_2000v02.pdf)

  2. http://www.dosh.gov.my/index.php/en/chemical-management/usechh-regulation
  3. http://www.dosh.gov.my/index.php/ms/osh-info-2/chemical-issues-sp-265/344-simple-risk-assessment-and-control-sirac
  4. http://www.dosh.gov.my/index.php/ms/543-public-poll/1822-label-of-hazardous-chemicals
  5. https://standardsusers.blogspot.my

 

Semakan Akhir : 06 November 2017
Penulis : Mohamad Mustaqim bin Shukri
Akreditor : Mohamad Ridzuan bin Mohamad Salleh

Artikel Berkaitan

Urin 24 Jam

Definisi Urin 24 jam adalah urin yang dipungut oleh seseorang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,437,532

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia