A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Penderaan
  6. /
  7. Aspek Kesihatan Mental bagi...

Aspek Kesihatan Mental bagi Mangsa Penderaan

Tidak kira apa jenis penderaan kanak-kanak, ia selalunya disebabkan oleh penyalahgunaan kuasa dan kawalan terhadap kanak-kanak.

Tidak kira apa jenis penderaan kanak-kanak, ia selalunya disebabkan oleh penyalahgunaan kuasa dan kawalan terhadap kanak-kanak. Secara amnya, ia disebabkan perasaan marah, kurang kemahiran keibubapaan dan tiada komitmen dalam memastikan kesempurnaan kehidupan anak. Bagi penderaan seksual kanak-kanak, pendera mendapatkan kepuasan seks dengan menggunakan kuasa dan bila berjaya mengawal kanak-kanak.

Pemulihan/Rehabilitasi

Bagi keluarga yang miskin atau kekurangan tanggungjawab sosial dan keluarga, penjaga tersebut mungkin akan merasa gagal dan ini akan menyebabkan rasa rendah diri dan penguasaan emosi yang rendah. Ini akan menyebabkan kegagalan mengawal kemarahan dan kekecewaan dalam keadaan krisis, dan menjurus kepada penderaan.

Oleh itu dalam proses pemulihan, bagi kes yang berkaitan adalah amat penting untuk menghapuskan atau mengurangkan masalah kewangan dan tekanan sosial yang wujud serta memberikan pendidikan dan cara bagi berkenaan menangani kemarahan, penguasaan dorongan mendadak (impulse control) untuk mengurangkan risiko penderaan.

Reaksi manusia terhadap kecederaan/trauma

Terdapat 5 ciri utama tindakan manusia terhadap kecederaan ;

  1. Mudah terkejut dan keluh-kesah yang berterusan.
  2. Kecenderungan untuk memberontak dan menunjukkan keganasan
  3. Pemikiran tertumpu hanya kepada kecederaan/trauma
  4. Amnya mempunyai tahap fungsi personaliti yang terhad
  5. Mengimpikan kehidupan yang mustahil

Aspek perlakuan dan emosi

Mangsa penderaan kanak-kanak mungkin mengalami gangguan tekanan selepas trauma “post-traumatic stress disorder” (PTSD). Pola PSTD akut ini secara tipikalnya dapat dilihat atau dikesan oleh ibu bapa atau penjaga.

Pola penolakan dicirikan oleh penafian keadaan atau kegagalan menerima hakikat. Kanak-kanak tersebut selalu menyendiri, tidak bermaya untuk belajar dan hidup, dan kelihatan termenung dan selalu berangan. Kanak-kanak ini mungkin mencari jalan keluar dengan penglibatan dalam penyalahgunaan dadah, menunjukkan fobia (takut dalam keadaan tertentu) mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan di rumah, sekolah, kelihatan murung, dan terlibat dengan salah laku.

Pola agresif dicirikan dengan perlakuan dan kemarahan yang ditunjukkan. Bentuk ini ditunjukkan dengan secara jelas atau rahsia. Kanak-kanak ini mungkin akan menguji atau melanggar peraturan, dan menunjukkan peningkatan pemberontakan. Kanak-kanak mungkin bergaduh dengan rakan sebaya atau adik beradik atau menunjukkan tentangan secara terang-terangan terhadap orang dewasa.

Jika kanak-kanak itu mampu menerima kejadian yang ganas semasa usia muda dalam dirinya dia akan dapat menghargai situasi dan proses kehidupan dan tidak menganggap dirinya bersalah, beliau tidak akan mengalami tekanan mental atau pun gangguan emosi. Kanak-kanak yang pernah didera mungkin berkelakuan seolah-olah kejadian berulang dan mengalami mimpi ngeri yang tidak ketahuan. Pada peringkat ini kanak-kanak mungkin berasa takut bahawa pendera akan datang semula untuk mengulangi penderaan tersebut.

Kanak-kanak yang pernah didera juga mungkin akan bertindak seperti kejadian/trauma yang dialami dengan menjadi pendera atau terus menjadi mangsa. Tindakan membuli kanak-kanak lain yang lebih kecil dan lemah adalah salah satu contoh di mana mangsa cuba untuk mendapat kuasa atau merasa berkuasa terhadap kejadian yang berlaku terhadap mereka.

Perlakuan atau pemikiran tentang trauma yang dialami mungkin juga akan bermanifestasi sebagai mimpi atau fantasi . Ini juga mungkin akan mengarah kepada pendedahan dalam cara simbolik seperti aksi ganas. Fantasi simbolik ini akan menjurus kepada reaksi psikotik pada masa akan datang.

Apabila seseorang kanak-kanak tidak dapat mengaitkan perkara yang berlaku, mengaku kalah, perlakuan yang destruktif terhadap trauma penderaan, dan tiada penyelesaian oleh itu ketakutan akan berterusan. Ini akan menyebabkan ketidakupayaan untuk menggunakan pengalaman baru untuk perkembangan dan pertumbuhan yang sihat. Kanak-kanak ini mengalami kegagalan untuk menerima informasi, ‘hyper alert’ dan tidak dapat mempercayai orang lain.

Apabila seseorang kanak-kanak memberitahu tentang penderaan…

Apabila seseorang kanak-kanak memberitahu orang dewasa yang dipercayai tentang penderaan, amat penting bagi orang dewasa untuk mempercayainya dan membuat laporan tentang penderaan tersebut. Amatlah membahayakan sekiranya tidak mempercayai kanak-kanak tersebut dan menghantarnya kembali kepada pendera dari mempercayainya, membuat laporan, dan siasatan dijalankan walaupun akhirnya didapati pendera tidak bersalah. Adalah amat penting untuk memahami bahawa bagi seorang mangsa untuk memberitahu mengenai penderaan, itu adalah amat sukar bagi kanak-kanak tersebut. Sekiranya kanak-kanak memberitahu dan berkata benar, tetapi tiada tindakan dilakukan, ini akan mengukuhkan kepercayaan kanak-kanak tersebut bahawa keadaan ini di luar kawalan dan tiada sesiapa dapat membantunya.

Bekerja dengan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan

Tahap perkembangan kanak-kanak perlu diambil kira.

Berkomunikasi dengan kanak-kanak selalunya melalui terapi permainan, melukis gambar, bercerita dan cara ekspresi tanpa lisan. Kepercayaan perlu didapatkan (gained) dari kanak-kanak dengan sikap yang ditunjukkan dalam suasana yang jujur dan menunjukkan sifat ikhlas tanpa perbezaan.

Matlamat jangka pendek perawatan

  • Untuk mewujudkan kepercayaan dan komunikasi berterusan.
  • Untuk menggalakkan kanak-kanak mendapat kawalan terhadap keadaan sekelilingnya.
  • Untuk merasa selamat untuk meneroka perkara baru (explore).
  • Untuk memahami penyebab kerisauan atau ketakutan berkaitan dengan kejadian penderaan.
  • Kanak-kanak perlu belajar untuk meneroka, mencuba dan bermain serta merasai kebolehan menguasai persekitaran untuk sembuh. Kakitangan kesihatan perlu memastikan dari masa ke semasa bahawa kanak-kanak sedar dan memahami ketakutan dan kerisauan mereka.

Frasa yang berguna untuk membantu kanak-kanak adalah :

  • “Ini adalah perkara yang sangat teruk yang telah terjadi kepada anda”.
  • “Ianya bukanlah kesalahan anda yang menyebabkan ia berlaku”.
  • “Kadangkala orang dewasa mengambil keputusan yang salah dan melakukan perkara yang salah”.
  • “Sekarang adalah masanya untuk fokus terhadap diri anda dan mencari jalan untuk melalui kehidupan seperti biasa”.
  • “Melupakan apa yang berlaku bukanlah cara menyelesaikan masalah. Untuk mengingati apa yang berlaku memang menakutkan pada mulanya, tetapi mengingatinya dengan cara baru atau berbeza akan membantu anda menjalaninya dan meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain”.

Matlamat jangka panjang perawatan

  • Untuk membantu kanak-kanak melalui trauma yang lalu tanpa perasan takut dan bimbang.
  • Untuk membolehkan mereka melalui cabaran baru seperti tekanan rakan sebaya, identiti dan persepsi tugas, harga diri dan perkembangan moral.
  • Jangka masa perawatan bergantung kepada jenis, keterukan dan jangka masa penderaan dan kemahiran kanak-kanak tersebut menangani masalah.

Rujukan

  1. Giardino E.R., Giardino A.P. 2003. Nursing approach to the evaluation of child maltreatment
  2. G.W.Medical Publishing Inc., St Louis
  3. Van der kolk B., 1987. Psychological trauma. Washington DC: American Psychiatric Press
Tarikh Akhir Kemaskini : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Irene Cheah Guat Sim
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Faktor Risiko Penderaan

Tiada satu faktor pun yang dapat menerangkan kenapa sebahagian individu bersikap ganas terhadap kanak-kanak atau kenapa penderaan berlaku dalam sesuatu masyarakat lebih kerap berbanding dengan sesetengah masyarakat yang lain. Risiko penderaan meningkat jika terdapat faktor-faktor tertentu dikalangan ibu bapa atau ahli keluarga yang lain.

Melaporkan Penderaan Kanak-Kanak

Sesiapa sahaja yang mengetahui, atau mengesyaki, mana-mana kanak-kanak dalam bahaya atau berisiko untuk di dera dan di abai perlu melaporkan kepada pegawai pelindung kanak-kanak (Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM) atau menghantar kanak-kanak tersebut ke hospital yang berdekatan.

Penderaan Kanak-Kanak

Penderaan kanak-kanak adalah masalah global yang besar. Ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,651

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia