A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penyakit Periodontal dan Rawatan Ortodontik

Hasil rawatan ortodontik yang memuaskan boleh dicapai jika pesakit memberi kerjasama yang baik dan kesihatan tisu periodontium yang memuaskan dapat dikekalkan tanpa sebarang kerosakan/kemusnahan yang berlanjutan.

 

Periodontitis (penyakit periodontal/ penyakit gusi) adalah penyakit keradangan yang melibatkan tisu periodontium (tisu mengelilingi serta menyokong gigi). Penyakit periodontal melibatkan kehilangan tulang alveolar secara progresif di sekitar gigi; jika dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan,kelonggaran dan seterusnya akan menyebabkan kehilangan gigi. Penyakit periodontal kerap berlaku di kalangan orang dewasa. Kehilangan tisu sokongan gigi meningkat selari dengan usia di mana ia menyumbang kepada pengerakan gigi kerana tidak mampu untuk menampung sebarang tekanan dari tisu lembut dan gigitan (Ong MA et al,1998).

Rawatan ortodontik (pendakap gigi) biasanya dilakukan untuk membetulkan maloklusi yang melibatkan kecacatan rahang serta susunan gigi yang tidak betul. Kaedah rawatan ini bukan sahaja menambahbaik paras rupa tetapi juga membantu pertuturan dan fungsi gigitan. Ini dapat membawa kepada peningkatan kesihatan mulut dan harga diri (Samah A et al.,2014).

Terdapat hubungan kait yang rapat di antara penyakit periodontal dan rawatan ortodontik. Tisu periodontal sihat adalah penting untuk memastikan hasil rawatan ortodontik yang memuaskan. Manakala, rawatan ortodontik pula boleh membantu meningkatkan estetik keseluruhan seseorang serta memulihkan fungsi gigi pesakit yang mengalami penyakit periodontal (Gkantidis N et al, 2010). Bukti yang sedia ada juga menunjukkan hubungkait yang kuat antara maloklusi dan penyakit periodontal tetapi ini tidak bermakna maloklusi adalah punca penyebab penyakit periodontal (Bowen A-M, 2008).

Reaksi tisu periodontal yang sihat kepada daya tarikan ortodontik

Pergerakan gigi secara ortodontik berlaku apabila daya yang terkawal dikenakan pada gigi dan ini diikuti oleh pemodelan semula tulang dimana resorpsi tulang akan berlaku di bahagian yang terdapat tekanan dan pembentukan tulang baru berlaku di bahagian tegangan (Rajah 1) (KitauraH et al., 2014).

Resorpsi frontal ini berlaku apabila daya tekanan yang ringan dikenakan. Sebaliknya, jika daya tekanan yang kuat dikenakan pada gigi, terdapat sedikit pergerakan gigi pada permulaan di mana ligamen periodontal dimampatkan sehingga bekalan darah terputus dari ligamen periodontal.Ini mewujudkan zon bebas sel dipanggil hyalinization dan pergerakan gigi kemudian berhenti buat sementara waktu. Zon bebas sel ini kemudian digantikan oleh pertumbuhan semula ligamen periodontal dan pergerakan gigi bersambung semula. Dalam keadaan ini, tulang bersebelahan akan mengalami resorpsi undermining. Sebenarnya, resorpsi frontal adalah lebih disyorkan daripada resorpsi undermining kerana ianya kurang memberi ketidakselesaan dan juga kurang memberi kesan buruk kepada tisu periodontal.


Rajah 1

Reaksi tisu periodontal yang tidak sihat / berpenyakit terhadap daya ortodontik

Apabila terdapat penyakit periodontal, ligamen periodontal tidak tumbuh semula dengan kehadiran keradangan dalam tisu periodontal. Apabila gigi digerakkan dengan kehadiran plak dan keradangan gusi, daya tersebut boleh menyebabkan kehilangan tulang dan tisu sokongan (Ong MA et al;1998); terdapat kehilangan kepadatan tulang yang lebih tinggi dalam pesakit dengan penyakit periodontal berbanding dengan pesakit biasa (Zhi-Gui Ma et al, 2015).

Komponen-komponen ortodontik yang melekat pada permukaan gigi juga boleh menghalang pembersihan gigi secara efektif. Ini menyumbang kepada pengumpulan plak dan seterusnya meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit periodontal. Tanpa kawalan plak yang mencukupi, pesakit akan memburukkan lagi keadaan penyakit periodontal yang sedia ada (Ong MA et al.,1998).

Walau bagaimanapun ini tidak bermakna bahawa pesakit dengan penyakit periodontal tidak boleh mendapat manfaat daripada rawatan ortodontik. Malah,penyakit periodontal mereka perlu dikawal terlebih dahulu sebelum, semasa dan selepas rawatan ortodontik (Gkantidis N et al., 2010).

Bagaimana rawatan ortodontik boleh membantu mereka yang mempunyai masalah tisu periodontal?

Kehilangan tisu penyokong gigi boleh menyebabkan satu atau beberapa gigi goyang dan seterusnya menyebabkan gigi tersebut mengalami pergerakan kehadapan, putaran, pembentukan ruang antara gigi, kehilangan gigi atau gigitan traumatik (Rajah 2) (Ong MA et al., 1998). Keadaan ini menjejaskan fungsi gigitan dan estetik pergigian serta menyebabkan rawatan periodontal gagal kerana pesakit tidak dapat mengekalkan kesihatan oral yang baik.

Gigi yang tersusun rapi adalah lebih mudah untuk dibersihkan dan menyumbang kepada terbentuknya tisu periodontal yang sihat. Beberapa kajian telah mendapati bahawa dengan pengurangan pengumpulan plak pada gigi yang tersusun, terdapat penambahbaikan tisu periodontium (Ong MA et al.,1998). Kajian bersistematik berkesimpulan bahawa pesakit dengan maloklusi mempunyai kesihatan periodontal yang lebih buruk daripada mereka yang tiada maloklusi. Walaubagaimanapun, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa rawatan ortodontik boleh mencegah masalah periodontal (Bollen A-M,2008).

Untuk mendapatkan kesihatan oral yang optima, rawatan ortodontik dapat membantu dari segi:

  1. Penyusunan semula gigi sebelum melakukan rawatan tampalan, jambatan dan implan gigi
  2. Penambahan atau pengurangan/penutupan ruang untuk memudahkan rawatan gigi palsu
  3. Membetulkan gigitan silang yang boleh menyebabkan trauma pada gigi lain
  4. Meninggikan atau memendekkan gigi
  5. Membetulkan kesesakan gigi
  6. Menolak atau menarikkan gigi yang berkedudukan terlalu ke depan/ gigitan dalam
  7. Penutupan ruang di antara gigi
    (Ong MA et al.,1998)
 
Rajah 2

Apakah risiko pesakit yang ada penyakit periodontal menerima rawatan ortodontik?

Faktor penyebab utama dalam permulaan, perlanjutan dan pengulangan penyakit periodontal adalah kehadiran plak. Kajian klinikal telah menunjukkan bahawa dengan penjagaan gigi yang baik, iaitu dengan penurunan kadar pembentukan plak, gigi yang telah pulih daripada penyakit periodontal dapat digerakkan dengan jayanya tanpa menjejaskan lagi keadaan periodontal yang sedia ada (Ong MA et al.,1998).

Walau bagaimanapun, braket ortodontik dan getah elastik boleh mengganggu keberkesanan penjagaan gigi dan ini boleh menyebabkan bakteria yang berkaitan dengan penyakit periodontal meningkat, justeru itu’ meningkatkan risiko penyakit periodontal (Rajah 3). Kehadiran keradangan juga akan menghalang regenerasi semula tisu periodontal. Komplikasi periodontal yang berkait rapat dengan rawatan ortodontik adalah gingivitis, periodontitis, penyusutan gusi atau gusi bengkak, kehilangan tulang alveolar, dehiscences, fenestrations, interdental fold dan segitiga hitam. Kehilangan tulang pada pesakit yang mengalami penyakit periodontal adalah lebih banyak berbanding dengan mereka dengan tisu periodontal normal (Gkantidis N et al.,2010).

Faktor-faktor risiko yang menyumbang kepada kerosakan tisu periodontium semasa rawatan ortodontik:

  1. Tempoh rawatan yang panjang
  2. Pergerakan gigi yang berlebihan
  3. Daya yang tinggi untuk tempoh yang lama
  4. Pencabutan gigi dan ruang yang besar untuk ditutupi
  5. Penyakit periodontal aktif atau tidak terkawal, akan menjadi lebih teruk jika terdapat masalah perubatan lain, contohnya kencing manis
  6. Pembersihan gigi yang tidak mencukupi / tidak berkesan


Rajah 3

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil apabila merawat pesakit yang mempunyai penyakit periodontal?

Pada kebiasaannya rawatan ortodontik adalah kontraindikasi kepada pesakit dengan penyakit periodontal aktif, kerana peluang kerosakan tisu periodontal menjadi lebih tinggi. Pesakit disyorkan untuk memulakan rawatan ortodontik selepas rawatan periodontal yang lengkap dan terkawal.

  1. Sebelum rawatan ortodontik

    Kesihatan periodontal dan tahap pelekatan gusi dinilai sebelum rawatan ortodontik (Samah A et al., 2014). Walau bagaimanapun, gigi dengan sokongan tisu periodontal yang tidak sihat boleh digerakkan dengan selamat dengan satu syarat- iaitu kawalan plak yang mencukupi. Pengskaleran atau sebarang rawatan periodontal lain harus dilakukan dahulu sebelum pergerakan gigi dilaksanakan. Akan tetapi, sebarang pembedahan tulang atau gusi patut ditangguhkan sehingga akhir rawatan ortodontik, kerana pegerakan gigi boleh mengubah morfologi gusi dan tulang (GoldmanHM and Cowen DW, 1968).

    Apabila penyakit periodontal telah distabilkan dan pesakit mampu mengekalkan kebersihan gigi yang baik, rawatan ortodontik dapat dimulakan. Adalah dicadangkan untuk membenarkan 2-6 bulan dari akhir rawatan periodontal sehingga pemasangan alat pendakap gigi, untuk pemulihan semula kesihatan tisu periodontal, dan penilaian semula aduan pesakit (Gkantidis N et al.,2010).

  1. Semasa rawatan ortodontik

    Rawatan ortodontik bertujuan untuk menyediakan gigitan, fungsi dan estetik yang baik dengan pergerakan gigi yang tepat dan berkesan (Rajah 4).

    Sebelum rawatan
    Semasa rawatan pendakap tetap
     
    Sebelum rawatan
    Semasa rawatan pendakap tetap
    Rajah 4

    Setelah penyakit periodontal distabilkan, pesakit tersebut berisiko untuk penyakit periodontal berulang. Oleh itu, semasa rawatan ortodontik, pembersihan profesional dan pemeriksaan tisu periodontal harus dilakukan secara rutin. Pengawasan teliti dan sokongan adalah wajib bagi pesakit-pesakit ini; jika pesakit gagal untuk mengekalkan tahap kebersihan mulut yang tinggi, rawatan ortodontik perlu dihentikan (Laura Mitchell 2013, Ong MA et al.,1998, Gkantidis N et al.,2010).

    Rawatan ortodontik yang mudah biasanya dilakukan untuk mengelakkan keadaan yang akan menyebabkan peningkatan pengumpulan plak gigi (Rajah 5).Pesakit mungkin perlu menerima keputusan yang terhad/kurang lengkap untuk mengelakkan rawatan yang berpanjangan. Selain itu, daya yang lebih ringan patut digunakan semasa rawatan (Ong MA et al.,1998).

    Sebelum rawatan
    Selepas rawatan
    Rajah 5
    (satu contoh yang menunjukkan rawatan ortodontik mudah dan keputusan terhad)
  1. Selepas rawatan ortodontik

    Terdapat kemungkinan bahawa gigi pesakit dengan penyakit periodontal akan kembali kepada posisi asal (ruang terbuka semula, dan gigi bergerak). Untuk mengelakkan komplikasi ini, pemegangan kekal biasanya diperlukan,dalam bentuk dawai terikat untuk memberikan sokongan tambahan kepada gigi terlibat(Rajah 6). Pesakit perlu diajar cara-cara menjaga kesihatan mulut secara baik di sekitar pemegang ini. Bagi pesakit yang mengalami kehilangan gigi dan / atau trauma oklusi, pemegangan mungkin ditambahkan dengan penggantian gigi prostetik seperti gigi palsu, jambatan atau implan (Gkantidis N et al.,2010).

    Rawatan periodontal elektif atau pembedahan boleh dilaksanakan semasa peringkat akhir atau selepas rawatan ortodontik, apabila kedudukan akhir gigi dan struktur penyokong menjadi stabil.

    Apabila rawatan ortodontik selesai, pesakit perlu menerima arahan kebersihan mulut yang baru untuk mengurangkan risiko kerosakan gusi, kerana sekarang penyingkiran plak dan pembersihan gigi menjadi lebih mudah. Selain itu, pesakit perlu diperkenalkan kepada program lawatan susulan berkala oleh pakar peridontal dan pakar ortodontik untuk pemantauan susunan gigi dan tisu periodontal (Gkantidis N et al.,2010).

    Rajah 6
    (contoh pemegang tetap)
     

Rawatan ortodontik pesakit dengan penyakit periodontal

Sebelum rawatan

  1. Penyakit periodontal aktif mesti dirawat dan distabilkan

Semasa rawatan

  1. Rawatan ortodontik mudah, objektif terhad
  2. Pembersihan profesional dan pemeriksaan tisu periodontal rutin
  3. Rawatan perlu ditangguhkan jika pesakit gagal mengekalkan kebersihan mulut yang baik

Selepas rawatan

  1. Memerlukan pemegangan kekal
  2. Pembinaan semula prostetik contohnya. gigi palsu, jambatan atau implan mungkin diperlukan untuk menggantikan gigi yang hilang
  3. Arahan kebersihan mulut baru
  4. Rawatan susulan dengan pakar periodontal dan pakar ortodontik

Kesimpulan

Kesihatan periodontal merupakan keperluan penting untuk semua jenis rawatan pergigian. Hasil rawatan ortodontik yang memuaskan boleh dicapai jika pesakit memberi kerjasama yang baik dan kesihatan tisu periodontium yang memuaskan dapat dikekalkan tanpa sebarang kerosakan/kemusnahan yang berlanjutan. Tambahan pula, rawatan ortodontik menyumbang kepada kawalan plak yang lebih baik dan meningkatkan jangka hayat keseluruhan gigi dan tisu penyokong. Kesimpulannya, pergerakan gigi secara ortodontik boleh dilakukan pada pesakit yang mempunyai tisu periodontium yang sihat dan juga yang mempunyai tisu periodontium yang lemah, dengan syarat daya ortodontik ringan digunakan bersama dengan kawalan penyakit periodontal dan pengekalan kebersihan mulut dijamin sepanjang tempoh rawatan (Ong MA et al, 1998).

Rujukan

  1. Bollen A-M. Effects of malocclusions and orthodontics on periodontal health: Evidence from a systematic review. Journal of Dental Education 2008; Vol 72, No.8.
  2.  Gkantidis N, Christou P, Topouzelis N.The orthodontic–periodontic interrelationship in integrated treatment challenges: a systematic review. Journal of Oral Rehabilitation 2010 37; 377–390
  3. Goldman HM,Cohen DW, PeriodontalTherapy, Mosby, St. Louis, Mo, USA, 1968.
  4. Kitaura H, Kimura K, Ishida M, Sugisawa H, Kohara H, Yoshimatsu M, Takano-Yamamoto T.Effect of cytokines on osteoclast formation and bone resorption during mechanical force loading of the periodontal membrane. Scientific World Journal. 2014.
  5. Laura Mitchell. An Introduction to Orthodontics. 4th Edition. 2013.Oxford University Press.
  6. Ong MA, Wang HL, Smith FN. Interrelationship between periodontics and adult orthodontics. J Clin Periodontol. 1998 Apr;25(4):271-7.
  7. Samah Alfuriji, Nora Alhazmi, Nasir Alhamlan,Ali Al-Ehaidep Moatzbellah, Nasser Alkatheeri and Amrita Geevarghese. The effect of orthodontic therapy on periodontal health: a review of the literature. Int J Dent. 2014.
  8. Zhi-Gui Ma, Chi Yang, Bing Fang, Yun Hui Xia,Li-Xia Mao, Yi-Miao Feng, Three-D imaging of dental alveolar bone change after fixed orthodontic treatment in patients with periodontitis. Int J Clin Exp Med 2015:8(2):2385-2391

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Mah Eng Ching
Akreditor : Dr. Surguna Devi a/p Muniandy
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

Gigi Palsu

Gigi palsu adalah peralatan boleh tanggal yang digunakan untuk menggantikan gigi yang telah hilang dan tisu disekitarnya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,454

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia