A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Mengurus Jenazah Penyakit Berjangkit...

Mengurus Jenazah Penyakit Berjangkit (HIV/AIDS)

Pengenalan

HIV bermaksud Human Immunodeficiency Virus yang berkebolehan untuk mengurangkan ketahanan semula jadi badan untuk menentang organisma asing. Hal ini menjadikan badan seseorang yang dijangkiti virus ini terdedah kepada banyak jenis jangkitan. AIDS pula bermaksud Acquired Immunodeficiency Syndrome. AIDS merupakan peringkat terakhir bagi seseorang yang telah dijangkiti oleh virus HIV. Dalam peringkat ini, sistem pertahanan tubuh pesakit iaitu sel darah putih akan diserang dan dimusnahkan oleh virus HIV, akibatnya segala virus, bakteria dan mikro organisme lain akan mudah menjangkiti pesakit.

HIV boleh menjangkiti seseorang melalui darah dan cecair badan seseorang yang dijangkiti HIV. Darah dan cecair badan yang mengandungi HIV boleh memasuki badan seseorang melalui pecahan atau luka pada permukaan kulit, lapisan mata, mulut, saluran pernafasan dan saluran pemakanan. Jenazah HIV juga berkemungkinan boleh mengancam kesihatan pengendali jenazah sekiranya cecair badannya berjaya memasuki badan pengendali jenazah. Langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya perlu diambil bagi menghalang diri mereka dijangkiti.

Pengurusan jenazah adalah menjadi tanggungjawab serta kewajipan ke atas orang-orang yang hidup. Bagi pengurusan jenazah orang Islam adalah merupakan fardhu kifayah menyelenggarakan empat perkara berikut iaitu ;

  1. Memandikan
  2. Mengkafankan
  3. Menyembahyangkan
  4. Mengkebumikan

Pengurusan jenazah orang Islam yang mengidap penyakit berjangkit termasuk pembawa virus HIV dan AIDS wajib merangkumi empat perkara di atas dan ianya menjadi tanggungjawab bersama keluarga jenazah, Hospital /Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Agama Islam Negeri/Daerah.

Pemberitahuan Kematian Pembawa HIV Atau Pesakit AIDS

Kematian di hospital

Setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital haruslah diberitahu dengan SEGERA melalui telefon kepada:

  1. Notifikasi kematian kepada Pejabat Kesihatan Daerah
  2. Keluarga si mati – Sekiranya keluarga si mati gagal dihubungi melalui telefon, bantuan pihak polis boleh diminta tetapi status HIV si mati haruslah DIRAHSIAKAN.

Kematian di rumah

Bagi setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah, adalah menjadi kewajipan ahli keluarga si mati untuk memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan SEGERA melalui telefon bagi tujuan penyeliaan pengurusan jenazah serta tindakan lain yang perlu diambil.

Penyeliaan Jenazah

Setelah notifikasi/pemberitahuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah tentang kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS dijalankan, penyeliaan berhubung pengurusan jenazah seperti memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan serta pemindahan jenazah dipertanggungjawabkan kepada kakitangan kesihatan berikut:

  1. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) lelaki ke atas jenazah lelaki
  2. PPKP perempuan / Jururawat Kesihatan ke atas jenazah perempuan

Pemilihan Pengendali Jenazah Di Rumah

Bagi pengendalian jenazah di rumah, perlu mengambil kira faktor-faktor berikut:

  1. Pengendali jenazah dihadkan kepada tidak melebihi 4 orang.
  2. Pengendali jenazah dari kalangan keluarga atau mahramnya si mati dan petugas/pegawai masjid yang terlatih dalam mengendalikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS.
  3. Memastikan setiap pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis di permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.

Pengendali Peralatan Pengedalian Jenazah Di Hospital Atau Di Rumah

Peralatan

  1. Apron plastik, sarung tangan getah, kasut but getah dan “mask” disediakan berdasarkan jumlah pengendali jenazah yang terlibat.
  2. Semua pengendali jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS perlu memakai dua lapisan sarung tangan.
  3. Bancuhan Sodium Hypoclorite – NaCIO : 1 botol NaCIO dengan ukuran 1 liter dibancuh dengan 9 liter air biasa untuk menjadikan larutan NaCIO dengan 1 : 10 (1 bahagian NaCIO dibancuh dengan 9 bahagian air)

Kegunaan Baldi Dan Besen

Baldi 3 buah

  • 1 buah untuk merendam baju / pakaian simati yang telah dipakai
  • 1 buah untuk bancuhan NaCIO (1 : 10) bagi memandikan jenazah
  • 1 buah untuk merendam perkakas / kapas yang telah digunakan

Besen 1 buah

  • Untuk merendam kapas yang belum digunakan ke dalam bancuhan NaCIO 1 : 10

Mandi Jenazah Pembawa HIV Atau Pesakit AIDS

Bagi kematian pembawa HIV atau pesakit AIDS yang berlaku di hospital, pengurusan jenazah iaitu memandi dan mengkafankan sebaik-baiknya dilakukan di hospital sebelum dituntut oleh waris si mati. Sekiranya waris si mati memohon untuk menguruskan jenazah di rumah, pemindahan jenazah dari bilik mayat hospital ke rumah haruslah diawasi oleh kakitangan kesihatan terlatih dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat. Bagi menguruskan jenazah di rumah perkara-perkara perlu diambil perhatian.

Persediaan Tempat Pembuangan Air Mandian Jenazah

Bagi menguruskan jenazah di rumah, waris si mati perlu menggali parit atau lubang untuk tujuan pembuangan air mandian sekiranya rumah tersebut tidak terdapat longkang atau parit bersimen. PPKP/Jururawat Kesihatan bertanggungjawab akan menyelia penyediaan tempat pembuangan tersebut.

Persediaan Tempat Mandi Jenazah

Tempat khas (takungan mandian mayat) digunakan untuk memandikan jenazah. Sekiranya tiada takungan mandian mayat, pelapik plastik tebal boleh digunakan tetapi ianya hendaklah dibentuk supaya air mandian dapat mengalir ke tempat buangan (parit / longkang / lubang).

Cara-cara Memandikan Jenazah

Memandikan jenazah orang Islam perlulah mengikut cara-cara pengurusan jenazah yang biasa dilakukan dan diikhtirafkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Namun demikian terdapat beberapa perubahan dalam pemandian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS bagi mencegah pengendali jenazah dari dijangkiti virus AIDS.

Cara-cara pemandian jenazah orang Islam pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti berikut:

  1. Pengendali jenazah perlu melindungi diri dengan memakai
    • Apron plastik
    • 2 lapisan sarung tangan getah
    • Pelindung mulut dan hidung (mask)
    • Kasut but getah
  2. Bancuhan NaCIO dengan larutan 1 : 10 disediakan di dalam 3 buah baldi dan 1 buah besen.
  3. Kapas yang belum digunakan direndam dalam besen berisi larutan NaCIO (1 : 10).
  4. Pakaian jenazah ditanggal dan direndam dalam baldi bancuhan NaCIO (1 : 10) selama sekurang- kurangnya 30 minit.
  5. Jenazah diletakkan ke dalam tempat khas takungan mayat. Sekiranya tiada terdapat tempat khas,mayat diletakkan ke atas alas plastik tebal yang telah direndam dengan larutan NaCIO 1 : 10.
  6. Rongga mulut, telinga, hidung, serta faraj dibersih dan disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan NaCIO dengan menggunakan peralatan iaitu forcep yang telah disediakan (langkah ini perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya terdapat darah atau cecair yang sentiasa terkeluar dari rongga-rongga tersebut setiap kali jenazah dialih posisinya untuk dimandikan).
  7. Jenazah kemudian dicuci dan dimandikan dengan larutan NaCIO 1 : 10.
  8. Semasa memandikan jenazah dengan air larutan NaCIO bersihkan dubur dengan kapas yang telah direndam dengan larutan NaCIO (1 : 10) dan dubur kemudian disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan larutan NaCIO.
  9. Jenazah kemudian dimandikan dengan air biasa / bersih menurut ajaran agama Islam.
  10. Sekiranya rongga-rongga seperti mulut, telinga, hidung atau faraj ingin dibersihkan semula ianya boleh dilakukan dengan kapas yang telah direndam dengan larutan NaCIO menggunakan forcep dan rongga-rongga tersebut kemudiannya disumbat dengan kapas yang direndam dengan larutan NaCIO.
  11. Jenazah kemudiannya boleh disiram dengan air daun bidara, air kapur barus atau air kayu cendana.
  12. Jenazah dibilas dengan air larutan NaCIO (1:100 pada bilasan terakhir).

Mengkafankan Jenazah

Cara-caranya adalah seperti berikut:

  1. Plastik tebal dialaskan ditempatkan mengkafankan jenazah supaya cecair, bendalir atau darah terkumpul tanpa mencemarkan kawasan persekitaran bagi mencegah jangkitan kepada orang lain
  2. Kain kafan dibalut sebagai lapisan pertama. Kain kafan tidak perlu direndam dengan larut NaCIO 1:10 sekiranya tidak terdapat cecair, bendalir atau darah yang terkeluar dari jenazah atau tidak terdapat luka kudis di permukaan tubuh jenazah.
  3. Bagi jenazah yang mengeluarkan cecair, bendalir, darah atau terdapat luka/kudis pada permukan tubuh, jenazah perlu dimasukkan ke dalam beg plastic (body bag) atau dibalut dengan plastik yang telah digunakan untuk mengalas tempat mengkafankan jenazah. Jenazah tidak perlu dibalut dengan plastic atau dimasukkan ke dalam beg plastik sekiranya tiada tumpahan cecair, bendalir, darah ata tiada luka/kudis di permukaan tubuh jenazah tetapi tiada halangan sekiranya lapisan plastik dibalutkan.
  4. Seterusnya jenazah dikafankan dengan menggunakan dua lapisan kain kafan sebagai lapisan terakhir. Perhatian lapisan terakhir merupakan kain kafan dan bukannya lapisan plastik.

Disinfeksi Peralatan Dan Air Mandian Jenazah

Disinfeksi peralatan dan air mandian jenazah adalah seperti berikut:

  1. Peralatan yang telah digunakan untuk memandikan jenazah perlu direndam ke dalam air larutan NaCIO (1:10) selama sekurang-kurangnya 30 minit sebelum dicuci.
  2. Air mandian jenazah di lantai tempat pemandian jenazah perlu dimopkan dengan NaCIO tanpa dicampur dengan air.
  3. Air mandian jenazah yang ditakung di dalam lubang perlu ditabur dengan kapur klorida (chloride of lime) dan ditimbus.

Sembahyang Mayat

Cara jenazah disembahyangkan adalah serupa dengan jenazah orang Islam yang lain.

Pengkebumian Jenazah

Pengkebumian jenazah pembawa HIV atau pesakit AIDS adalah sama seperti pengkebumian jenazah orang Islam lain.

Kesimpulan

Semua pengendali jenazah harus sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mencegah dari dijangkiti penyakit berjangkit seperti HIV semasa mengendalikan setiap kematian. Langkah-langkah pencegahan ini perlu kerana adakalanya status HIV jenazah yang dikendalikan tidak diketahui atau kemungkinan notifikasi kematian pembawa HIV atau AIDS tidak dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah oleh waris si mati.

Kakitangan Kesihatan yang menyelia jenazah tidak dibenarkan memakai pakaian seragam dan menggunakan kenderaan kerajaan bagi menjaga reputasi si mati serta kaum keluarganya.

Rujukan

  1. KKM 2002. Kementerian Kesihatan Malaysia 2002. Garis Panduan Pengurusan Jenazah Islam Dari Aspek Kesihatan. Cawangan AIDS/STD.
Semakan Akhir : 17 April 2017
Penulis : Amran bin Mohd. Noor
Akreditor : Tn. Hj. Rosnani bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

Apa Itu Panau

Panau adalah jangkitan yang kerap berlaku pada lapisan luaran kulit disebabkan oleh kulat jenis Malassezia

Pemindahan Ginjal

Adakah pemindahan buah pinggang dilakukan di Malaysia? Terdapat seramai 1841

Dermatitis Sentuh

Dermatitis sentuh adalah sejenis ekzema yang disebabkan oleh faktor luaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,590

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia