A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Bayi Umum
  6. /
  7. Perkhidmatan Kesihatan Sekolah

Perkhidmatan Kesihatan Sekolah

Program Kesihatan Sekolah yang pada awalnya dikenali sebagai Rancangan Kesihatan Sekolah telah bermula semenjak 1967 dengan objektif untuk meningkatkan taraf kesihatan dan pemakanan murid. Berlandaskan konsep Health Promoting School yang diperkenalkan oleh WHO pada tahun 1997, Program Kesihatan Sekolah turut mengalami penambahbaikan  bertujuan untuk:

  • Mengekalkan tahap kesihatan murid di paras paling optimum melalui promosi kesihatan, pencegahan penyakit, rawatan dan rujukan.
  • Mengesan masalah kesihatan yang boleh menghalang pencapaian akademik murid di sekolah dan seterusnya membuat rujukan awal bagi membolehkan intervensi awal dan penempatan murid dalam sistem pendidikan khas.
  • Memperkasa komuniti sekolah untuk terlibat secara langsung dalam penjagaan kesihatan dengan pembentukan polisi berkaitan kesihatan.
  • Menggalakkan penglibatan masyarakat bagi membentuk sekolah sebagai institusi yang sihat dan selamat bagi membolehkan pembelajaran yang berkesan.
  • Memupuk persekitaran sekolah yang sihat, selamat termasuk dengan persekitaran fizikal serta menyokong perkembangan sosial murid.
  • Lanksap tadbir urus dan kepimpinan  sekolah yang merangkumi model seluruh sekolah sihat.

Perkhidmatan kesihatan sekolah adalah salah satu daripada Program Kesihatan Sekolah yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada murid-murid yang berada di sekolah bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berterusan dapat diberikan . Keutamaan diberikan kepada murid-murid yang bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh Malaysia. Pada tahun 1975, pasukan kesihatan sekolah ditubuhkan bagi membolehkan lawatan dibuat ke sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia. Pelaksanaan perkhidmatan ini dilakukan dengan kerjasama rapat antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KKM seiring dengan Akta Pendidikan 1996. Setiap tahun, lebih daripada 34,000 buah sekolah rendah dan menengah telah dilawati bagi pelaksanaan perkhidmatan ini. Tujuan program kesihatan sekolah ini dijalankan adalah seperti berikut:

Aktiviti-aktiviti yang dilakukan di bawah perkhidmatan kesihatan sekolah adalah:

  • Saringan kesihatan murid termasuk saringan Thalasaemia.
  • Imunisasi kesihatan di sekolah
  • Pendidikan kesihatan
  • Rawatan dan rujukan kesihatan 
  • Lawatan rumah

Secara umumnya, setiap tahun hampir 2 juta murid sekolah rendah dan menengah di Malaysia mendapat faedah langsung melalui perkhidmatan kesihatan di sekolah ini.

E- Rekod Kesihatan Murid

Sebelum tahun 2017, Buku Rekod Kesihatan Murid (RKM1) adalah dokumen yang mencatatkan semua maklumat kesihatan yang diperoleh semasa alam persekolahan. Selari dengan perkembangan teknologi terkini, sistem E-Rekod Kesihatan Murid (E-RKM) telah diwujudkan bagi menggantikan buku RKM1. Sistem ini dibangunkan bersama oleh KPM dan KKM untuk Pasukan Kesihatan Sekolah merekodkan maklumat kesihatan berkaitan pemeriksaan, rawatan, dan rujukan serta pertumbuhan dan perkembangan murid semasa perkhidmatan kesihatan diberikan di sekolah. Ibu bapa dikehendaki mengisi maklumat murid di dalam sistem tersebut dan mencatatkan kebenaran untuk petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan memberi imunisasi kepada anak mereka. Maklumat ini disimpan oleh KPM dan KKM bagi memudahkan pengawasan kesihatan murid dan akan digunakan sehingga akhir persekolahan

Saringan kesihatan murid

Saringan kesihatan murid merangkumi pemeriksaan kesihatan fizikal dan saringan Talasaemia yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan, Jururawat Kesihatan dan/atau Penolong Pegawai Perubatan. Pemeriksaan kesihatan murid dilakukan semasa murid berada dalam pra sekolah, tahun 1, tahun 6 dan tingkatan 3. Pemeriksaan yang dilakukan adalah seperti dalam jadual di bawah:

JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TAHUN 1

Pemeriksaan Kesihatan

Sebab diperlukan

Pemeriksaan tinggi dan berat

Menentukan status pemakanan murid

Pemeriksaan mata

Mengesan masalah rabun, mata malas yang boleh mengganggu pencapaian akademik.

Saringan pendengaran

Mengesan masalah pendengaran minimum dan sederhana yang boleh menghalang pencapaian akademik

Pemeriksaan jantung dan paru-paru

Mengesan masalah penyakit jantung kongenital yang tidak dikenal pasti semasa bayi. Kes-kes yang dikenal pasti akan dirujuk untuk pengesahan.

Pemeriksaan tulang rangka

Mengesan kecacatan tulang rangka yang tidak dikesan semasa bayi.

Pemeriksaan kebersihan diri

Mengesan jangkitan kutu kepala, kudis buta dan masalah kulit untuk diberi rawatan.

Pemeriksaan testis

Mengesan masalah seperti ‘hydrocele’ dan ‘undescended testis’ di kalangan murid lelaki.

Pengesanan masalah pembelajaran

Menerima rujukan kes daripada guru-guru yang melaporkan murid mempunyai masalah dalam kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Murid-murid ini seterusnya akan dirujuk kepada pakar untuk mendapat pengesahan masalah dan penempatan pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan murid.

 

JADUAL PEMERIKSAAN KESIHATAN MURID TAHUN 6 DAN TINGKATAN 3

Pemeriksaan Kesihatan

Sebab diperlukan

Pemeriksaan tinggi dan berat

Menentukan status pemakanan murid sama ada mempunyai berat badan unggul, berisiko berat badan atau obes.

Pemeriksaan mata

Mengesan masalah rabun yang belum dikenal pasti dan peningkatan rabun di kalangan murid yang memakai cermin mata.

Saringan rabun warna

  • Dijalankan ke atas murid lelaki oleh sebab berlaku di kalangan murid lelaki sahaja.
  • Mengesan masalah rabun warna ‘color defect’ yang boleh mempengaruhi pilihan kerjaya murid.

Pemeriksaan tulang rangka

Mengesan masalah skoliosis di peringkat awal. Kes-kes yang disyaki akan dirujuk ke hospital untuk pengesahan dan intervensi awal.

Pemeriksaan kebersihan diri

Mengesan jangkitan kutu kepala, kudis buta, masalah kulit untuk diberi rawatan.

Saringan kesihatan remaja

Optional . Tidak dilakukan di semua sekolah. Ibu bapa yang berminat boleh membawa anak untuk mendapatkan saringan ini di klinik kesihatan yang berhampiran.

 

Antara masalah-masalah kesihatan yang dikesan di kalangan murid sekolah adalah:

  • Obesiti
  • Ketajaman penglihatan
  • Rabun warna
  • Tulang rangka yang tidak normal
  • Jangkitan cacing
  • Kudis buta
  • Kurang pendengaran

 

Saringan Talasaemia

Saringan Talasaemia di sekolah telah mula dilakukan pada tahun 2016 dan merupakan salah satu daripada aktiviti pencegahan Thalassaemia di bawah Program Kawalan Dan Pencegahan Thalassaemia Kebangsaan. Perkhidmatan ini ditawarkan kepada murid tingkatan 4 di sekolah-sekolah kerajaan yang terletak dalam lokasi yang mempunyai prevalens Talasaemia yang tinggi. Visi program ini adalah untuk mengurangkan kelahiran bayi dengan penyakit Thalassaemia bergantung transfusi darah (Transfusion Dependent Thalassaemia (TDT)) dan meningkatkan kualiti kesihatan pesakit Thalassaemia.

Sehingga Disember 2023, sejumlah 1,490,621 murid Tingkatan 4 telah menjalani saringan Thalassaemia. Data yang terkumpul sehingga 2021 menunjukkan seramai 57,607 murid telah disahkan sebagai pembawa Thalassaemia yang membawa kepada prevalens pembawa Thalassaemia di Malaysia adalah 5.9%.BPKK 2023 Seramai 109 murid (1.18 per 10,000 murid yang disaring) telah disahkan sebagai pesakit Thalassaemia. BPKK 2022

Berdasarkan dapatan laporan Malaysia Talasemia Registry 2019, Malaysia telah menunjukkan beberapa perubahan dalam lanskap penyakit Thalassaemia apabila terdapat penurunan kelahiran baru Thalassaemia daripada 158 bayi tahun 2011 kepada 70 bayi pada tahun 2017. Perubahan ini merupakan impak daripada peningkatan literasi dan kesedaran masyarakat tentang penyakit ini dan sambutan terhadap aktiviti saringan pembawa Thalassaemia yang dilaksanakan secara sistematik serta kepatuhan pesakit kepada rawatan Thalassaemia.  

 

Imunisasi kesihatan sekolah

Sebagai kesinambungan kepada imunisasi alam kanak-kanak, murid-murid sekolah diberi imunisasi seperti di bawah :

JADUAL IMUNISASI MURID-MURID SEKOLAH YANG DILAKSANAKAN OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tahun 1

BCG sekiranya tiada parut

Diptheria dan Tetanus (dos penggalak)

Tingkatan  1

Human Papillomavirus (1 dos bermula 2023)

Tingkatan 3

Tetanus Toxoid (dos penggalak)

Sekiranya anak-anak didapati tidak mendapat imunisasi di atas kerana tiada kebenaran ibu bapa atau anak tidak hadir ke sekolah pada masa lawatan Pasukan Kesihatan ke sekolah, ibu bapa diminta membawa anak mereka ke klinik-klinik kesihatan yang berhampiran dengan rumah untuk mendapatkan imunisasi ini.

Pendidikan kesihatan

Pendidikan kesihatan di sekolah terbahagi kepada pendidikan kesihatan secara berkelompok dan individu.

Pendidikan kesihatan secara berkelompok adalah pendidikan kesihatan yang dijalankan melalui kempen atau kem-kem kesihatan di sekolah. Murid-murid mendapat pengetahuan melalui pameran, ceramah dan tunjuk cara oleh anggota kesihatan. Pendidikan kesihatan secara berkelompok mengutamakan masalah kesihatan awam yang berkaitan dengan golongan murid sekolah contohnya saringan talasemia, ‘tak nak merokok’ dan gaya hidup sihat.

Pendidikan kesihatan individu diberi sebagai khidmat nasihat dan kaunseling semasa sesi pemeriksaan kesihatan. Isu-isu yang lazim didapati adalah berkaitan dengan pemakanan, penyakit kulit, kebersihan diri dan lain-lain.

Rawatan dan rujukan kesihatan

Rawatan diberikan kepada semua murid-murid yang dikesan mengalami masalah ringan seperti luka kecil, kudis buta, jangkitan cacing, kutu kepala, rawatan demam dan selesema. Kes-kes yang dirujuk pula adalah kes-kes yang memerlukan pemeriksaan lanjut untuk pengesahan kes. Antara masalah kesihatan yang dirujuk adalah masalah ketajaman penglihatan, rabun warna, masalah degupan jantung dan kes disyaki menghidap skoliosis.

Lawatan ke rumah

Pasukan kesihatan sekolah juga menjalankan lawatan ke rumah pada masa cuti persekolahan. Lawatan ke rumah ini dilaksanakan sama ada dengan menelefon ibu bapa di rumah ataupun jururawat akan membuat lawatan ke rumah untuk memastikan murid-murid yang terlepas peluang mendapat imunisasi di sekolah datang ke klinik kesihatan untuk pelalian ataupun untuk mendapatkan maklum balas mengenai status rujukan yang dibuat ke hospital.

PERKHIDMATAN PERGIGIAN SEKOLAH

Perkhidmatan ini dilaksanakan oleh pasukan pergigian sekolah yang melawat semua sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Untuk maklumat lanjut boleh rujuk ke Laman Utama/Kesihatan Pergigian/Pergigian Umum/Perkhidmatan Pergigian Sekolah

 

PERKHIDMATAN KESIHATAN PERSEKITARAN SEKOLAH

Perkhidmatan persekitaran sekolah adalah dilaksanakan secara bersepadu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pedidikan Malaysia. Pemeriksaan persekitaran sekolah meliputi pemeriksaan infrastruktur sekolah, kebersihan, pengawalan penyakit bawaan vektor, pemantauan kebersihan dan pengendalian kantin sekolah.

Perkhidmatan kawasan persekitaran sekolah ini adalah tertakluk di bawah beberapa akta dan peraturan seperti Akta Kawalan Tembakau dan Akta Kawalan Penyakit Bawaan Vektor yang membawa kepada denda sekiranya pihak pengurusan sekolah didapati gagal mematuhi akta-akta tersebut. Di bawah perkhidmatan ini, antara aktiviti-aktiviti yang terlibat adalah penubuhan pasukan-pasukan denggi sekolah bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di sekolah dan mewartakan sekolah sebagai kawasan larangan merokok. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran akan membuat pemeriksaan di sekolah setiap tahun bagi memastikan sekolah adalah bersih dan selamat.

Rujukan:

Laporan Tahunan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga 2022

Laporan Malaysian Thalassaemia Registry Report 2018

Semakan akhir

:

30 May 2024

Penulis

:

Dr. Mardiana binti Omar

Penyemak

:

Dr Radziah binti Mohamad

Artikel Berkaitan

Sakit Perut Kronik

Sakit perut kronik (CAP) agak kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Sebanyak 9 hingga 15 peratus daripada kanak-kanak berkemungkinan mengalami keadaan ini.

Melecur & Melepuh

Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,190

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia