A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Tradisional
  6. /
  7. Bahan lazim dalam produk...

Bahan lazim dalam produk tradisional yang digunakan untuk pelangsingan badan

Pengenalan

Berat badan berlebihan merujuk kepada berat yang melebihi berat badan ideal akibat daripada pengumpulan lemak berlebihan di dalam badan. Pengukuran berat badan boleh dinilai berdasarkan pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI). BMI merupakan pengukuran berat badan berbanding dengan ketinggian anda. Individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan mempunyai nilai BMI di antara 25 hingga 30kg/m. Punca utama berat badan berlebihan adalah ketidakseimbangan tenaga antara kalori yang diambil dan kalori yang digunakan. BMI yang tinggi merupakan risiko utama penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis, muskuloskeletal (contoh: osteoarthritis) dan kanser (kolon, payu dara).

Masalah berat badan berlebihan boleh diatasi melalui cara pemakanan sihat, iaitu mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi kandungan lemak dan gula tinggi, meningkatkan pengambilan sayur-sayuran, buah- buahan, bijirin dan mengiatkan aktiviti bersenam. Di pasaran, terdapat produk pelangsingan badan diformulasikan dengan herba yang digunakan secara tradisional untuk mengurangkan berat badan. Antara bahan yang lazim digunakan untuk pelangsingan badan adalah Garcinia cambogia, Cassia angustifolia (Senna),Hoodia gordonii dan Phaseolus vulgaris. Bahan- bahan tersebut membantu dalam pengurangan berat badan melalui berbagai jenis mekanisme.

Garcinia cambogia

Garcinia cambogia merupakan sejenis buah tropikal yang boleh didapati di negara Malaysia, India dan Afrika. Buah ini lazimnya digunakan untuk mengurangkan berat badan kerana bahan aktif yang terdapat dalam Garcinia cambogia iaitu hydroxycitric acid (HCA) membantu di dalam pembakaran lemak dalam badan dan mengurangkan selera makan. Bahan aktif tersebut juga menghalang tindakan enzim citrate lyase; sejenis enzim yang digunakan untuk penghasilan lemak di dalam badan.

Kesan sampingan yang mungkin dialami akibat pengambilan Garcinia cambogia adalah loya, sakit perut atau cirit birit, pening dan sakit kepala.

Cassia angustifolia (Senna)

Senna secara kebiasaannya digunakan sebagai julap bagi individu yang mengalami masalah sembelit. Akan tetapi, ia juga lazim didapati dalam produk pelangsingan badan. Bahagian tumbuhan yang sering kali digunakan adalah daun dan buah. Senna mengandungi sennosides yang bertindak melegakan sembelit dengan merangsang pergerakan otot-otot usus.

Kesan sampingan Senna adalah cirit birit, kembung perut, sakit perut, loya dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit. Pengguna adalah dinasihatkan supaya tidak mengambil Senna sekiranya mengalami sakit abdomen, loya atau muntah. Pengambilan Senna secara kerap dan berpanjangan adalah tidak digalakkan kerana ia akan mengakibatkan ketidakseimbangan elektrolit dan kebergantungan terhadap bahan aktif tersebut. Pengguna hendaklah mendapatkan nasihat pengamal perubatan sekiranya penggunaan melebihi 7 hari.

Hoodia gordonii

Hoodia gordonii adalah sejenis spesies tumbuhan terlindung yang menyerupai kaktus yang berasal dari gurun Kalahari di Afrika Selatan. Bahan aktif yang terdapat dalam Hoodia gordonii ialah sejenis steroidal glycoside, yang dinamakan p57. Ia bertindak pada otak untuk menghalang isyarat lapar dan seterusnya mengurangkan selera makan.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, masalah jantung, darah tinggi, pendarahan atau anoreksia/bulimia atau masalah pemakanan adalah disarankan supaya mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil produk yang mengandungi Hoodia gordonii. Wanita hamil dan menyusu juga tidak digalakkan mengambil Hoodia gordonii tanpa pengetahuan doktor.

Phaseolus vulgaris

Phaseolus vulgaris atau nama umumnya common bean merupakan sejenis kekacang bijian daripada Fabaceae yang boleh didapati di seluruh dunia. Kekacang ini boleh digunakan untuk pengurangan berat badan dan bagi masalah obesiti. Phaseolin, bahan aktif yang terdapat dalam Phaseolus vulgaris bertindak mengurangkan berat badan dengan menghalang tindakan enzim alpha- amylase. Enzim ini memainkan peranan dalam metabolisma karbohidrat.

Pengambilan Phaseolus vulgaris boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit birit dan kembung perut.

Nasihat kepada pengguna

Pengguna adalah dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor sebelum mengambil produk pelangsingan badan. Pengambilan produk pelangsingan badan tanpa pengawasan boleh membawa kesan yang memudaratkan kesihatan seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, pening, sakit kepala dan kesukaran tidur.

Sila pastikan ubatan dan produk tradisional yang diambil adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk berdaftar boleh dikenalpasti melalui nombor pendaftaran MAL dan pelekat hologram yang terdapat pada produk. Ini kerana terdapat banyak produk pelangsingan badan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan berkemungkinan dicampur palsu dengan bahan terlarang. Memandangkan produk pelangsingan badan yang berada di pasaran tidak diketahui keberkesanannya, ia tidak digalakkan untuk diambil bagi jangka masa panjang. Individu yang ingin mengurangkan berat badan adalah disyorkan untuk melakukan kegiatan bersenam dan mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan seimbang. Selain itu, pengguna adalah digalakkan supaya berbincang dengan doktor, ahli farmasi dan pakar pemakanan mengenai cara- cara alternatif bagi pengurangan berat badan secara sihat.

Rujukan

  1. World Health Organization Media Centre Fact Sheets on Obesity and Overweight [updated January 2015]. Retrieved from http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs311/en/
  2. Globinmed. Global Information Hub On Integrated Medicine [homepage on the internet]. No date [cited 26/3/2015]. Retrieved from http://www.globinmed.com/index.php?option=com_content&view=article&id=81106:garcinia&catid=26:medicinal-herbs-a-plants-professional
  3. Natural Medicines Professional Monograph on Garcinia [homepage on the internet]. No date [cited 26/3/2015]. Retrieved from https://naturalmedicines.therapeuticresearch.com/databases/food,-herbs-supplements/professional.aspx?productid=818
  4. WebMD [homepage on the internet]. No date [cited 26/3/2015]. Retrieved from http://www.webmd.com/vitamins-and-supplements/garcinia-cambogia-weight-loss#1
  5. Medline Plus [last reviewed on 11/6/2014] Retrieved from http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/druginfo/natural/652.html
  6. Drugs.com [homepage on the internet]. No date [cited 26/3/2015]. Retrieved from http://www.drugs.com/senna.html
  7. Drug Registration Guidance Document (DRGD) First Edition- Revised January 2015. Specific labeling requirements for Senna, page 450.
  8. WebMD [homepage on the internet]. No date [cited 26/3/2015]. Retrieved from http://www.webmd.com/diet/hoodia-lots-of-hoopla-little-science
Semakan Akhir : 24 Jun 2015
Penulis : Chan Su Lyn
Akreditor : Datin Shantini Thevanderan

Artikel Berkaitan

Adakah krim pelangsingan produk kosmetik?

Kesan pelangsingan adalah sinonim dengan proses mengurangkan berat badan melalui amalan diet yang betul dan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti bersenam. Kesan pelangsingan tersebut tidak dapat dibuktikan sebagai dapat dicapai dengan hanya memakai produk yang disapu secara luaran.

Ubat – ubatan untuk rawatan hipertensi (Tekanan darah tinggi)

Hipertensi merupakan faktor utama bagi penyakit berkaitan salur darah yang terdapat pada jantung, otak dan buah pinggang. Merujuk kepada Fakta Kesihatan 2009, 16.09% kematian di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah disebabkan oleh penyakit jantung & peredaran darah, dan 8.43% kematian adalah disebabkan oleh penyakit salur darah pada otak. Selain itu, penyakit yang melibatkan peredaran darah menyebabkan 6.91% kemasukan pesakit untuk rawatan di hospital KKM. Hipertensi boleh menjadi pembunuh senyap sekiranya anda tidak memantau paras tekanan darah anda.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,711

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia