A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ketulan Dan Bonjolan Di Dalam Kaviti Oral

Pengenalan

Terdapat banyak struktur normal yang boleh menjadi bonjolan dan ketulan di dalam mulut, tetapi terdapat ketulan dan bonjolan yang boleh menjadi tanda-tanda kehadiran penyakit. Walau bagaimanapun  ketulan atau bonjolan perlu diperiksa dan dipastikan oleh doktor pakar.

Bonjolan pada lidah

Bonjolan di belakang lidah

Bonjolan yang mempunyai saiz yang sama dan berbaris di bahagian belakang lidah anda dan dikenali sebagai papila circumvallate.

Pada kebiasaannya kebanyakan orang mempunyai kira-kira 6 hingga 8 struktur bonjolan  normal yang membentuk huruf  V,  berhampiran belakang tekak, tetapi selalunya kita tidak perasan kerana kedudukannya jauh ke belakang.

Biasanya struktur ini tidak boleh dilihat melainkan jika seseorang menjulurkan lidahnya keluar di hadapan cermin. Kebanyakan orang tidak akan perasan bonjolan ini sehingga apabila seseorang itu mengalami kesakitan pada bonjolan ini.

Bonjolan kecil di hujung lidah

Kemungkinan besar ia adalah ketumbuhan benigna yang dipanggil fibroma (fibroma iritasi). Kebanyakan fibroma di dalam mulut muncul akibat kecederaan atau trauma setempat, seperti tergigit lidah anda. Sesetengah fibroma boleh membesar kepada saiz yang besar. Biasanya rawatan tidak perlu melainkan jika saiznya menjadi amat besar sehingga mengganggu pemakanan dan percakapan.

Bonjolan hitam pada lidah

Kebanyakan bonjolan ini adalah jenis ketumbuhan bukan kanser. Penilaian dan pemeriksaan bonjolan ini oleh pakar Patologi Oral amatlah diperlukan.

Bonjolan Eksostosis di rahang bawah

Biasanya bonjolan ini adalah bonjolan tulang rahang yang dikenali sebagai eksostosis atau torus rahang. Pada dasarnya, ini merupakan tulang tambahan yang paling kerap terdapat pada permukaan  bahagian lidah tulang  rahang bawah. Bonjolan tulang rahang ini sering tercedera oleh makanan yang keras atau tajam. Kecederaan ini boleh menyebabkan terjadinya ulser, kesakitan atau ketidakselesaan di dalam mulut. Kebengkakan akibat dari kecederaan ini menyebabkan proses penyembuhannya menjadi perlahan. Bonjolan eksostosis ini adakalanya perlu dibuang/rawat sebelum pembikinan gigi palsu boleh dilakukan.

Transient Lingual Papillitis (TLP)

TLP adalah bonjolan pada permukaan atas lidah. Bonjolan ini  tidak berbahaya, tetapi amat mengganggu. Bonjolan-bonjolan kecil pada permukaan atas lidah ini yang dikenali sebagai Papila Fungiform. Papila Fungiform adalah bonjolan normal dan ianya berkaitan dengan deria citarasa.  Ia boleh menjadi merah atau putih dan boleh menjadi agak sakit pada sentuhan  untuk beberapa hari. Punca kebengkakan PTL masih tidak diketahui dengan pasti, kebanyakan bengkak adalah  berpunca daripada kecederaan setempatan seperti menggosok, mengikis atau tergigit lidah. Walau bagaimanapun,reaksi terhadap makanan tertentu juga boleh menyebabkan kebengkakan ini.

Tonsil Lingual

Tonsil lingual, yang terletak di tepi bawah lidah. boleh menjadi bengkak dan merah secara sementara kerana jangkitan kuman selesema atau virus. Kebengkakan ini biasanya akan hilang selepas penyakit selesema  anda sembuh.

Bonjolan pada  Gusi

Gusi bengkak

Juga dikenali sebagai parulis, bonjolan ini biasanya berlaku di sekitar gusi gigi pada permukaan  bibir atau pipi. Bonjolan ini  boleh timbul di lelangit mulut juga. Kebengkakan gusi ini biasanya disebabkan oleh gigi yang  sudah mati atau tidak vital (gigi yang mati akibat karies dan jangkitan bakteria) dan boleh mengeluarkan nanah (rasanya pahit dan masin) apabila bengkak itu pecah atau bengkak itu dengan sendirinya mengeluarkan kandungannya (terutamanya nanah). Bengkak gusi merupakan petanda berlakunya kerosakan gigi yang serius yang membawa kepada jangkitan.

Bonjolan pada Tekak

Bonjolan di bahagian belakang tekak

Bonjolan ini dinamakan “tisu limfoid subepithelial”. Ini adalah himpunan/ koleksi sel-sel imun (limfosit) yang  berada di situ untuk melindungi kita daripada jangkitan kuman  dan merupakan struktur normal pada kawasan mulut dan tekak. Struktur ini biasanya boleh membesar apabila kita mendapat jangkitan virus atau bakteria di kawasan ini, dan secara umumnya saiznya menjadi tidak ketara apabila jangkitan sudah tiada.

Bonjolan pada Lelangit mulut

Papilla Insisif

Bonjolan ini terdapat di belakang di antara dua  gigi insisor pertama. Setiap orang pasti  mempunyai bonjolan ini. Anda mungkin perlu diperiksa oleh seorang doktor yang arif/pakar berkenaan mulut (pakar bedah mulut dan maksilofasial) jika papilla insisif anda membengkak atau membesar disebabkan oleh iritasi tertentu.

Bonjolan keputihan di lelangit

Jika anda merokok terutama sekali jika anda menghisap cerut atau paip, bonjolan  keputihan pada lelangit (bumbung mulut) ia adalah struktur yang  tidak berbahaya. Ia dikenali sebagai lelangit nikotin (nikotin Stomatitis) perokok. Bonjolan ini biasanya terdapat lekuk merah atau seperti lubang kecil di tengah – tengahnya

Bonjolan eksostosis

Ekostosis tulang atau torus rahang juga boleh ditemui di lelangit mulut.  Bonjolan ini adalah tulang tambahan (eksostosis) dan sering tercedera oleh makanan yang tajam atau keras. Kecederaan ini boleh menyebabkan terjadinya ulser yang pedih dan sakit. Kewujudan bonjolan eksotosis boleh mengganggu proses pembuatan gigi palsu. Adakalanya ia perlu dibuang/dirawat sebelum proses membuat gigi palsu dimulakan.

Mucocele

Mucocele boleh terbentuk di lelangit mulut, juga di lidah, bibir dan pipi. Ini berlaku apabila salah satu saluran kelenjar air liur yang kecil tersekat atau terpotong. Bonjolan lendir (mukus) boleh terbentuk di bawah lapisan mukosa mulut sehingga pada satu tahap bonjolan ini pecah dan menjadi kempis. Walau bagaimanapun bonjolan boleh terbentuk semula.

Bonjolan pada  Bibir

Granul-granul Fordyce

Ini adalah struktur normal di bibir, seperti juga pembukaan kelenjar air liur kecil, ia adalah pembukaan kelenjar minyak (sebum) yang berwarna putih kekuningan. Struktur bonjolan-bonjolan kecil ini juga boleh terdapat pada permukaan dalam pipi. Struktur ini adalah struktur normal dan tidak berbahaya.

Mucocele

Juga dikenali sebagai sista duktus mukus yang pada kebiasaannya terdapat pada permukaan dalam  bibir bawah. Bonjolan ini terbentuk akibat gangguan pada laluan saluran duktus (tiub) kelenjar air liur kecil yang membawa mukus (lendir) dari kelenjar air liur kecil yang terdapat di bibir ke permukaan mulut. Jika saluran ini tersekat atau terpotong (tercedera) menyebabkan lendir (mukus) terkumpul di bawah lapisan mukosa dan terbentuknya bonjolan yang lembut yang tidak sakit. Bonjolan ini mudah pecah dan akan terbentuk semula.

Semakan Akhir : 20 Mac 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Rullyandrianto Pan Nuriman b. Rachmat
Akreditor : Dr. Marzuki b. Zainal Abidin
Penyemak : Dr. Mukhriz bin Hamdan

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Periodontal dan Rawatan Ortodontik

Hasil rawatan ortodontik yang memuaskan boleh dicapai jika pesakit memberi kerjasama yang baik dan kesihatan tisu periodontium yang memuaskan dapat dikekalkan tanpa sebarang kerosakan/kemusnahan yang berlanjutan.

Penyakit Periodontium

Penyakit Peridontium diperingkat awal (gingivitis) boleh dicegah dengan memberus gigi secara berkesan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,244

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia