A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Pemeriksaan Imbasan CT (CT Scan)?

Pemeriksaan imbasan CT (Computed Tomography) merupakan salah satu pemeriksaan radiologi yang menggunakan X-ray. Pemeriksaan CT dillakukan di bilik pemeriksaan CT dengan pesakit diletakkan di atas meja pemeriksaan dan diposisikan untuk mengambil imej pada bahagian yang tertentu. Pemeriksaan CT kebanyakannya akan menggunakan media kontras untuk memperlihatkan struktur yang diingini dengan lebih jelas [1].

Bagaimanakah Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan sama ada anda memerlukan pemeriksaan ini.

  • Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.

  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.

Mesin Imbasan CT

Mesin Imbasan CT ialah sejenis mesin X-ray yang mengambil imej secara keratan rentas (cross sectional). Imej keratan rentas yang diambil boleh diproses untuk memperlihatkan organ, tisu atau tulang dengan jelas menggunakan teknologi komputer yang tinggi. Perkataan computerised digunakan kerana proses penghasilan imej menggunakan komputer berteknologi tinggi. Manakala perkataan tomography bermaksud keratan rentas (cross sectional) yang merujuk kepada cara imej diambil semasa imbasan [1].

Bagaimanakah Bentuk Mesin Imbasan CT?

Di antara komponen utama mesin imbasan CT ialah:

  • Bilik pemeriksaan

    • Gantry (Gambar 1)

      • mengandungi tiub X-ray.

      • mengandungi alatan pengesan.

    • Meja pemeriksaan (Gambar 1)

      • merupakan tempat untuk meletakkan pesakit semasa pemeriksaan.

      • akan bergerak keluar dan masuk di bawah kawalan Juru X-ray.

    • Lain-lain aksesori

      • injector (suntikan media kontras dilakukan dengan alat ini).

      • monitor dalaman (imej yang dihasilkan boleh juga dilihat di dalam bilik pemeriksaan).

  • Bilik kawalan (Gambar 2)

    • tempat Juru X-ray mengawal mesin imbasan CT semasa pemeriksaan.

    • tempat imej diproses.

    • tempat imej dipaparkan.

      Gambar 1: Mesin Imbasan CT

         Gambar 2: Bilik Kawalan CT

Jenis-jenis pemeriksaan yang boleh dijalankan

Di antara pemeriksaan yang boleh dijalankan ialah:

  • rangka kepala dan otak.

  • toraks (bahagian dada).

  • abdomen dan pelvis.

  • tulang belakang (turus vertebra).

  • anggota atas dan bawah.

Apakah Persediaan Untuk Pemeriksaan CT?

Biasanya apabila anda diberikan temujanji, anda akan diberikan penjelasaan tentang persediaan yang anda perlu lakukan. Di antaranya ialah;

  • berpuasa di antara 4-6 jam sebelum pemeriksaan.

  • hanya air kosong sahaja boleh diminum semasa berpuasa ini.

  • mengambil ubat alahan (steroid) jika perlu .

  • maklumkan kepada doktor yang merawat atau Juru X-ray sekiranya anda pernah mengalami perkara berikut:

    • asma (penyakit lelah).

    • alahan kepada makanan atau ubatan (gatal-gatal atau kemerahan dan kebengkakan).

  • sekiranya sedang mengambil ubat-ubatan, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda.

  • maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray  sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.

Pada hari pemeriksaan

Laporkan diri anda di kaunter pendaftaran.

Sebelum pemeriksaan

  • Anda perlu menukar pakaian anda kepada pakaian hospital yang disediakan.

  • Barang peribadi/ berharga adalah di bawah tanggungjawab anda sendiri (anda dinasihatkan untuk tidak membawa barang-barang berharga semasa hari pemeriksaan).

  • Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.

  • Anda akan ditanya tentang persediaan anda untuk pemeriksaan merujuk kepada senarai semak yang diberikan semasa temujanji.

Apakah perkara-perkara yang mungkin menyebabkan pemeriksaan CT anda ditangguhkan?

  • Tidak berpuasa.

  • Tidak mengambil ubat alahan yang diperlukan.

  • Anda didapati mengandung atau disyaki mengandung.

Semasa pemeriksaan

  • Anda sebagai pesakit akan dibaringkan di atasmeja pemeriksaan.

  • Anda akan diposisikan oleh juru X-ray.

  • Anda dinasihatkan agar memberi kerjasama dengan mengikuti arahan juru X-ray.

  • Meja pemeriksaan akan bergerak dan akan kedengaran alat berputar semasa pemeriksaan. Anda tidak perlu bimbang dan jangan bergerak.

  • Semasa pemeriksaan dijalankan, anda akan bersendirian di dalam bilik pemeriksaan.

  • Anda boleh berhubung dengan juru X-ray sepanjang pemeriksaan melalui intercom.

Berapa lamakah masa yang diambil?

Proses imbasan CT biasanya mengambil masa antara 30-60 minit bergantung kepada jenis pemeriksaan yang dijalankan.

Selepas pemeriksaan

  • Anda akan dikeluarkan dari bilik pemeriksaan.

  • Menukar semula kepada pakaian anda.

  • Jarum suntikan akan dibuka (sekiranya ada).

  • Pastikan anda dalam keadaan  stabil sebelum meninggalkan jabatan.

  • Sekiranya anda menghadapi sebarang masalah kesihatan, sila maklumkan kepada juru X-ray atau doktor yang bertugas.

  • Anda boleh terus makan selepas pemeriksaan.

Penggunaan media kontras

  • Bagi sesetengah prosedur, sejenis ubat (media kontras) akan diberikan samada melalui:

    • suntikan.

    • minuman (oral).

    • rektal (melalui dubur).

  • Media kontras digunakan untuk memudahkan organ diperlihatkan dengan jelas. Pemberian suntikan media kontras mungkin akan menyebabkan anda berasa:

    • panas badan.

    • loya.

    • pening. Walau bagaimanapun, ini hanyalah bersifat sementara. Sekiranya berterusan, sila maklumkan kepada Juru X-ray yang bertugas.

  • Anda tidak perlu bimbang kerana doktor akan sentisa berada bersama sepanjang pemeriksaan.

Laporan pemeriksaan

Imej-imej akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan radiologi akan disediakan.

Rujukan

1. Computed Tomography (CT) Scans and Cancer,  2013, National Cancer Institute, US, http://www.cancer.gov/cancertopics/factsheet/detection/CT

 

Semakan Akhir : 9 Jun 2014
Penulis : Solehah binti Ismail
Akreditor : Norman Serbastian Alangaram

Artikel Berkaitan

Bantuan Kepada Pesakit Kanser

Bagi membantu pesakit serta keluarga menangani situasi yang dihadapi dengan cara terbaik, mereka sering dirujuk ke Pegawai Kerja Sosial Perubatan. Ini bagi memastikan perkhidmatan sokongan dan bantuan yang sewajarnya disediakan sebagai pelengkap kepada proses rawatan. Perkhidmatan ini disediakan untuk pesakit dewasa mahupun kanak-kanak.

Nasib Si ‘Keldai Dadah’

‘Keldai dadah’ merujuk kepada individu yang mengangkut dadah haram atau barang larangan melintasi sempadan antarabangsa bagi pihak kumpulan jenayah atau peniaga dadah.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,543

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia