A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Epidemiologi dan Kepentingan Saringan untuk Pendengaran

Pengenalan

Kebanyakan warga emas yakni mereka yang berumur lebih daripada 60 tahun mengalami pelbagai tahap kurang pendengaran. Keadaan ini berlaku kerana mereka mempunyai masalah kurang keupayaan untuk mendengar dan kurang kepekaan kepada bunyi yang biasanya dapat didengar. Kehilangan ini merangkumi kehilangan pendengaran tahap sederhana kepada kehilangan pendengaran sepenuhnya. Kehilangan pendengaran boleh melibatkan sama ada satu atau kedua-dua belah telinga.

Epidemiologi

Lebih daripada 33% warga emas mengalami kehilangan pendengaran. Kejadian hilang pendengaran dianggarkan berganda pada setiap dekad, bermula dengan 16% pada umur 60 tahun, 32% pada umur 70 tahun dan 64% pada umur 80 tahun. Apabila dipadankan dengan umur, kaum lelaki didapati lebih mengalami masalah pendengaran yang lebih teruk dibandingkan dengan kaum perempuan.

Jenis kehilangan pendengaran yang paling kerap berlaku di kalangan warga emas yang berusia lebih lanjut adalah presbikusis. Ini adalah sejenis kehilangan pendengaran sensoneural frekuensi tinggi yang melibatkan kedua-dua belah telinga.

Mekanisma kehilangan pendengaran

Pendengaran berlaku dengan adanya sel rerambut halus yang terletak di bahagian dalam telinga. Bunyi menyebabkan getaran kepada molekul udara. Getaran ini diperangkap oleh sel rerambut halus tersebut dan menukarkannya kepada isyarat saraf. Isyarat ini akan dihantar ke otak dan ditafsirkan sebagai bunyi. Sel rerambut halus boleh mengalami kerosakkan dengan penuaan atau apabila terdedah kepada keadaan buruk kepada telinga untuk satu masa yang berpanjangan. Sel rerambut ini tidak boleh tumbuh semula apabila rosak. Oleh itu kebanyakan hilang pendengaran yang disebabkan oleh kerosakan sel rerambut ini adalah kekal.

Walau bagaimanapun ramai yang dapat mengekalkan pendengaran yang baik walaupun mereka mencapai usia emas.

Kesan kurang pendengaran di kalangan warga emas

Kehilangan pendengaran boleh memberi kesan kepada fungsi sosial dan mutu kehidupan warga emas.

Keadaan ini akan menyebabkan:

  • ketidakupayaan mentafsirkan bunyi pertuturan

  • kurang keupayaan berkomunikasi

  • salah faham

  • pemencilan diri

  • stigma

  • kekeliruan

  • kemurungan

  • kemerosotan fungsi harian

  • sukar memahami dan mengikuti nasihat doktor

  • sukar bertindak balas terhadap sebarang amaran yang mungkin membahayakan

  • aib dan kekecewaan diri

Faedah saringan kurang pendengaran di kalangan warga emas

Saringan kurang pendengaran di kalangan warga emas membolehkan pengesanan awal masalah ini. Pengesanan awal masalah kurang pendengaran akan dapat membantu menyediakan intervensi yang sesuai seperti alat bantu pendengaran untuk meningkatkan tahap pendengaran mereka. Dengan ini akan dapat mengurangkan kesan negatif masalah kurang pendengaran disamping meningkatkan mutu kehidupan warga emas.

Mereka juga dapat mengambil bahagian dalam perjumpaan sosial, berkomunikasi serta menzahirkan keperluan mereka dengan lebih baik, mengurangkan pemencilan sosial, dan meningkatkan status fungsi mereka.

Rujukan

  1. Walling ADDickson GM. Hearing loss in older adults,  Am Fam Physician. 2012 Jun 15;85 (12):1150-6. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22962895.

  2. http://www.mayoclinic.com/health/hearing-loss/DS00172

Semakan Akhir : 16 April 2014
Penulis : Dr. Ruziatun binti Hasim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,467

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia