A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Urin Protein 24 Jam

Pengenalan

Pada kebiasaannya, bagi individu yang sihat protein tidak dijumpai di dalam urin. Peningkatan paras protein di dalam urin (proteinuria) dapat dikesan bagi kebanyakan kes penyakit ginjal. Peningkatan paras protein di dalam urin menandakan tahap kerosakan ginjal pesakit.

Definisi

Ujian protein urin  24 jam bertujuan untuk mengukur jumlah protein yang disingkirkan dalam urin bagi tempoh 24 jam.

Kenapa Ujian Ini Perlu Dilakukan?

Ujian ini akan diminta oleh doktor apabila pesakitnya menunjukkan tanda atau simptom bagi penyakit glomerular seperti sindrom nefrotik atau penyakit yang boleh mempengaruhi fungsi ginjal. Protein dalam urin boleh diukur melalui sampel urin rambang, bertempoh masa, urin semalaman ataupun sampel urin 24 jam.  Cara pengumpulan urin 24 jam adalah disarankan kerana ia mengambil kira perubahan dalam ritma sirkadian (jam biologi) dalam penyingkiran protein dalam urin.

Langkah-langkah Pengumpulan Urin 24 Jam

Dalam tempoh pengumpulan urin 24 jam, pesakit diminta untuk mengekalkan diet harian melainkan diminta sebaliknya. Elakkan meminum alkohol sebelum dan semasa proses pengumpulan urin.

Langkah-langkah untuk pengumpulan urin 24 jam adalah seperti berikut:

  1. Pesakit akan diberi satu bekas berlabel yang berkemungkinan mengandungi bahan pengawet untuk menyimpan urin. Pindahkan / Tuangkan urin yang dihasilkan dari bekas pengumpul ke dalam bekas simpanan urin.
  2. Proses pengumpulan urin 24 jam boleh dimulakan bila-bila masa. Akan tetapi, kebiasaannya pesakit akan diminta untuk memulakan proses pengumpulan urin pada awal pagi.
  3. Singkirkan urin pertama yang dihasilkan. Catatkan masa tersebut dan tandakan sebagai masa permulaan untuk tempoh 24 jam.
  4. Simpankan urin yang dihasilkan dalam tempoh 24 jam tersebut ke dalam bekas yang disediakan. Goncangkan bekas setiap kali selepas memasukkan urin.
  5. Tepat 24 jam keesokkan harinya iaitu pada masa yang sama hari keesokkannya, cuba untuk hasilkan urin yang terakhir dan simpankan dalam bekas urin kerana ianya termasuk dalam jumlah keseluruhan pengumpulan urin 24 jam.
  6. Kembalikan bekas urin ke makmal apabila proses pengumpulan telah selesai. Jika bekas tidak dapat dikembalikan dengan segera, bekas tersebut hendaklah disimpan di tempat yang dingin samada dalam peti sejuk ataupun dalam bekas ais.

Kaedah-Kaedah Makmal Untuk Mengukur Kepekatan Jumlah Urin Protein

Sebelum tahun 1990, kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengukur kepekatan jumlah protein dalam urin adalah asai mendapan dengan kaedah turbidimetric atau nephelometric. Asai pengikatan pewarna juga digunakan tetapi hanya sejumlah kecil makmal yang menggunakannya. Sekarang,  kebanyakan makmal menggunakan asai pengikatan pewarna terus atau asai turbidimetric secara automasi.

Bagi kaedah asid sulfosalicylic yang kerap digunakan, asid sulfosalicylic akan dimasukkan ke dalam sampel urin. Tahap kekeruhan sampel akan diukur menggunakan photometer ataupun nephelometer. Jumlah protein dikira melalui perbandingan tahap kekeruhan sampel dengan tahap kekeruhan standard. Walau bagaimanapun, kaedah ini kurang tepat kerana menghasilkan pekali variasi yang tinggi. Kaedah asid sulfosalicylic/ biuret juga dinyatakan sebagai tidak praktikal, memerlukan jumlah sampel yang banyak dan tidak linear pada kepekatan urin protein yang rendah. Kaedah kuantitatif asid trichloroasetik-biuret pula agak leceh tetapi mempunyai tahap ketepatan yang lebih baik.

Terdapat beberapa lagi kaedah colorimetric pengikatan-pewarna untuk mengukur urin protein termasuk kaedah Coomassie Blue, Ponceau S dan benzethonium chloride turbidity.  Pyrogallol Red-Molybdate akan bertindak balas dengan protein untuk membentuk kompleks ungu kebiruan yang boleh diukur pada gelombang 600nm. Sehingga sekarang, tidak terdapat satu kaedah pun yang digunakan sepenuhnya di makmal. Walaupun asai pengikatan pewarnaan protein adalah cepat, mudah dan boleh dilakukan secara automasi , ujian tersebut memberikan tindakbalas yang kurang seragam bagi protein yang berbeza.

Jangkaan Keputusan

Bagi individu dewasa yang sihat, purata harian urin protein yang disingkirkan adalah 80 mg/hari dengan penyingkiran yang dianggap normal ialah <0.16 g/hari.

Protein mempunyai kadar penyerapan maximal tubular yang rendah dan peningkatan paras protein dalam urin merupakan penanda aras yang penting bagi kerosakan ginjal. Ia mungkin petanda bagi kerosakan ginjal ataupun peningkatan yang sementara disebabkan oleh jangkitan, ubat-ubatan, senaman yang berlebihan ataupun tekanan fizikal mahupun psikologikal. Bagi sesetengah pesakit, urin protein hanya boleh dikesan pada siang hari dan tidak dikesan pada waktu malam apabila pesakit berbaring (postural proteinuria). Bagi perempuan mengandung, peningkatan kepekatan urin protein boleh dikaitkan dengan pre-eklampsia.

Dalam keadaan kerosakan ginjal, peningkatan paras protein dalam urin berkadar langsung dengan peningkatan kerosakan fungsi ginjal.

Keadaan-keadaan Tertentu/Khas

  1. Sekiranya bekas yang dibekalkan oleh makmal sudah penuh dengan urin sebelum tempoh 24 jam pengumpulan urin berakhir:-
    • Gunakan bekas kaca atau plastik yang telah dibersihkan  untuk menyimpan urin yang seterusnya. Simpan di tempat yang sejuk.
  2. Pesakit yang menggunakan kateter:-
    • Mulakan proses pengumpulan urin menggunakan beg kateter yang baru. Jika tiada beg kateter yang baru, bersihkan beg yang telah digunakan dengan menyingkirkan urin di dalam beg tersebut dan bilas sehingga bersih.
    • Mulakan proses pungumpulan urin dalam beg kateter yang telah dikosongkan.  Catatkan masa tersebut sebagai masa permulaan.  Dalam tempoh 24 jam pengumpulan urin, pindahkan kandungan urin dalam beg kateter dengan kerap dan simpankan urin tersebut dalam bekas yang disediakan.  Simpan bekas di tempat yang sejuk.  Selepas tempoh 24 jam, pindahkan kandungan beg kateter yang mengandungi urin untuk kali terakhir
  3. Urin yang dicemari najis atau darah:-
    • Berhentikan pengumpulan urin dengan serta-merta kerana keputusan ujian tidak akan tepat.  Kembalikan bekas ke makmal.  Pihak makmal akan memberikan bekas yang baru untuk mengulang kembali proses pengumpulan urin.
  4. Pesakit terlepas/ terlupa untuk mengumpul urin semasa tempoh 24 jam:-
    • Berhentikan pengumpulan urin dengan serta-merta kerana keputusan ujian tidak akan tepat.  Kembalikan bekas ke makmal.  Pihak makmal akan memberikan bekas yang baru untuk mengulang kembali proses pengumpulan urin.

Rujukan

  1. Marshall T, Williams KM.  Total Protein Determination in Urine: Elimination of a Differential Response between the Coomassie Blue and Pyrogallol Red Protein Dye-binding Assays. Clin. Chem 2000;46:392-398.
  2. Dilena BA, Penberthy LA, Fraser CG.  Six methods for urinary protein compared. Clin chem. 1983;29:553-557.
  3. Pesce MA, Strande CS.  A new micromethod for determination of protein in cerebrospinal fluid and urine. Clin Chem 1973;21:398-401.
  4. http://www.hopkinsmedicine.org/healthlibrary/test_procedures/urology/24-hour_urine_collection_92,P08955/
  5. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/003622.htm
  6. http://promotinghealthandpatienteducation.blogspot.com/2009/09/24-hour-urine-collection-how-to-do-it.html
  7. http://labtestsonline.org/understanding/analytes/urine-protein/tab/sample
  8. McPherson RA, Ben-Ezra J.  Henry’s Clinical Diagnosis and Management by Laboratory Methods, Twenty Second Edition (2011) p445-479.
  9. Israni AK, Kasiske BL.  Brenner & Rector’s The Kidney, Ninth Edition (2012) p868-896.
Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Jennifer Chiam
Penterjemah : Siti Sofianny bt. Othman
Akreditor : Lau Kim Bee

Artikel Berkaitan

Antraks

Antraks adalah sejenis penyakit yang disebabkan kuman / bakteria yang membentuk spora, bernama bacillus anthracis. Kebanyakannya menjangkiti haiwan tetapi boleh menyebabkan demam yang serius kepada manusia sekiranya terdedah kepada spora ini. Ia menyerang kulit, usus atau paru-paru.

Pilihan Rawatan untuk Psoriasis

Terdapat pelbagai bentuk rawatan untuk psoriasis, bergantung kepada jenis psoriasis, tahap teruk psoriasis, pilihan pesakit, rawatan yang sedia ada dan risiko-faedah rawatan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,319

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia