A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Semburan Dinding Dan Kesannya

Semburan Dinding Dan Kesannya

Pengenalan

Semburan dinding atau semburan fokal adalah semburan yang dilakukan kepada permukaan dinding rumah yang rata. Semburan dinding ini adalah bertujuan untuk membunuh nyamuk. Semburan ini biasanya akan menggunakan racun serangga yang mempunyai kesan residu seperti deltamethrin.1 Tujuan semburan ini adalah untuk membunuh nyamuk tiruk yang berparasit malaria. Ianya adalah merupakan salah satu cara menyekat penyebaran penyakit malaria.

Tujuan utama semburan dinding ini diperkenalkan adalah membunuh nyamuk yang berparasit malaria. Kebiasaannya nyamuk tiruk ini akan berehat di dinding-dinding rumah sebelum dan selepas menghisapkan darah manusia atau mangsa.

1
Foto 1: Nyamuk Tiruk yang sedang menghisap darah

 

2
Foto 2: Selepas menghisap darah, nyamuk Tiruk biasa berehat di dinding

 

Kajian entomologi yang berlaku di pinggiran kampong Orang Asli Air Bah, Gerik mendapati peningkatan densiti Nyamuk Tiruk menyebabkan berlaku wabak Malaria pada tahun 2000. Langkah kawalan yang digunakan adalah dengan menggunakan semburan dinding dan kelambu berubat.2

Semburan dinding perlu dilakukan berdasarkan kepada kajian berkaitan epidemiologikal dan entomologikal kes. Semua permukaan struktur rumah yang digunakan untuk bermalam dan tempat berehat terutama di waktu malam mesti dijalankan semburan. Selain itu, ulangan semburan juga dilakukan berdasarkan persekitaran dan cuaca di lokaliti tersebut dan pada kebiasaannya setiap 3 bulan.

Selain daripada semburan dinding, kaedah yang sama juga digunakan dalam pencelupan kelambu berubat. Tujuan kelambu berubat juga adalah untuk melindungi penduduk terutama di waktu malam daripada gigitan nyamuk. Selain itu, pencelupan pakaian berubat juga digunakan untuk melindungi penduduk yang bekerja di kawasan berisiko dengan gigitan atau kawasan urungan nyamuk yang tinggi.

Teknik semburan dinding adalah dengan menggunakan pam tekanan tinggi Hudson X-pert. Teknik semburan ini akan menghasil residu pada dinding dengan kadar 20mg/m2. Nyamuk yang berparasit malaria yang terkena residu racun serangga K-Othrine 5.0WP (wettable powder) akan mati. Ianya adalah merupakan salah cara yang digunakan dan didapati amat berkesan bagi kawasan yang bermasalah dengan malaria.

3
Foto 3: Racun K-Othrine 5.0 WP dengan bahan aktif deltamethrin dalam semburan residu permukaan
4
Foto 4: Compression sprayer can Hudson X-pert

 

Penyemburan perlukan dijalankan oleh kakitangan yang terlatih. Kakitangan yang menjalankan penyemburan perlu memakai alat perlindungan diri semasa menjalankan semburan dinding. Setiap pegawai yang menjalankan penyemburan perlu memakai topi sarung tangan getah, penutup muka dan hidung, respirator, pakaian coverall kapas berlengan panjang, gogel dan kasut but.

Sebelum semburan dijalankan, pastikan segala peralatan adalah mencukupi dan dalam keadaan yang sempurna. Tong penyembur Hudson X-pert perlu dibersihkan selepas dan sebelum digunakan. Pastikan tekanan dan saiz nozzle adalah mengikut speksifikasi yang ditetapkan. Menurut kajian oleh Rozilawati et al, residu 25mg/m2 deltametrin pada dinding konkrit adalah berkesan membunuh Ae. Aegypti dan Ae. Albopictus dan residu bertahan sehingga 6 minggu.3

Kaedah Semburan

Perancangan perlu mengambil kira lokaliti, jenis rumah dan jumlah rumah. Peralatan dan kelengkapan dalam keadaan baik serta boleh digunakan. Kakitangan yang menjalankan tugas akan memperkenalkan diri dan memberitahu tujuan kedatangan. Memohon kebenaran kepada tuan rumah sebelum membuat semburan.

Seterusnya semua makanan, minuman, bekas-bekas makanan dan peralatan memasak  perlu ditutup. Semua perabut dan hiasan yang bergantung perlu dialihkan. Penghuni juga dinasihatkan untuk berada di luar rumah. Semburan dijalankan di semua permukaan dinding, pintu, tingkap, belakang perabut, atas dan bawah.

Mulakan semburan di dalam rumah dari bahagian permukaan atas dan menurun ke arah aras lantai. Pergerakan semburan dialihkan dari kiri ke kanan dan semburan bermula dari aras bawah ke atas. Setiap ruang permukaan dinding perlu dipastikan terkena dengan semburan dengan kadar yang sama rata. Tujuannya untuk mendapatkan kesamarataan residu.

5 6

Foto 5: Prosedur penyemburan mestilah mengikut garis panduan yang diberikan oleh WHO. (Sumber: Juniadi, l., Francis, X., Asiah, A.,Safri, A., Aziz, S., 2000).

Setiap permukaan dinding perlu yang disembur dengan teknik Total, Complete, Sufficient dan Regular (TOCOSURE) bagi mendapatkan residu racun serangga. Jarak nozzle dengan permukaan dinding yang disembur adalah 45cm dengan tindanan adalah 5cm antara barisan. Mengikut pengiraan sepatutnya setiap permukaan semburan akan mendapat 2gm/m2 residu racun serangga. 4

Kesan Semburan

Semburan dinding merupakan satu program yang didapati amat berkesan di dalam rancangan kawalan penyakit bawaan vektor bagi mengurangkan kejadian kes. Ianya dijalankan setiap enam bulan sekali setiap tahun. Semburan ini didapati mampu mengurangkan hubungan kapasiti nyamuk di persekitaran manusia. Kawalan vektor yang berkesan dan dapat menghindarkan penduduk dari digigit nyamuk yang berparasit. Kaedah kawalan semburan dinding ini juga dapat mengawal kejadian kes atau  wabak di kawasan tumpuan dengan lebih efektif. Kawasan yang dijalankan semburan lebih fokus dan boleh dirancang. Disamping sebagai langkah kawalan, semburan ini juda dapat mengawal transmisi jangkitan bermusim dan sebagai langkah pencegahan. Ia juga boleh digunakan sebagai pencegahan khas kepada penduduk sentiasa bergerak (nomad) dan di kawasan projek pembangunan pekerja asing.5

Rujukan

  1. Indoor Residual Spraying: An Operational Manual For Indoor Residual Spraying (IRS) For Malaria Transmission  Control And Elimination. (2013).
  2. Juniadi, l., Francis, X., Asiah, A.,Safri, A., Aziz, S. (2000). Outbreak of Malaria In The Pinggiran Orang Asli Settlement of Air Bah, Hulu Perak
  3. Rozilawati et al. (2005). Field bioefficacy of deltamethrin residula spraying againt dengue vectors
  4. Standard operation procedures for Malaria Control and Elimination. (2012).
  5. Topek Omar: Outdoor Residual Spraying Sebagai Pencegahan dan Kawalan Denggi
Semakan Akhir : 1 Ogos 2016
Penulis : Hj. Ahmad Fakurazi bin Abu Bakar
Akreditor : Hj. Rosnani bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

Penjagaan Suara untuk Guru-guru

Suara dikatakan bermasalah apabila kualiti suara dari aspek kelangsingan suara dan kekuatan suara berubah dari suara kebiasaan sebelum ini.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,244

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia