A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Rawatan Pergigian
  6. /
  7. Siapakah Yang Memerlukan Jambatan...

Siapakah Yang Memerlukan Jambatan Pergigian?

Kehilangan gigi boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Ketiadaan gigi juga boleh terjadi sejak dari lahir.

Bayangkan melihat wajah anda di cermin tanpa gigi hadapan. Sanggupkah anda berdepan dengan orang ramai dengan gigi yang rongak? Jika gigi yang hilang itu di bahagian belakang, ia mungkin tidak menjejaskan rupa tetapi masalah untuk mengunyah pula akan timbul. Apakah pilihan yang ada untuk menggantikan gigi yang telah hilang? Mari kita bincang terlebih dahulu sebab-sebab utama berlakunya kehilangan gigi.

Rajah 1 : Ruang kosong disebabkan kehilangan gigi boleh menjejaskan estetik dan juga fungsi.
Imej ihsan dari www.dental-excellence.org

Apakah sebab-sebab utama berlakunya kehilangan gigi?

Kehilangan gigi boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Misalnya, cabutan akibat trauma, karies yang teruk hingga kehilangan sebahagian besar struktur gigi, penyakit gusi yang tidak terkawal atau pun kegagalan mekanikal seperti gigi retak atau terbelah. Ketiadaan gigi juga boleh terjadi sejak dari lahir disebabkan berlakunya gangguan semasa proses pembentukan.

Apakah pilihan yang ada untuk menggantikan gigi yang hilang?

Anda boleh memilih samada prostesis yang melekat secara tetap atau yang boleh di tanggal. Prostesis yang melekat tetap boleh di sokong samada oleh gigi mahupun implan pergigian. Artikel ini akan hanya membincangkan jenis jambatan yang di sokong oleh gigi asli.

Apakah yang dimaksudkan dengan jambatan pergigian?

Ia merupakan sejenis prostesis yang digunakan untuk menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang dengan menyambungkan gigi-gigi palsu dengan gigi-gigi bersebelahan atau pun implan. Implan pergigian merupakan pilihan yang utama dalam rawatan untuk menggantikan gigi yang hilang di negara-negara maju (jambatan pergigian yang dipegang oleh implan pergigian sepenuhnya). Walau bagaimana pun, jambatan pergigian yang disokong oleh gigi tetap digunakan dengan meluas di serata dunia kerana kosnya yang lebih murah.


Rajah 2 : Jambatan pergigian untuk menggantikan dua gigi yang hilang.
Imej ehsan dari www.geelongdental.com


Rajah 3 : Contoh jambatan tiga unit.
Imej ehsan dari common.wikimedia.org

Apakah komponen asas dalam sebuah jambatan pergigian?

  • Pemegang (retainer)

    Komponen pemegang merupakan dua unit korona yang disimen pada gigi-gigi yang terletak di kedua belah sisi kawasan gigi yang hilang sebagai penyokong struktur jejambat tersebut.

  • Pontik (pontic)

    Gigi palsu yang memenuhi ruang gigi yang hilang itu dikenali sebagai pontik. Bergantung kepada bilangan gigi yang hilang serta situasi klinikal, bilangannya boleh jadi satu atau lebih. Pontik bersambung secara tetap dengan komponen pemegang.


Rajah 4 : Komponen asas jambatan pergigian.
Imej ehsan dari successing.com

Adakah jambatan pergigian sesuai untuk semua golongan? Apakah perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan di dalam menilai kesesuaian pesakit?

Terdapat beberapa perkara asas yang perlu dipenuhi oleh pesakit yang berminat. Kebersihan mulut yang memuaskan, tiadanya penyakit gusi aktif serta sikap yang positif terhadap kesihatan pergigian merupakan faktor yang sangat penting dan wajib dipenuhi. Pesakit dengan tahap kebersihan mulut yang tidak memuaskan tidak sesuai untuk diberi sebarang jenis prostesis yang melekat secara tetap kerana ia berkebarangkalian tinggi akan menyebabkan karies berulang (lubang pada gigi) serta penyakit gusi. Kebersihan mulut yang tidak memuaskan merupakan petunjuk negatif berkenaan sikap terhadap kesihatan pergigian. Pesakit sebegini akan diberi nasihat serta tunjuk ajar dan diwajibkan untuk melalui proses pemeriksaan semula secara berkala untuk suatu jangka waktu. Penilaian semula hanya akan dibuat untuk mempertimbangkan kesesuaian pesakit apabila tahap kebersihan mulut telah menjadi baik.


Rajah 5 : Kebersihan mulut yang tidak memuaskan.
Imej ehsan dari www.pocketdentistry.com

Perlukah semua gigi hilang diganti?

Estetik merupakan faktor yang paling penting yang perlu dipertimbangkan. Walau bagaimanapun, tidak semua gigi yang hilang mesti diganti. Ia bergantung kepada lokasinya di dalam mulut. Jika ruang yang kosong itu jelas kelihatan, ia akan memberi rupa yang tidak menarik dan juga menjejaskan fungsi pertuturan dan sebutan. Dalam keadaan ini, gigi yang hilang amat perlu diganti. Jikalau gigi yang hilang itu melibatkan gigi belakang yang tidak menjejaskan rupa serta tidak mengganggu fungsi pemakanan dan pertuturan malah oklusinya juga stabil, ia tidak perlulah diganti. Penggantian bagi tujuan pencegahan dari berlakunya komplikasi akibat kehilangan gigi juga merupakan salah satu faktor yang wajar dipertimbangkan. Walau bagaimanapun kewajarannya perlu dinilai bagi setiap individu oleh kerana situasi klinikal dan risiko yang terlibat adalah berbeza-beza. Malah, jajaran gigi yang dipendekkan adalah disyorkan dalam situasi tertentu.


Rajah 6 : Lokasi kehilangan gigi.
Imej ehsan dari slidesharecdn.com


Rajah 7 : Komplikasi yang mungkin berlaku kesan dari kehilangan gigi.
Imej ehsan dari dr.zenaidycastro.com

Apakah petunjuk spesifik untuk penggantian gigi dengan jambatan pergigian?

  • Psikologikal

    Sesetengah pesakit tidak dapat menerima prostesis palsu jenis boleh tanggal kerana berasakan ianya merupakan anggota asing. Pemakaian gigi palsu dilihat sebagai simbol berkurangnya keupayaan diri dan berkait rapat dengan proses penuaan. Lagipun, gigi palsu perlu ditanggalkan pada waktu tidur untuk mengelakkan kerosakan pada gigi dan gusi. Bagi pasangan yang telah berkahwin, mereka pasti tidak mahu pasangan melihat mereka dengan gigi yang rongak hingga menjejaskan rupa. Jambatan pergigian amat sesuai bagi keadaan-keadaan yang disebut di atas.

    Rajah 8 : Prostesis boleh tanggal untuk menggantikan gigi hadapan yang hilang.
    Imej ehsan dari www.intranet.tdmu.edu
     
  • Penyakit sistemik

    Pesakit-pesakit yang mempunyai penyakit sawan atau sering hilang sedar seperti dialami pesakit epilepsi tidak disyorkan untuk menggunakan semua jenis prostesis pergigian jenis boleh tanggal. Ini adalah kerana risiko yang tinggi patahnya prostesis atau tertelan masuk ke rongga pernafasan yang boleh membahayakan nyawa.

Apakah petunjuk-petunjuk tidak wajar bagi mendapatkan jambatan pergigian?

  • Mereka yang tidak boleh memberi kerjasama – spastik, pesakit mental
  • Bukaan mulut yang tidak mencukupi
  • Terlalu muda atau terlalu tua
  • Risiko karies gigi yang tinggi
  • Penyakit gusi tak terkawal
  • Prognosis gigi tupang yang meragukan
  • Faktor yang mempengaruhi kekuatan pemegang jambatan seperti ketinggian korona, saiz serta bentuk gigi tupang yang tidak ideal; nisbah korona:akar yang tidak ideal; struktur dentin yang lemah seperti ‘dentinogenesis imperfecta’
  • Kepanjangan jajaran : jajaran yang terlalu panjang akan menyebabkan beban yang keterlaluan pada gigi tupang
  • Gigi tupang dalam posisi terputar dan berkecondongan yang tidak ideal
  • Ruang yang terlalu sempit untuk direstorasi
  • Tiada upaya diri untuk melakukan penjagaan harian yang diperlukan untuk prostesis jenis tetap


    Rajah 9 : Adalah mustahil untuk membuat jambatan pergigian pada gigi belakang jika bukaan mulut adalah tidak mencukupi.
    Imej ehsan dari www.synapse.koreamed.org

Apakah kebaikan-kebaikan jambatan pergigian?

  • Ia merupakan prostesis jenis tetap, yang disimen terus pada gigi tupang. Ia tidak perlu dibuka untuk tujuan pembersihan
  • Tempoh penyesuaian diri yang pendek – jambatan pergigian bersaiz kecil dan juga ringan berbanding gigi palsu boleh tanggal. Ia amat mudah diterima sebagai sebahagian dari gigi asli setelah disimen dalam mulut.
  • Keselesaan untuk mengunyah. Tidak perlu takut berlakunya sebarang insiden yang memalukan di khalayak ramai
  • Prostesis yang amat estetik boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan porselin berkekuatan tinggi
  • Jambatan pergigian lebih mudah dan lebih cepat untuk diperolehi (3 kali lawatan)
  • Tempoh hayat dan prognosis yang baik dengan penjagaan harian yang sempurna
  • Jauh lebih murah berbanding implan pergigian

Apa pula keburukan jambatan pergigian?

  • Sejumlah besar struktur gigi asli perlu dipotong dan dibuang secara kekal dalam penyediaan jambatan pergigian. Risiko bagi gigi yang telah dipotong untuk mengalami komplikasi pada saraf gigi adalah tinggi. Ia mungkin berlaku sejurus atau beberapa tahun selepas jambatan tersebut disimen. Rawatan endodontik mungkin diperlukan. Ini merupakan sebab utama mengapa prostesis implan adalah lebih baik, kerana gigi-gigi lain terutamanya gigi yang sihat tidak terlibat dalam pengkonstruksiannya. Walau bagaimanapun, masih terdapat jalan untuk membina jambatan pergigian dengan cara yang lebih konservatif seperti dengan memilih rekabentuk margin keliling logam serta logam pada permukaan mengunyah.
  • Pesakit mungkin merasa sensitif pada gigi yang telah disediakan untuk jambatan pergigian. Ia akan surut selepas beberapa hari dengan syarat, jambatan sementara yang baik telah dibuat dan disimen sementara di dalam mulut.
  • Jambatan pergigian memerlukan penjagaan yang spesifik untuknya iaitu dengan menggunakan ‘superfloss’ bagi membersihkan permukaan bawah jambatan. Ini penting untuk mengelakkan kerosakan pada gigi tupang serta tisu penyokong dan memanjangkan tempoh hayatnya.


Rajah 10 : Penggantian gigi yang hilang dengan implan pergigian.
Imej ehsan dari samdental.org

Rujukan

  1. Roberts D.H. (1973) Fixed bridge prostheses (John Wright & Sons Ltd.), Bristol. Great Britain.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Nur Laila Sofia bt. Ahmad
Akreditor : Dr. Nik Fareedah bt. Mustafa
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Komplikasi Cabutan Gigi

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang .Cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna.

Masalah Berkaitan Pertumbuhan Gigi

Pertumbuhan gigi merupakan salah satu proses dalam perkembangan kegigian.Manusia mempunyai 2 jenis gigi, iaitu gigi susu dan gigi kekal.Gigi susu, yang terdiri dari 20 batang akan mula tumbuh pada umur lebih kurang 6 bulan.Gigi kekal, berjumlah 32 batang akan mula tumbuh ketika kanak-kanak berumur lebih kurang 6 tahun.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,439

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia