A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Jangkitan Parasit
  6. /
  7. Diagnosis Makmal Untuk Jangkitan...

Diagnosis Makmal Untuk Jangkitan Malaria

  1. PENGENALAN

Kes-kes malaria di Malaysia masih merupakan masalah kesihatan awam yang utama walaupun bilangan jangkitan telah menurun berbanding dekad yang lalu. Malaria merupakan penyakit tropika bawaan vektor yang menjangkiti manusia disebabkan oleh genus Plasmodium. Lima spesis Plasmodium adalah P.falciparum, P.vivax, P.ovale, P.malariae dan P.knowlesi. Kejadian jangkitan malaria teruk adalah tinggi di kawasan luar bandar dan kadar kematian terus meningkat. Pesakit-pesakit yang dijangkiti parasit malaria mempunyai simptom-simptom seperti demam, kelesuan, sakit kepala, loya dan muntah-muntah. Mereka yang mempunyai jangkitan malaria teruk boleh mengalami kejutan, koma, kegagalan buah pinggang dan hati. Gejala-gejala biasanya bermula dari tujuh hingga lima belas hari selepas digigit oleh nyamuk Anopheles betina. Gigitan nyamuk akan menyuntik parasit ke dalam sistem darah manusia. Diagnosis makmal adalah sangat penting untuk menentukan spesies jangkitan malaria. Risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan menggunakan repellents serangga atau kelambu. Komplikasi yang disebabkan oleh spesies boleh dirawat oleh ubat antimalaria khusus yang bersesuaian.

Life cycle of Plasmodium species

Kitaran Hidup spesies Plasmodium (Sumber: Gambar diadaptasi daripada Makmal Pengenalan Parasit dari Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan, USA)

  1. DIAGNOSIS MAKMAL
  •  Kaedah Makmal

Ujian Diagnostik Rapid adalah kaedah paling mudah yang digunakan dalam makmal. Pengesanan antigen parasit adalah berdasarkan kepada kaedah immunokromatografik. Keputusannya adalah sensitif tetapi perlu ditafsir bersama-sama dengan pemeriksaan microskopi. Kelebihan ujian rapid tersebut adalah ianya cepat untuk dilaksanakan dan aliran kerja kurang. Walau bagaimanapun, ujian rapid adalah mahal dan kurang spesifik.

Pemeriksaan Langsung Mikroskopik daripada Filem Darah (BFMP) untuk menentukan parasit malaria merupakan standard emas untuk pengesahan parasit malaria di Malaysia. Filem darah tebal dan nipis dilakukan atas slaid kaca dan dicelup dengan reagen Giemsa. Parasit malaria boleh dikesan secara kualitatif melalui filem tebal. Sebaliknya, filem nipis boleh menentukan spesies dan kuantitatif parasit. Walau bagaimanapun, kaedah ini memerlukan juruteknologi makmal perubatan yang terlatih.

Tindakbalas Rantaian Polimerase (PCR) adalah satu kaedah yang sensitif yang membolehkan amplifikasi pada bahagian tertentu DNA malaria. Walau bagaimanapun, kaedah PCR adalah mahal dan memerlukan bioteknologis yang berkemahiran. Ujian ini boleh dijalankan bagi kes-kes yang mempunyai gejala malaria tetapi parasit tidak dijumpai dalam BFMP.

Penemuan makmal yang lain termasuklah analisis pengiraan penuh darah, bilirubin dan aminotransferases.

  • Senarai Kaedah dalam KKM

Lazimnya, Pemeriksaan Langsung Mikroskopik daripada Filem Darah (BFMP), Ujian Diagnostik Rapid (RDT) dan Tindakbalas Rantaian Polimerase (PCR) merupakan diagnosis makmal malaria yang utama di Malaysia. Kebanyakan diagnosis di hospital menggunakan BFMP manakala RDT biasanya digunakan di klinik tertentu. PCR hanya dijalankan di beberapa hospital pakar major, pusat penyelidikan dan makmal kesihatan awam.

  • Pengambilan Spesimen

Jari pesakit disterilkan dengan alkohol dan dibiarkan untuk kering pada suhu bilik. Kemudian hujung jari dicucuk dengan jarum atau lancet. Filem tebal dan nipis perlu disediakan dalam satu slaid. Filem tebal disediakan dengan cara mengacau titisan darah secara pergerakan membulat menggunakan sudut slaid. Untuk menyediakan filem nipis, letakkan pinggir licin slaid dan sebarkan darah dengan melaraskan sudut antara slaid dan spreader kepada 45°. Kemudian calitkan permukaan dengan menyapu secara konsisten di sepanjang permukaan slaid. Filem nipis ditetapkan menggunakan metanol selepas dibiarkan kering pada suhu bilik.

  1. KESIMPULAN

Ujian mikroskopi secara konvensional masih merupakan standard emas bagi diagnosis malaria yang tepat di Malaysia. Ujian Rapid adalah cepat dan mudah tetapi mahal. Ujian molekular seperti PCR dijalankan bagi kes-kes pengesahan dan kematian. Ujian yang paling efektif untuk diagnosis malaria bergantung kepada kepentingan diagnosis, bajet kewangan dan sebagainya.

Semakan Akhir : 26 Februari 2016
Penulis : Lim Kok Weng
Akreditor : Che Mahadi bin Che Kob

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,435,282

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia