A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tingkatkan Tumpuan, Bantu Anak Bercakap

Tumpuan bersama (joint attention) adalah kebolehan untuk berkongsi fokus ke atas sesuatu (orang, objek, konsep, peristiwa) dengan individu lain.

Apa itu tumpuan?

Adakah anda pernah mengalami situasi seperti berikut :

Situasi 1
“Saya letih. Anak saya tak boleh duduk diam dan dia tak banyak cakap.”Situasi 2
“Anak tak boleh fokus. Bila saya cakap dengan dia, sekejap sahaja. Dia pandang tempat lain. Kadang-kadang saya tanya lain dia jawab lain.”

Komen-komen di atas merupakan rintihan ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah tumpuan. Tumpuan merupakan kebolehan :

  • Fokus pada sesuatu yang dilakukan (Contoh : permainan, makanan)
  • Mengubah fokus daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain (Contoh : tumpuan daripada permainan kepada ibu bapa)
  • Kekalkan fokus pada satu jangka masa yang khusus

Tumpuan bersama (joint attention) adalah kebolehan untuk berkongsi fokus ke atas sesuatu (orang, objek, konsep, peristiwa) dengan individu lain. Ia berfungsi sebagai alat rujukan yang menggunakan pandangan dan isyarat yang dikongsi bersama untuk berkomunikasi.

Ia bermula di peringkat awal antara kanak-kanak dan ibu bapa iaitu 9 bulan dan mahir semasa 18 bulan.

Kenapa tumpuan penting dalam komunikasi anak saya?

Kemahiran tumpuan dan mendengar merupakan kemahiran yang penting dan diperlukan oleh kanak-kanak untuk belajar tentang persekitaran mereka. Selain itu, ia juga membantu kanak-kanak untuk fokus kepada bunyi atau pertuturan serta memahami bunyi atau pertuturan yang diberikan (Middleton & Waring , 2002).

Oleh yang demikian, berkongsi tumpuan antara kanak-kanak dengan individu di sekeliling mereka dapat membantu dalam perkembangan bahasa, pertuturan, komunikasi dan akademik. Justeru, ia membantu meningkatkan kualiti hidup mereka di masa hadapan.

Kanak-kanak memerlukan kemahiran tumpuan untuk :

  • Membentuk sosial interaksi awal antara kanak-kanak dan dewasa
  • Memahami perkataan dan mengikut arahan dengan lebih tepat
  • Menambah kosa kata (perkataan)
  • Membina struktur ayat yang betul
  • Membentuk bunyi pertuturan yang tepat
  • Menguasai kemahiran membaca dan menulis
  • Penglibatan di dalam perbualan serta perbincangan di kelas

Bagaimana pula jika kanak-kanak yang mengalami kesukaran tumpuan? Kesan daripada kesukaran memberi tumpuan adalah :

  • Masalah komunikasi
  • Masalah untuk bersosial dengan rakan sebaya atau golongan dewasa
  • Lambat pertuturan
  • Masalah sebutan bunyi perkataan (pelat)
  • Bertutur tetapi struktur ayat yang digunakan adalah tidak lengkap atau teratur
  • Masalah pembelajaran (membaca dan menulis)

Apakah strategi untuk meningkatkan tumpuan anak saya?

Ibu bapa berperanan penting untuk meningkatkan tumpuan anak. Anda perlu bertenang dan berfikiran positif dalam mencari pendekatan yang berkesan bagi menangani masalah tumpuan dan komunikasi anak anda.
Berikut merupakan strategi untuk ibu bapa menarik dan meningkatkan tumpuan anak:

  1. Kurangkan gangguan
    • Tutup televisyen atau radio semasa bermain bersama atau menjalankan aktiviti
    • Simpan telefon atau alatan elektronik seperti iPad atau tablet
  2. Arahan yang  jelas dan tegas
    • Arahan yang jelas dan tegas dapat membantu anak anda lebih peka dan mendengar
  3. Aktiviti yang menarik

    • Pilih aktiviti yang paling anak anda minati
    • Ia membantu dalam memberi pilihan kepada anak anda
    • Seterusnya ia menggalakkan anak untuk berkomunikasi
    • Gunakan jadual bergambar untuk mengekalkan dan meningkatkan tumpuan anak semasa aktiviti dijalankan
  4. Sistem ganjaran yang konsisten
    • Puji atau berikan ganjaran secara konsisten dapat membantu anak anda kekal fokus dengan perkara yang dilakukan.
  5. Rangsangan bahasa

    • Memberi komen ketika bermain dengan anak.
    • Contoh : Semasa bermain dengan kereta
    • Ibu/Bapa: “Vroom, vrooom. Kereta datang. Kereta besar datang. Dia nak langgar. Booom.. langgar.”
    • Tunggu dan perhatikan sebentar respon daripada anak anda.
    • Respon kepada ekspresi muka, isyarat, bunyi atau pertuturan yang dihasilkan oleh anak.
  6. Pelbagaikan intonasi suara

    • Intonasi suara yang berbeza-beza boleh menarik perhatian atau tumpuan anak anda.
    • Guna penekanan bunyi pada perkataan-perkataan yang ingin diajar kepada anak-anak.

Apa yang perlu saya buat untuk tingkatkan tumpuan anak saya?

Aktiviti-aktiviti yang dicadangkan berikut boleh dilaksanakan sebagai rutin harian. Perkara paling penting adalah masa yang perlu diluangkan bersama-sama anak, keseronokan aktiviti yang dijalankan, peluang, galakan dan rangsangan bahasa yang diberikan kepada anak.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan untuk membantu meningkatkan tumpuan anak iaitu :

  1. Bermain dengan pasir
  2. Bercerita menggunakan buku cerita
  3. Menghasilkan diari bersama-sama berkaitan aktiviti yang dijalankan (contoh: berkhemah, membuat kek)
  4. Permainan teka (‘guess game’)
  5. Teka-teki (‘Puzzle’)
  6. Berkebun
  7. Seni dan kraf
  8. Main masak-masak
  9. Membuat pelbagai bentuk menggunakan tanah liat
  10. Permainan memori (memory game)

Anda boleh cuba dan cipta pelbagai aktiviti lagi yang boleh meningkatkan tumpuan dan komunikasi anak anda. Hal ini demikian kerana anda sebagai ibu bapa lebih memahami kemahuan dan kemampuan anak anda.

Rujukan

  1. Cohen A. & Fay M. Improving Social Communication through Joint Attention: Interventions to Support Training for Children with Autism. Peroleh Microsoft PowerPoint pada 2/9/2015
  2. Daymut, J.A . Joint Attention Skills and the Child with Autism. Super Duper Handy Handouts! Peroleh dari http://www.superduperinc.com/handouts/pdf/196_JoinAttentionandASD.pdf pada 5/9/2015
  3. 7 Activities To Improve The Attention Span of Your Children (2012). Peroleh dari http://kamloopsparents.com/2012/05/31/7-activities-to-improve-the-attention-span-of-your-children/ pada 2/9/2015
  4. How Can I Help My Child Develop Listening and Attention? Peroleh dari  http://www.coventrychildrensslt.co.uk/pages/attention-and-listening.html pada 2/9/2015
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurbaiti bt. Mohamad Adli
Akreditor : Fairus bt. Mukhtar
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Autisme : Adakah Anak Saya Boleh Normal?

Kanak-kanak autisme pada tahap ringan berpeluang untuk mencapai tahap perkembangan normal seperti kanak-kanak lain sekiranya mendapat rawatan multidisiplin seawal usia dua (2) hingga tiga (3) tahun.

Sembelit

Sembelit ialah keadaan dimana kekerapan membuang air besar menjadi kurang atau kesukaran membuang air besar diikuti dengan najis yang keras.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,494

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia