A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiologi
  6. /
  7. Kaedah Pemeriksaan
  8. /
  9. PENGIMEJAN RESONANS MAGNETIK (MRI)

PENGIMEJAN RESONANS MAGNETIK (MRI)

Apa Itu MRI?

Pengimejan resonans magnetik (MRI) adalah pemeriksaan yang menggunakan medan magnet dan gelombang radio untuk menghasilkan gambaran imej organ dan struktur dalam badan. Bahagian badan yang diperiksa diletakkan ke dalam mesin khas yang mengandungi magnet yang kuat. Pemeriksaan tidak menggunakan radiasi (X-ray) dan tidak invasif. Pemeriksaan dilakukan oleh Juru X-ray. Imej ditafsirkan oleh pakar radiologi.

Peralatan MRI

Pengimbas MRI adalah alat bermagnet yang kuat dan besar dan pesakit berbaring di dalamnya. Mesin MRI menggunakan magnet yang besar dan komputer untuk mengambil gambar bahagian dalam badan pesakit. Pesakit akan berada di atas meja yang boleh digerakkan ke bahagian tengah magnet. Gambar bahagian badan diambil semasa pemeriksaan dilakukan. Imej dari imbasan MRI adalah imej digital yang boleh disimpan dalam komputer. Imej tersebut boleh dilihat semula pada monitor komputer dan dicetak pada filem.

Sesetengah unit MRI direka supaya magnet tidak mengelilingi pesakit sepenuhnya. Pengimbas jenis ini dikenali sebagai short-bore system. Terdapat juga pengimbas yang terbuka pada bahagian sisi (MRI Terbuka). Unit pengimbas seperti ini sesuai digunakan untuk pesakit yang berasa takut apabila berada di ruang yang tertutup dan pesakit yang sangat gemuk.

 

mri_1Rajah 1: Pengimbas biasa (tertutup)

Sumber: www.nickdoeshockey.com

mri_2Rajah 2: Pengimbas Terbuka

Sumber: www.weissandnewberrymds.com

Pemeriksaan MRI

Pesakit akan diletakkan di bahagian berbentuk silinder yang besar yang mengadungi magnet. Apabila pesakit berbaring di atas meja pengimbas , Juru X-ray akan meletakkan gegelung pengimejan di bahagian badan yang sedang diperiksa.

Pemeriksaan biasanya mengambil masa lebih kurang 30 hingga 60 minit bergantung kepada bahagian badan yang diperiksa.

Pemeriksaan MRI Yang Umum

MRI dilakukan untuk pelbagai tujuan. Ia digunakan untuk mengesan masalah seperti tumor, pendarahan, kecederaan, penyakit saluran darah atau jangkitan penyakit.

MRI juga dilakukan bagi memperoleh lebih banyak maklumat mengenai masalah yang dikesan melalui pemeriksaan radiologi yang lain. Pemeriksaan MRI biasanya dilakukan pada bahagian badan berikut:

  • Kepala
  • Dada
  • Saluran darah
  • Abdomen dan pelvis
  • Tulang dan sendi
  • Tulang spina

Persediaan Untuk Pemeriksaan MRI

Sebelum pemeriksaan

Sebelum pemeriksaan, sila maklumkan kepada doktor dan Juru X-ray jika anda:

  • alah kepada ubat-ubatan tertentu.
  • hamil atau disyaki hamil. Pemeriksaan biasanya tidak dilakukan semasa wanita hamil.
  • mempunyai sebarang implan logam dalam badan. Ini membantu doktor menentukan samada pemeriksaan itu selamat untuk andaatau tidak. Contohnya implan koklea; klip yang digunakan dalam pembedahan otak (aneurisme); perentak jantung; dan sendi tiruan yang diperbuat daripada logam. Magnet MRI boleh merosakkan alat-alat ini atau mungkin menyebabkan imej MRI kabur.
  • mempunyai alat pencegah kehamilan yang diletakkan di dalam rahim (Intrauterine Device – IUD). IUD dengan logam boleh menyukarkan doktor melihat imej rahim dengan jelas.

Semasa pemeriksaan

  • Anda perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak hospital dan menanggalkan semua logam dan objek elektronik.
  • Logam dan objek elektronik tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bilik pemeriksaan kerana boleh mengganggu medan magnet mesin pengimbas .
  • Tanggalkan barang kemas termasuk cincin, anting-anting, rantai atau jam tangan.
  • Tanggalkan pakaian yang mempunyai cangkuk logam, butang, zip atau sebarang logam lain di badan pesakit seperti berikut:

– kad kredit dan alat pendengaran – alat boleh rosak;

– sepit, sepit rambut dan barang logam lain – imej boleh menjadi kabur;

– pendakap gigi yang boleh ditanggalkan;

– pen, pisau kecil, dan cermin mata.

  • Pesakit perlu menyimpan peralatan yang ditanggalkan ke dalam almari yang disediakan.
  • Juru X-ray akan membantu anda berbaring di atas meja yang akan digerakkan ke tengah medan magnet. Bagi memastikan kedudukan bahagian badan yang diperiksa tidak bergerak, tali pengikat akan digunakan.
  • Anda perlu berbaring selama beberapa saat hingga beberapa minit ketika imej sedangt dirakamkan (kedengaran bunyi hentakan). Anda boleh bernafas seperti biasa ketika ini. Bagi sesetengah kes, anda dibenarkan bergerak sedikit di antara imbasan tetapi jangan sampai kedudukan anda  berubah.
  • Kadangkala pewarna atau media kontras disuntik ke dalam vena di tangan atau lengan anda agar imej tisu atau saluran darah tertentu dapat dilihat dengan lebih jelas.

Keputusan MRI

Selepas imbasan MRI selesai, komputer menghasilkan imej visual bagi bahagian badan yang telah diimbas. Imej ini ditafsirkan oleh Pakar Radiologi dalam bentuk laporan radiologi. Laporan dan imej MRI diserahkan kepada doktor yang merawat pesakit. Doktor akan membincangkan keputusan pemeriksaan MRI dengan pesakit dan/atau keluarga pesakit.

Pengalaman Menjalani Pemeriksaan MRI

Pemeriksaan MRI tidak menyakitkan. Walau bagaimanapun, sesetengah pesakit berasa tidak selesa untuk berada dalam kedudukan yang sama sepanjang tempoh pemeriksaan MRI dilakukan. Sesetengah pesakit mengalami klaustrofobia, iaitu ketakutan apabila berada di tempat yang tertutup.

Selain itu, bahagian badan pesakit yang diimbas akan berasa sedikit panas. Sekiranya anda rasa terganggu dengan rasa panas ini, maklumkan kepada pakar radiologi atau Juru X-ray dengan menekan buzer (pendengung). Buzer diberi kepada pesakit pada permulaan peperiksaan. Pesakit boleh bercakap terus dengan pakar radiologi dan Juru X-ray kerana mereka boleh melihat, mendengar dan bercakap dengan anda sepanjang tempoh pemeriksaan MRI menggunakan interkom dua hala.

 

Semakan Akhir : 12 Mei 2016
Penterjemah : Noorhayati binti Kassim
Akreditor : Daud bin Ismail

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,820

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia