A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Keperluan Kanak-kanak Khas
  6. /
  7. Pengendalian Kanak-kanak Cerebral Palsy

Pengendalian Kanak-kanak Cerebral Palsy

Apa itu Cerebral Palsy (CP)?

Merupakan satu kondisi yang berlaku akibat kerosakan otak yang terjadi semasa di dalam kandungan, semasa lahir atau selepas kelahiran. Kebolehan mengawal pergerakan otot yang terjejas menyebabkan kesukaran mengawal postur, pergerakan & mengimbangkan diri. Kanak-kanak cerebral palsy mempunyai peluang yang terhad untuk bermain, meneroka persekitaran dan berfungsi akibat masalah tersebut.

Kepentingan posisi untuk cerebral palsy

Kanak-kanak cerebral palsy sukar melakukan pergerakan otot yang dikehendaki untuk memposisikan dan mengekalkan postur badan pada kedudukan yang betul dan ini mendedahkan mereka kepada risiko kecacatan yang berkekalan. Keadaan ini menjadi semakin sukar sekiranya masih terdapat refleks primitif yang sepatutnya sudah tiada pada usia tertentu.

Antara refleks primitif tersebut adalah:

  1. Asymetrical Tonic Neck Reflex

    • Refleks ini bertindak bila kepala dipusingkan. Tonus otot ektensor (penegak) di bahagian di mana arah kepala dipusingkan meningkat sementara di bahagian yang berlawanan tonus otot fleksor (pembengkok). Kewujudan reflex ini melepasi usia 4-6 bulan adalah tidak normal dan mengganggu perkembangan untuk berpusing, integrasi bilateral, mencapai dan menggenggam.

      Ilustrasi 1. Kanak-kanak sedang mengalami tindak balas asymetrical tonic neck reflex

  2. Symetrical Tonic Neck Reflex

    • Refleks ini bertindak bila kepala di bengkok atau ditegakkan. Bahagian atas badan akan membengkok sementara anggota bawah akan menegak. Kewujudan refleks ini melepasi usia 4-6 bulan akan mengganggu perkembangan menyusur, merangkak, berjalan dan kefungsian anggota atas.

      Ilustrasi 2. Kanak-kanak sedang mengalami tindakbalas symetrical tonic neck reflex

  3. Tonic Labyrinthine Reflex

    • Bila terlentang, kepala menegak dan seluruh badan menjadi lebih keras dalam keadaan menegak, bila meniarap badan menjadi lebih keras dalam posisi membengkok. Jika refleks ini berterusan melepasi usia 4-6 bulan, ia akan mengganggu perkembangan berpusing, menyusur dan bangun dari posisi duduk.

       

      Ilustrasi 3. Kanak-kanak sedang mengalami tindakbalastonic labyrinthine reflex

  4. Moro Reflex

    • Bila kepala didongakkan, lengan menegak, terbuka dan terpusing ke luar, diikuti dengan postur membengkok. Jika refleks ini berterusan melepasi usia 4-6 bulan, ia akan mengganggu perkembangan kawalan kepala dan imbang diri semasa duduk.

      Ilustrasi 4. Kanak-kanak sedang mengalami tindakbalas moro reflex

Posisi yang betul bagi kanak-kanak cerebral palsy penting untuk:

  • Memudahkan dan menggalakan kefungsian anggota

  • Merencatkan tindakbalas refleks ke atas tonus otot.

  • Mengurangkan risiko kecacatan

  • Mengelakkan kudis tekanan

  • Memudahkan pergerakan yang normal & merencat pergerakan tidak normal

  • Memberikan keselesaan

  • Mengelakkan kontraksi yang tidak dikehendaki pada otot

  • Menjimatkan tenaga

Cerebral Palsy dan Pemulihan Carakerja

Intervensi Pemulihan Carakerja bagi kanak-kanak cerebral palsy bermula sebaik sahaja kelewatan perkembangan dikesan. Perkembangan kanak-kanak cerebral palsy dilihat dari 4 aspek iaitu:

  • Perkembangan pergerakan halus iaitu kebolehan kefungsian tangan untuk mencapai, memegang dan bermain.

  • Perkembangan pergerakan kasar seperti duduk, bangun, berjalan.

  • Perkembangan personal-sosial seperti berinteraksi dan melakukan aktiviti harian.

  • Perkembangan bahasa dan percakapan.

Intervensi yang diberi adalah:

  1. Program intervensi awal, iaitu bagi kanak-kanak berusia 0-24 bulan (Early Intervention Program)

    • Posisi mengelakkan kecatatan semasa baring, duduk,di dukung.

    • Posisi memudahkan kefungsian semasa melakukan aktiviti.

    • Rangsangan oral untuk yang mengalami masalah menyedut/menelan dan air liur meleleh.

    • Rangsangan perkembangan motor kasar menggunakan aktiviti permainan terapeutik.

    • Ransangan atau diet sensori bagi kanak-kanak yang mengalami masalah memproses input sensori yang diterima. Masalah ini dipamerkan dengan keengganan menggunakan tangan untuk memegang, mencapai atau terlalu sensitif terhadap sensori tertentu.

    • Aplikasi alat-alat ortosis ke atas anggota untuk mengelakan kecacatan sendi dan memudahkan kefungsian.

  1. Latihan aktiviti kehidupan harian

    • Teknik khusus diajar untuk melatih kanak-kanak berdikari menjalankan aktiviti harian dan penjagaan diri seperti memakai pakaian, makan/minum dan membersihkan diri.

  1. Latihan kefungsian tangan

    • Diberi untuk kanak-kanak yang mengalami masalah menggunakan tangan untuk memegang barang/permainan, menjalankan aktiviti harian dan menulis.

  1. Lawatan rumah dan sekolah

    • Dilakukan untuk menilai tahap kefungsian dan adaptasi kanak-kanak dalam konteks sebenar di mana cadangan pengubahsuaian persekitaran dan aktiviti diberikan untuk menghasilkan suasana harian yang merangsang perkembangan dan kefungsian.

  1. Cadangan alat bantuan dan pengubahsuaian

    • Alat-alat bantuan diperlukan bagi sebahagian besar kanak-kanak cerebral palsy untuk membolehkan mereka berada di dalam postur yang betul. Membiarkan mereka berada pada postur yang tidak betul secara berpanjangan boleh menyebabkan kecacatan tulang belakang, dislokasi/sublaksasi sendi pinggul, kependekan otot dan kekejangan sendi.

Pertubuhan dan Sokongan untuk Cerebral Palsy

Terdapat banyak agensi kerajaan dan NGO yang memberi perkhidmatan penjagaan, pembelajaran dan pemulihan kepada kanak-kanak Cerebral Palsy di Malaysia:

  1. Pusat-pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) yang terdapat diserata Malaysia. Hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat setempat untuk maklumat lanjut.

  2. The Cerebral Palsy (Spastic) Children’s Association of Penang, 425, Jalan Masjid Negeri, 11600 Penang, Malaysia.

  3. Spastic Children’s Association of Johor, 138, Jalan Dato Menteri, 80100 Johor Bahru. Email: spasticjohor@yahoo.com

  4. Spastic Children Association of Selangor and Federal Territory (SCASFT), 14, Lorong Utara, PO Box 48,46700, Petaling Jaya

  5. Persatuan Kebajikan Bagi Kanak-Kanak Cerebral Palsy Perak (Cerebral Palsy Children Welfare Association Of Perak), C/O Kpmg, C-1-3,1st. Floor, No.2, Persiaran Greentown 3, Greentown Business Centre, Ipoh, 30460, Kinta, Perak

  6. Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) Jalan Padang Tembak, 16100 Kota Bharu, Kelantan.

 

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Zainudin bin Sattar
Akreditor : Kang Bee Lee
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,053,233

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia