A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Bantuan Kepada Pesakit Katarak

Bantuan Kepada Pesakit Katarak

Pengenalan

Katarak merupakan suatu keadaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Keadaan ini boleh diumpamakan seperti tingkap yang sebahagiannya diselaputi kotoran dan menyebabkan gangguan penglihatan.

Sekiranya sedikit sahaja penglihatan terjejas, pembedahan tidak perlu dilakukan tetapi hanya perlu menukar preskripsi cermin mata untuk membantu pesakit melihat dengan lebih baik untuk sementara waktu. Tiada ubat-ubatan, ubat titis mata, senaman atau cermin mata yang boleh mengubati katarak dan hanya dengan kaedah pembedahan sahaja penyakit ini boleh dirawat.

Bila Disyorkan Untuk Pembedahan

Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang berselaput dikeluarkan dari mata. Dalam kebanyakan kes, kanta yang asli ini akan digantikan dengan implan kanta intraokular yang kekal.

Rawatan pembedahan ganti kanta disyorkan bila:

  1. Bila pandangan tidak lagi boleh dibetulkan dengan cermin mata.
  2. Kegiatan / aktiviti (kerja, hobi, aktiviti harian dan lain-lain) pesakit mula terganggu disebabkan gangguan pandangan akibat katarak.
  3. Untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan yang memerlukan media yang lutsinar, seperti kes-kes glaukoma, uveitis, rawatan laser dan saringan retinopati kencing manis.

Jenis implan kanta intraocular yang dipilih bergantung kepada banyak faktor seperti sejarah kesihatan pesakit, kuasa kanta yang dikira dan juga jenis pembedahan yang akan dijalankan.

Jenis-Jenis Bantuan Yang Disediakan

Pegawai Kerja Sosial Perubatan bertugas di hospital untuk membantu semua pesakit daripada pelbagai aspek. Perkhidmatan yang disediakan adalah berbentuk bantuan praktik.

Kebanyakan pesakit yang dirujuk oleh Jabatan Oftalmologi dibantu dalam urusan berikut:

  1. Bantuan implan kanta intraocular
  2. Bantuan mata palsu
  3. Bantuan alat-alat lain seperti Ahmed Valve
  4. Bantuan kewangan untuk saraan dan tambang

Sumber-Sumber Bantuan

Pesakit yang dikenalpasti memerlukan bantuan implan kanta intraocular akan dinilai kelayakan mereka dan agensi bantuan yang sesuai akan dikenalpasti. Sebagai usaha membantu pesakit, Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mendapatkan bantuan daripada beberapa sumber. Sumber-sumber bantuan yang boleh diperolehi adalah seperti berikut:

1. Tabung Bantuan Perubatan (TBP), Kementerian Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui TBP menyediakan bantuan kanta mata kepada pesakit. Bantuan ini diuruskan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan berdasarkan kriteria dan kelayakan yang ditetapkan oleh TBP.

2. Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM)

TKPM merupakan tabung yang dikelolakan oleh Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia. TKPM menjadi penyumbang utama bantuan kewangan sama ada bantuan sara hidup / tambang / pembelian peralatan perubatan di hospital-hospital yang mempunyai Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

3. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Pesakit yang terdiri daripada klien Jabatan Kebajikan Masyarakat layak memohon bantuan daripada JKM. Rujukan ke JKM diuruskan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

4. Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Selain daripada agensi yang disebut di atas, bantuan juga boleh disalurkan kepada NGO seperti Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi kes pesakit kanser (masalah penglihatan disebabkan oleh penyakit kanser) atau NGO-NGO lain seperti Rotary Club, Lions Club dan sebagainya.

5. Majlis Agama Islam Negeri

Kebanyakan Majlis Agama Islam Negeri menyediakan bantuan khas kanta mata secara percuma kepada pesakit-pesakit beragama Islam yang merupakan asnaf layak menerima zakat. Kelayakan bantuan adalah berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

Nota: Bagi pesakit dari kalangan kakitangan kerajaan atau pesara atau anggota keluarga yang layak, mereka mendapat faedah perubatan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2001, Pelaksanaan Kemudahan Perubatan (JPA).

Kesimpulan

Mata merupakan organ yang perlu dijaga dan diberi perhatian oleh setiap orang. Masalah pada penglihatan akan memberi kesan yang nyata kepada pesakit dan secara tidak langsung akan mempengaruhi corak kehidupan pesakit berkenaan. Walau bagaimanapun, mencegah itu lebih baik dari mengubati. Mengikut kajian, 80% kebutaan di seluruh dunia sebenarnya boleh dicegah dan dirawat. Sebagai contoh, kebutaan yang disebabkan oleh katarak boleh dielakkan sekiranya penyakit itu dikesan dan dirawat awal sebelum pesakit itu buta. Peranan yang dimainkan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan sangat memberi makna yang besar kepada pesakit dengan mendapatkan bantuan yang berkaitan kepada mereka. Peranan ini secara tidak langsung dapat mengubah dan mengembalikan kefungsian sosial mereka dalam komuniti.

Rujukan

  1. Garis Panduan Laporan Sosio Ekonomi Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. Garis Panduan Tabung Bantuan Perubatan (TBP), Kementerian Kesihatan Malaysia
  3. Garis Panduan Perbelanjaan Kewangan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM)
  4. https://www.slideshare.net/puspitasari_whardani/katarak-60011107
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Zailawati Binti Mamat
Akreditor : En. Abd Halim Bin Jamil

Artikel Berkaitan

Glomerulonephritis

Definisi Glomerulonephritis dikalangan kanak-kanak ialah sejenis penyakit yang mengganggu fungsi

PEMERIKSAAN X-RAY BONE AGE

Pemeriksaan X-ray Bone Age adalah salah satu kajian yang dilakukan untuk mengkaji umur tulang bagi membantu doktor menganggar kematangan sistem rangka atau tulang kanak-kanak. Pemeriksaan ini biasanya dilakukan dengan mengambil X-ray disebelah kiri pergelangan tangan, tangan dan jari.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,403

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia