A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Aplians Boleh Tanggal

Aplians Boleh Tanggal adalah salah satu jenis aplians yang digunakan dalam rawatan ortodontik selain daripada aplians tetap, aplians fungsi dan alat ekstra-oral.

Aplians Boleh Tanggal adalah salah satu jenis aplians yang digunakan dalam rawatan ortodontik selain daripada aplians tetap, aplians fungsi dan alat ekstra-oral.  Pada masa sekarang, penggunaan Aplians Boleh Tanggal adalah terhad kepada kes-kes tertentu memandangkan kesannya sukar untuk dijangkakan mendapat hasil rawatan yang memuaskan.

 
Gambarajah 1a:  Sebelum rawatan
 
Gambarajah 1b:  Selepas rawatan

Gambarajah 1: Gigitan yang tidak betul dirawat dengan Aplians Boleh Tanggal

Apakah Aplians Boleh Tanggal?

Aplians Boleh Tanggal (juga dikenali sebagai Pendakap gigi boleh Tanggal/plat boleh tanggal) adalah sejenis aplians yang tidak melekat secara terus dengan gigi dan boleh ditanggalkan oleh pesakit untuk tujuan pembersihan. Ia biasanya digunakan untuk membetulkan masalah gigitan. Ianya juga dapat digunakan sebagai alat pengekal/penyenggara ruang (space maintainer) jika gigi susu terpaksa dicabut awal akibat kerosakan gigi. Selain itu, ia juga boleh digunakan bersama-sama dengan aplians tetap dan Headgear. Walau bagaimanapun, Aplians Boleh Tanggal tidak boleh dapat menggerakkan gigi secara kompleks.

Aplians Boleh tanggal biasanya dipasang pada rahang atas dan ia terdiri daripada plat akrilik (plastik) dan komponen-komponen wayar yang berfungsi untuk menggerakkan gigi dan sebagai pemegang (Gambarajah 2).

Aplians Boleh Tanggal untuk rahang bawah jarang digunakan memandangkan sukar untuk pesakit memakainya kerana aplians tersebut akan mengganggu ruangan lidah. Selain daripada itu, Aplians Boleh Tanggal bagi rahang bawah tidak dapat melekat dengan baik jika dibandingkan dengan aplians bagi rahang atas.


Gambarajah 2: Aplians Boleh Tanggal di dalam mulut

Bagaimana Aplians Boleh Tanggal Berfungsi?

Aplians Boleh Tanggal bertindak dengan menggerakkan/menyendengkan korona gigi-gigi yang akan digerakkan (Gambarajah 3). Ini dapat dilakukan dengan menggunakan pelbagai bentuk rekaan spring bagi menggerakkan gigi ke tempat yang dikehendaki (Gambarajah 4).

Aplians Boleh Tanggal bagi rahang atas juga boleh digunakan untuk mengembangkan rahang atas. Pesakit akan diarahkan untuk memutarkan skru yang terdapat pada Aplians Boleh Tangal tersebut (Gambarajah 4).

 
Gambarajah 3
 
Gambarajah 4

Gambarajah 3: Penyendengan gigi pada titik fulkrum (titik merah) yang terletak di tengah gigi

Gambarajah 4: Skru Pengembangan di tengah Aplians Boleh Tanggal atas

Apakah kebaikan dan keburukan Aplians Boleh Tanggal?

Secara umumnya, aplians jenis ini senang dibersihkan kerana ia boleh ditanggalkan oleh pesakit. Ia juga boleh ditanggalkan oleh pesakit semasa bersukan dan aktiviti sosial, oleh itu ia mempunyai tahap penerimaan yang tinggi oleh pesakit. Selain daripada itu, Aplians Boleh Tanggal adalah lebih murah jika dibandingkan dengan Aplians Tetap.

Keburukan Aplians Boleh Tanggal adalah ia memerlukan kerjasama yang baik daripada seseorang pesakit, sekiranya pesakit tidak memberi kerjasama yang baik, rawatan mungkin tidak berjaya. Penggunaan Aplians Boleh Tanggal melibatkan sendengan (tilting) gigi sahaja , oleh itu penggunaannya adalah terhad. Aplians ini juga boleh menjejaskan pertuturan terutamanya apabila aplians ini longgar.

Bolehkah saya makan seperti biasa?

Ya, anda masih boleh makan seperti biasa selepas Aplians Boleh Tanggal dipasang. Adalah penting untuk memastikan aplians sentiasa dipakai walaupun semasa makan dan hanya ditanggalkan untuk dicuci selepas makan. Walau bagaimanapun, makanan atau minuman bergula perlu dikurangkan atau dielakkan di antara waktu makan kerana makanan yang terlekat di celah-celah komponen aplians boleh menyebabkan kerosakan pada gigi. Makanan keras dan melekit seperti buah epal dan bar coklat perlu dielakkan kerana ia boleh merosakkan aplians.

Adakah saya akan merasa sakit semasa memakai alat ini?

Anda mungkin akan merasa tidak selesa dan ketat dalam tempoh 3-5 hari selepas aplians anda diaktifkan pada setiap lawatan. Ia akan beransur baik selepas beberapa hari anda memakai aplians tersebut. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk meneruskan pemakaian aplians kerana rasa ketidakselesaan tersebut akan berulang 3-5 hari lagi selepas anda memakai aplians semula. Sekiranya rasa ketidakselesaan semasa memakai aplians tersebut berlarutan, anda tidak perlu memakai aplians   dan beritahu masalah anda kepada doktor.

Bagaimana memberus gigi?

Anda perlu memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida. Adalah penting juga untuk anda sentiasa membawa berus gigi dan bersihkan aplians anda setiap kali selepas makan.Keluarkan aplians anda dan berus dengan menggunakan sedikit ubat gigi di sinki yang dipenuhi dengan air. Berus sehingga bersih dan berhati-hati semasa memberus agar tidak merosakkan dawai-dawai pada aplians.

Berapa lama tempoh rawatan?

Biasanya Aplians Boleh Tanggal perlu dipakai dalam tempoh 6-9 bulan untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, sekiranya pesakit tidak memberi kerjasama yang baik atau aplians patah, tempoh rawatan akan menjadi lebih panjang.

Bolehkah saya bersukan semasa aplians berada di dalam mulut?

Anda perlu menanggalkan aplians anda semasa bersukan atau berenang dan simpan dalam kotak simpanan. Jangan letakkan aplians anda di dalam poket bagi mengelakkan kerosakan. Pelindung gusi (gumshield) perlu dipakai semasa bersukan untuk melindungi gigi dan gusi.

Apakah perlu dilakukan sekiranya aplians patah atau hilang?

Anda perlu menghubungi klinik ortodontik untuk mendapatkan temujanji secepat mungkin untuk bagi membolehkan perkembangan rawatan berjalan lancar. Anda mungkin dikenakan bayaran di atas sebarang kos pembaikan dan penggantian aplians.

Berapa kerap saya perlu berjumpa Pakar Ortodontik selepas Aplians Boleh Tanggal dipasang?

Anda akan diberi temujanji setiap 4-6 minggu semasa rawatan dan Pakar Ortodontik akan membuat pengaktifan dan pengubahsuaian yang sepatutnya. Adalah amat penting untuk hadir pada setiap kali temujanji yang diberi.

Kesimpulan

Penggunaan Aplians Boleh Tanggal adalah terhad dalam bidang ortodontik tetapi ia adalah salah satu cara rawatan yang mudah dan murah dalam kes-kes terpilih.

Rujukan

  1. Ward S & Read MJ (2004). The contemporary use of removable orthodontic appliances. Dent Update 31(4): 215-28.
  2. British Orthodontic Society Patient Information Leaflet on Removable Appliances.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Yeoh Chew Kit
Penterjemah : Dr. Sharihan bt. Khashim
Akreditor : Dr. Ruslan b. Dato’ Sulaiman
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

Kesan – Kesan Rawatan Ortodontik

Rawatan Ortodontik merupakan rawatan yang diberikan bagi membetulkan ketidakaturan susunan gigi dengan menggunakan aplian tetap dan/atau aplian boleh tanggal

Perkhidmatan Ortodontik di KKM

Ortodontik adalah satu cabang kepakaran pergigian yang mengendali dan merawat pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kedudukan atau susunan gigi yang tidak betul.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,435,969

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia