A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Lelaki

Anda boleh membuat beberapa ujian atau saringan untuk mengetahui adakah anda sihat atau tidak

Adakah saya sihat?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya sekadar bebas dari segala penyakit atau ketidakupayaan. Anda boleh membuat beberapa ujian atau saringan untuk mengetahui adakah anda sihat atau tidak.

Apakah itu ujian saringan?

Ujian saringan adalah ujian atau penilaian untuk mengesan awal penyakit atau keadaan luarbiasa bagi memudahkan rawatan.

Sebagai contoh, jika kita dapat mengesan lebih awal penyakit darah tinggi atau kencing manis, kita boleh mengawal keadaan tersebut untuk mengelakkan komplikasi seperti angin ahmar dan serangan penyakit jantung.

Untuk menilai kesihatan fizikal, anda dinasihatkan untuk membuat ujian saringan berikut di klinik kesihatan:

  • Kegemukan (Obesiti)
  • Tekanan Darah Tinggi
  • Kencing Manis
  • Paras kolesterol dalam darah

Mengapakah saya harus membuat ujian saringan untuk keadaan tersebut?

Penyakit jantung, angin ahmar dan kanser (barah) adalah faktor utama kemasukan ke hospital dan kematian.

Kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko yang utama untuk penyakit jantung dan angin ahmar. Mengawal keadaan tersebut boleh mengelakkan atau mengurangkan kadar kejadian serangan jantung dan angin ahmar.

Sejarah keluarga dengan penyakit kanser, merokok dan kegemukan adalah antara faktor risiko untuk kanser. Mengelak atau mengawal faktor risiko seperti merokok dan kegemukan dapat mengurangkan risiko kejadian kanser. Saringan awal kanser dapat mengesan penyakit lebih awal dan rawatan awal.

Bagaimana untuk membuat ujian saringan?

Keadaan Apa yang perlu dibuat/ujian yang dijalankan
Kegemukan Berat dan tinggi untuk mengira Indek Jisim Badan (IJB)
Tekanan darah tinggi Tekanan darah
Kencing manis Paras gula dalam darah
Kolesterol yang tinggi Paras kolesterol dalam darah
Kanser kolorektal Ujian najis untuk mengesan darah tersembunyi (FOBT) / sigmordoscopy / colonoscopy

Bilakah saya perlu membuat ujian saringan?

Anda digalakkan mengikut panduan di bawah:

Ujian

  1. Berat dan tinggi untuk IJB
    Sekurang-kurangnya 6 bulan sekali (mula saringan pada umur 20 tahun).
  2. Tekanan darah
    Sekurang-kurangnya 1 tahun sekali (mula saringan pada umur 20 tahun).
  3. Paras gula dalam darah
    1. Bagi mereka yang berisiko tinggi, lakukan saringan setahun sekali sebelum umur 30 tahun
    2. Bagi mereka yang tiada faktor risiko, saringan bermula pada umur 30 tahun dan setiap tahun
  4. FOBT
    Setahun sekali, bermula dari umur 50 tahun hingga 75 tahun untuk mereka yang berisiko rendah. Ulang ujian sethun sekali jika keputusan normal.
  5. Kolonoskopi
    Kaedah saringan untuk mereka berisiko sederhana dan tinggi. Jika keputusan normal, ulang ujian antara 3 hingga 10 tahun bergantung kepda tahap risiko.

Dimanakah saya boleh mendapatkan ujian tersebut?

Semua klinik kesihatan kerajaan, klinik swasta, hospital swasta dan makmal swasta menyediakan ujian tersebut.

Siapakah yang perlu saya rujuk sekiranya ujian saya luarbiasa?

Jumpa doktor di premis kesihatan yang berdekatan.

Apakah yang harus saya buat lagi untuk memastikan saya sentiasa sihat?

  • Makan secara sihat – Pelbagaikan pemilihan makanan. Makan mengikut keperluan aktiviti fizikal anda.
  • Sentiasa aktif– Sentiasa aktif setiap hari. Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu (tahap senaman intensity moderate). Ia dapat mengekalkan IJB dan meningkatkan tahap kecergasan.
  • Tidak merokok – Merokok boleh merosakkan paru-paru dan menambah risiko serangan jantung, angin ahmar dan kanser (barah). Sekiranya anda merokok, cuba berhenti. Sila rujuk doktor anda.
  • Menangani tekanan (stres) – Kawal perasaan marah untuk mengurangkan tekanan.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Othman Warijo
    Dr. A. Khalek Abd Rahman
    Ali bin Puteh
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

Hipertensi

Darah tinggi atau hipertensi adalah satu keadaan apabila tekanan darah anda sentiasa tinggi dari keadaan biasa.

Kanser Kolorektal

Kanser kolorektal atau kanser usus besar adalah kanser yang berlaku di bahagian kolon atau rektum. Kolon adalah usus besar manakala rektum adalah bahagian yang menghubungkan kolon dan dubur.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,307

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia