A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Fisioterapi
  6. /
  7. Warga Emas
  8. /
  9. Pengurusan Fisioterapi Bagi Penggantian...

Pengurusan Fisioterapi Bagi Penggantian Sendi Lutut

Total Knee Replacement merupakan pembedahan menggantikan lutut yang telah rosak dengan lutut buatan.

Pengenalan

Total Knee Replacement merupakan pembedahan menggantikan lutut yang telah rosak dengan lutut buatan.

ganti-sendi-lutut1 ganti-sendi-lutut2

(Sumber: http://www.adameducation.com/  & 2004 MedicineNet. Inc)

Selepas PembedahanPenggantian sendi lutut sebegini biasanya disyorkan oleh Pakar Ortopedik kepada pesakit yang lututnya mengalami kerosakan yang teruk, sehingga bermasalah menjalankan aktiviti hariannya.

Selepas pembedahan Total Knee Replacement, anda akan mengalami :-

  1. Kesakitan pada lutut yang dibedah
  2. Kesukaran bergerak tanpa bantuan

Kesemua ini hanya sementara. Rawatan fisioterapi amat penting selepas pembedahan anda. Pakar Ortopedik akan merujuk anda kepada Fisioterapis selepas pembedahan yang anda jalani.

Anda perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada fisioterapis agar proses pemulihan anda mencapai kesan maksimanya.

Komplikasi

Masalah berikut mungkin timbul sekiranya anda tidak bersungguh-sungguh dengan terapi senaman anda :-

  1. Deep Vein Thrombosis

  Darah beku dalam salur darah di dalam betis anda. Keadaan ini berbahaya sekiranya darah beku itu bergerak ke paru-paru.

  1. Sendi lutut menjadi kaku dan tidak dapat digerakkan

 Masalah ini timbul sekiranya anda tidak melakukan senaman seperti mana dinasihatkan oleh fisioterapis anda.

Anda mampu mengurangkan risiko berlakunya komplikasi darah beku dan sendi lutut kaku. Anda perlu mula bergerak secepat mungkin selepas pembedahan walaupun anda masih mengalami kesakitan. Anda akan diberi ubat penahan sakit. Gerak secara perlahan-lahan dan kerap. Fisioterapis akan membantu sepanjang proses pemulihan anda.

Rawatan

1. Rawatan Fisioterapi Dalam Wad (Sebaik selepas pembedahan) :-

Anda boleh memulakan senaman anda sebaik sahaja anda tiba di wad sesudah pembedahan. Anda akan mengalami kesakitan pada permulaannya tetapi senaman ini akan membantu mengurangkan kesakitan selepas pembedahan.

Mulakan dengan senaman berikut :-

(a) Senaman otot peha-kuadriseps

Keraskan otot peha anda. Cuba luruskan lutut anda. Tahan selama 5-10 saat. Ulang senaman ini sebanyak 10 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga.

(b) Senaman meningkatkan aliran darah (sirkulatori) 

senaman-ganti-sendi-lutut1

Gerakkan tapak kaki anda ke atas dan ke bawah berulang kali selama 2-3 minit. Ulang setiap jam.

Teruskan senaman ini sehingga semua bengkak pada betis dan pergelangan kaki anda surut.

(c) Senaman meluruskan lutut

senaman-ganti-sendi-lutut2

Gulung satu tuala kecil dan letakkan di bawah tumit anda.

Keraskan otot peha anda sambil cuba meluruskan lutut anda sepenuhnya. Tahan selama 5-10 saat. Ulang 10 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga.

(d) Senaman membengkokkan lutut 

senaman-ganti-sendi-lutut3

Anda perlu mula bengkokkan lutut anda secepat mungkin.

Perlahan-lahan bengkokkan lutut anda sambil seret tumit anda atas katil. Biarkan kaki anda dalam kedudukan bengkok dan tahan selama 5-10 saat sebelum anda luruskannya semula. Ulang 20 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga.

Biasanya fisioterapis akan bantu anda duduk pada hari selepas pembedahan. Anda akan diajar melakukan senaman dalam keadaan duduk dan anda juga akan dibantu berjalan menggunakan tongkat.

(e) Senaman lutut dalam duduk

senaman-ganti-sendi-lutut4

Sokong kaki yang sakit menggunakan kaki yang satu lagi. Perlahan-lahan bengkokkan lutut anda sebanyak yang boleh. Tahan dalam kedudukan bengkok selama 5-10 saat. Ulang 10 kali atau sehingga lutut boleh dibengkok 90o.

(f) Berjalan 

senaman-ganti-sendi-lutut5

Anda akan dibawa berjalan menggunakan tongkat apabila dibenarkan oleh pakar bedah anda.

Bila keadaan anda semakin pulih anda akan dilatih berjalan seperti biasa oleh fisioterapis anda.

(Sumber gambar: http://orthoinfo.aaos.org)

3. Rawatan Fisioterapi Selepas Discaj (Senaman Lanjutan) :-

Selepas anda discaj dari wad, anda perlu berulang ke hospital untuk rehabilitasi yang lebih menyeluruh. Ini adalah untuk memastikan anda pulih sepenuhnya dan kembali aktif.

Anda akan menjalani latihan kekuatan dan keseimbangan secara berperingkat. Pemulihan sepenuhnya mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Pastikan anda mendapat khidmat nasihat fisioterapis di hospital terdekat.

Sebahagian besar kejayaan pembedahan penggantian sendi lutut ini bergantung kepada kesungguhan anda semasa fasa rehabilitasi. Pastikan anda tekun mengamalkan semua senaman yang dinasihatkan oleh fisioterapis anda.

Rujukan

  1. http://orthoinfo.aaos.org
  2. http://www.medicinenet.com/total_knee_replacement
  3. http://www.mayoclinic.org/tests-procedures/knee-replacement/
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Nurul Liyana Teong 
Akreditor : Daaljit Singh a/l Harbachan Singh 
Penyemak : Halimah bt. Hashim

 

Artikel Berkaitan

Meiosis

Meiosis berlaku dalam ovari dan testis, di mana satu sel membahagi sebanyak dua kali bagi menghasilkan empat sel anak yang mengandungi separuh daripada maklumat genetik sel induk. Sel-sel ini adalah sel pembiakan di dalam manusia iaitu sperma bagi lelaki dan ovum bagi wanita.

Tercekik : Rawatan Awal

Tercekik adalah satu keadaan di mana saluran pernafasan ( trachea) tersekat atau tertutup disebabkan oleh sesuatu objek.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,688

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia