A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Prinsip Perlindungan Sinaran

Prinsip Perlindungan Sinaran

Pengenalan

Sinaran mengion adalah radiasi yang mempunyai tenaga kinetik yang cukup untuk mengeluarkan elektron yang terikat ketat dari orbit atom semasa interaksi dengan atom  menyebabkan atom berkenaan menjadi cas atau terion.

Kejadian berkenaan boleh mengubah ikatan kimia dan menghasilkan ion yang reaktif secara kimia. Ini boleh menyebabkan kerosakan kimia dan biologi per unit tenaga sinaran yang besar  kerana ikatan kimia akan musnah dalam proses ini.

Bergantung kepada tahap dedahan, radiasi boleh menimbulkan risiko kesihatan. Ia boleh menjejaskan individu yang terdedah secara langsung serta keturunan mereka. Radiasi boleh menjejaskan sel-sel badan, meningkatkan risiko kanser atau mutasi genetik berbahaya yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang. Jika dos yang cukup tinggi untuk menyebabkan kerosakan tisu yang besar, ia boleh membawa kepada kematian dalam masa beberapa minggu selepas dedahan kepada radiasi berkenaan.

Perlindungan sinaran atau dikenali juga sebagai perlindungan radiologi, adalah sains dan amalan melindungi orang ramai dan alam sekitar daripada kesan berbahaya sinaran mengion. Sinaran mengion digunakan secara meluas dalam bidang perubatan dan industri dan boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang ketara. Kerosakan mikroskopik pada tisu hidup boleh menyebabkan kebakaran kulit dan penyakit radiasi pada dedahan radiasi yang tinggi manakala risiko kanser juga meningkat secara statistiknya pada dedahan radiasi yang rendah.

Objektif Utama Perlindungan  Sinaran 

Objektif perlindungan sinaran adalah untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat radiasi. Sebelum formulasi langkah-langkah tindakan yang sesuai, kita perlu memahami kesan-kesan biologi sinaran mengion.

Kesan biologi daripada radiasi  diklasifikasikan kepada “Kesan Deterministik” dan “Kesan Stokastik”. Bagi Kesan Deterministik, nilai ambang dos terserap wujud di mana dedahan radiasi melebihi nilai berkenaan akan membawa kesan buruk kepada kesihatan seperti katarak, erythema kulit dan kemandulan. Untuk Kesan Stokastik, nilai ambang tidak wujud, tetapi kebarangkalian mempunyai kesan memudaratkan berkadaran dengan dos terserap seperti kanser dan kesan genetik.

Berdasarkan ciri-ciri kesan biologi di atas, tujuan perlindungan sinaran adalah untuk:

  1. mencegah Kesan Deterministik dengan mengekalkan dos di bawah had ambang yang berkaitan; dan
  2. mengurangkan kebarangkalian Kesan Stokastik sebanyak yang munasabah dicapai

Prinsip Perlindungan Sinaran

Mana-mana amalan yang boleh mengakibatkan peningkatan dedahan kepada radiasi harus dirancang dengan teliti selaras dengan tiga prinsip perlindungan radiologi asas seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010. Prinsip-prinsip asas adalah:

  1. Justifikasi amalan – mana-mana amalan yang melibatkan dedahan yang harus munasabah, iaitu ia menghasilkan lebih banyak manfaat kepada individu yang terdedah atau masyarakat daripada bahaya;
  2. Pengoptimuman perlindungan dan keselamatan – magnitud dos individu dan bilangan orang yang terdedah, kecuali untuk dedahan perubatan terapeutik, hendaklah serendah-rendah yang semunasabahnya dapat dicapai, dengan mengambil kira faktor ekonomi dan sosial; dan
  3. Had-dos individu – individu yang terdedah akan tertakluk kepada had dos untuk memastikan bahawa tiada individu yang terdedah kepada risiko radiasi yang dinilai sebagai tidak boleh diterima.

Konsep Asas Perlindungan Sinaran

Terdapat tiga faktor yang mengawal jumlah atau dos yang diterima daripada punca radiasi. Dedahan radiasi boleh diuruskan oleh gabungan faktor-faktor ini:

    1. Masa

      Amaun dedahan radiasi bagi orang atau pekerja akan meningkat atau berkurangan bergantung kepada berapa lama masa berada berhampiran punca radiasi. Mengurangkan masa dedahan akan mengurangkan dos secara berkadaran. Jika masa yang digunakan di lapangan radiasi adalah dua kali ganda, dos pekerja juga adalah dua kali ganda. Oleh itu, untuk menghadkan dos radiasi, masa yang digunakan di lapangan perlu terhad.

      Sebagai contoh untuk mengurangkan dos radiasi adalah dengan mengurangkan masa dedahan melalui meningkatkan latihan pengendali untuk mengurangkan masa yang mereka ambil untuk mengendalikan sumber radiasi.

 

    1. Jarak
      Dos radiasi yang diterima dari punca adalah berkadar songsang dengan kuasa dua jarak pemisahan. Sebagai peraturan, jika anda menggandakan jarak, anda dapat mengurangkan dedahan sebanyak empat kali ganda.
      Faktor jarak boleh semudah mengendalikan punca radiasi dengan forsep bukannya jari.

      Dedahan pada jarak 2 meter

      Dedahan pada jarak 4 meter
      Dedahan individu duduk 4 meter dari punca radiasi adalah 1/4 dedahan individu duduk 2 meter dari punca yang sama

 

  1. Perisai

    Semakin tebal perisai melindungi punca radiasi, dedahan yang diterima lebih kecil. Perisai bermakna mempunyai sesuatu yang akan menyerap sinaran di antara anda dan punca radiasi. Radiasi akan mengecil secara ekponential bila melalui ketebalan perisai. Jumlah perisai diperlukan untuk berlindung adalah bergantung kepada jenis radiasi dan berapa banyak tenaga mereka.


    Jenis radiasi berlainan memerlukan jenis bahan yang berlainan untuk melindungi ia daripada menembusi dan mendedahkan kepada manusia

    ? (Alfa) :  Sekeping nipis bahan ringan, seperti kertas atau sel-sel mati pada lapisan luar kulit manusia menyediakan perlindungan mencukupi kerana zarah alfa tidak dapat menembusinya

    ? (Beta) :    Tambahan perlindung sebagai contoh pakaian yang tebal  adalah perlu untuk melindungi daripada pemancar beta. Sesetengah zarah beta boleh menembusi dan membakar kulit.

    ? (Gama):   Perlindung yang tebal dan tumpat seperti plumbum adalah perlu untuk melindungi daripada sinar gamma. Semakin tinggi tenaga sinar gamma, semakin tebal pumbum diperlukan. Sinar-X juga mempunyai sifat yang sama, jadi juru x-ray sering menyediakan apron plumbum kepada pesakit yang menerima sinar-X perubatan atau pergigian untuk melindungi bahagian lain badan mereka dari terkena radiasi yang tidak diperlukan.

Ringkasan Prinsip-Prinsip Perlindungan Sinaran

  1. Amalan yang melibatkan atau yang boleh melibatkan dedahan kepada radiasi hanya boleh diguna pakai jika ia menghasilkan faedah yang mencukupi kepada individu yang terdedah atau kepada masyarakat tanpa memberi kemudaratan yang berpanjangan.
  2. Dos individu yang diterima disebabkan gabungan dedahan dari semua amalan yang berkaitan tidak boleh melebihi had dos tertentu;
  3. Punca radiasi dan pemasangan perlu disediakan dengan perlindungan sedia ada yang terbaik dan langkah-langkah keselamatan di bawah keadaan semasa supaya magnitud dan kemungkinan dedahan dan bilangan individu yang terdedah menjadi serendah munasabah boleh dicapai dengan mengambil kira faktor ekonomi dan sosial;
  4. Dedahan radiasi yang disebabkan oleh punca radiasi yang bukan sebahagian daripada amalan perlu dikurangkan dengan campur tangan apabila ini adalah wajar, dan langkah-langkah campur tangan perlu dioptimumkan; orang yang diberi kuasa secara sah yang terlibat dalam amalan yang melibatkan sumber radiasi perlu menjadi tanggungjawab utamanya untuk perlindungan dan keselamatan;
  5. Budaya keselamatan berhubung dengan sikap dan perilaku yang berkaitan dengan perlindungan dan keselamatan semua individu dan organisasi yang berkaitan dengan sumber sinaran harus dipupuk;
  6. Langkah-langkah pertahanan yang mendalam perlu diambilkira dalam reka bentuk dan prosedur operasi bagi punca radiasi untuk mengimbangi potensi kegagalan dalam langkah-langkah perlindungan atau keselamatan; dan
  7. Perlindungan dan keselamatan harus dipastikan oleh pihak pengurusan dan kejuruteraan yang baik, jaminan kualiti, latihan dan kelayakan kakitangan, penilaian keselamatan yang menyeluruh dan perhatian kepada pengajaran daripada pengalaman dan penyelidikan.

Kesimpulan

Matlamat perlindungan sinaran adalah untuk menghadkan dedahan manusia kepada sinaran mengion ke tahap yang munasabah dan boleh diterima berhubung dengan manfaat yang diperoleh daripada aktiviti-aktiviti yang melibatkan dedahan, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlakunya somatik dan kesan genetik.

Dalam aplikasi perubatan, dedahan kepada sinaran mengion membawa bersamanya kedua-dua manfaat dan risiko. Manfaat maklumat dari pemeriksaan x-ray mengenai pengurusan klinikal pemeriksaan pesakit lebih banyak diperolehi dibandingkan dengan risiko apabila doktor meminta pemeriksaan sinar-X dijalankan. Maklumat mengenai keadaan klinikal pesakit yang diterima oleh doktor dari pemeriksaan radiologi merupakan bahagian penting dalam amalan perubatan moden.

Adalah menjadi tanggungjawab Juru x-ray untuk memastikan bahawa setiap pesakit menerima dos minimum sinaran yang akan menghasilkan satu imej diagnostik selaras dengan keperluan peperiksaan. Juru x-ray juga perlu memastikan bahawa semua individu-individu dilindungi dengan betul dari dedahan radiasi yang tidak diperlukan.

Rujukan

  • Atomic Energy Licensing (Basic Safety Radiation Protection) Regulations 2010
  • International Commission on Radiological Protection (ICRP) Publication No. 60 (1991), Recommendations of the International Commission on Radiological Protection
  • U.S. Environmental Protection Agency Web Site, http://www.epa.gov/rpdweb00/understand/protection_basics.html
  • Richard R. Carlton & Arlene M. Adler; (2006), Principles of Radiographic Imaging- An Art and a Science 4th Edition. Thomson Delmar Learning
  • WHO Website, http://www.who.int/ionizing_radiation/about/what_is_ir/en/ index.html
  • Ismail Bahari & Mohd. Yusof Mohd Ali (Editor), Managing Radiation Safety – Guide for Radiation Protection Officers. Mc Graw Hill

Semakan Akhir : 9 Januari 2014
Penulis : Bazli b. Sapiin
Akreditor : Nik Mohamed Hazmi b. Nik Hussain

Artikel Berkaitan

Pendarahan Telinga

Pendarahan telinga adalah lelehan yang keluar dari telinga yang mengandungi darah akibat daripada kecederaan ataupun jangkitan kuman.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,373

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia