A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Cara Kerja
  6. /
  7. Kaedah Mengenal Pasti Hazard...

Kaedah Mengenal Pasti Hazard Di Rumah

pijak-paku

Pengenalan

Hazard ialah sesuatu punca atau keadaan yang berpotensi menyebabkan kemudaratan dalam bentuk kecederaan atau kesihatan kepada manusia, kerosakan harta benda, kerosakan alam sekitar gabungan dari mana-mana mudarat tersebut.

Hazard di Rumah

Hazard di rumah dibahagikan kepada 5 kategori utama iaitu fizikal, biologikal, kemikal, ergonomik dan psikososial.

  1. Hazard fizikal
  2. Contoh: Pisau/gunting tajam yang tidak disimpan dengan selamat, pendawaian elektrik hidup yang terbuka, bunyi bising daripada sistem penghawa dingin, karpet atau tikar yang terlipat, lantai basah, paku tekan yang bertaburan, peralatan permainan kanak-kanak di tangga yang tidak dikemas.

    pijak mainan
    Gambar 1: Permainan kanak-kanak di tangga yang tidak di kemas (Sumber: http://www.ishn.com)
  3. Hazard biologikal
  4. Contoh: Ular, labah-labah, nyamuk, tikus, pepijat, kalajengking, lipan, anjing liar.

    ular dalam jamban
    Gambar 2: Ular di dalam mangkuk tandas (Sumber: http://www.kulr8.com)
  5. Hazard  kimia
  6. Gas memasak (LPG) yang bocor, petrol, minyak tanah atau diesel yang disimpan di dalam bekas tidak berpenutup dan berlabel, racun rumpai yang tidak disimpan dengan sempurna.

    kanak-kanak main kabinet
    Gambar 3: Bahan-bahan kimia yang tidak disimpan dengan sempurna (Sumber: http://pesticidestewardship.org)
           
  7. Hazard  ergonomik
  8. Peralatan mekanikal seperti alat pemutar skru yang tidak berlapik khas, kerusi dan meja yang tidak mengikut antopometri pengguna.

    Screwdrivers
    Gambar 4: Peralatan mekanikal yang tidak berlapik khas (Sumber: http://www.medievalwarfare.info)
  9. Hazard  psikososial
  10. Sikap penghuni rumah yang panas baran, pembuli, pendapatan ekonomi tidak stabil, suami atau isteri menjalinkan hubungan sulit, penghuni rumah yang suka meninggikan suara semasa bercakap.

    kanak-kanak kena marah
    Gambar 5: Kanak-kanak yang sering dimarahi ibu bapa

Langkah Pencegahan

Hazard sebenarnya boleh dielakkan. Terdapat pelbagai kaedah  bagi mengelakkan hazard tersebut iaitu pengenalpastian hazard dan kawalan hazard

  • Pengenalpastian hazard

    Ibu bapa wajar mengenal pasti kesemua hazard yang berada di dalam dan persekitaran rumah setiap hari. Pengenalpastian hazard boleh dilakukan setiap hari dan dicatatkan ke dalam buku rekod hazard rumah. Setiap hazard yang dikenalpasti hendaklah dikawal dan dibuat tindakan susulan. Contoh buku rekod hazard di rumah:

    NOMBOR TARIKH & MASA HAZARD DIKENAL PASTI TEMPAT DITEMUI KAWALAN HAZARD
             
             

     

  • Kawalan hazard

Setiap hazard yang dikenal pasti hendaklah dikawal dengan menggunakan 6 hieraki kawalan. Berikut adalah contoh langkah-langkah kawalan yang boleh dilakukan iaitu:

  1. Penghapusan Hazard yang dikenal pasti hendaklah dilupuskan dengan segera. Contoh, paku yang bersepah di halaman rumah hendaklah segera dibuang ke dalam tong sampah. Pinggan mangkuk yang telah retak atau sumbing hendaklah dilupuskan.
  2. Penggantian Peralatan permainan kanak-kanak yang mempunyai bucu tajam atau berskru hendaklah digantikan dengan yang lebih selamat seperti berbentuk aerodinamik. Gunakan pemutar skru yang mempunyai pad plastik bagi mengelakkan masalah tekanan sentuhan kepada tangan.
    playar
    Gambar 6: Pemutar skru yang berlapik khas (Sumber: http://www.toolstop.co.uk)
  3. Pengasingan Binatang perliharaan (pet) yang berubah tingkah laku kepada ganas hendaklah dikurung sehingga keadaannya pulih seperti sediakala. Ubat-ubatan hendaklah disimpan di tempat berkunci dan tidak mudah dicapai kanak-kanak.
    anjing kena kurung
    Gambar 7: Binatang perliharaan yang agresif perlu dikurung sehingga pulih (Sumber: http://teakdoor.com)

     

  4. Kawalan kejuruteraan
    • Menjalankan penyelenggaraan ke atas peralatan mekanikal seperti kereta, motorsikal, alat pemanas air.
    • Membaiki keretakan atau kerosakan pada struktur atau persekitaran rumah.
    • Memasang stair gates.
      tangga berpagar
      Gambar 8: Contoh stair gates
  5. Pentadbiran Kaedah-kaedah yang boleh mewujudkan persekitaran rumah yang selamat.
    • Meletakkan tanda amaran seperti “AWAS, LANTAI LICIN”, “AWAS, PINGGAN PECAH”.
      signage lantai licin
      Gambar 9: Tanda amaran lantai licin (Sumber: http://www.simpsonmillar.co.uk)
    • Menerangkan kepada penghuni rumah terutamanya kanak-kanak tentang hazard dan akibatnya.
    • Melatih penghuni rumah tentang penggunaan sesuatu peralatan, contohnya peralatan elektrik baru. Manual arahan yang diperolehi semasa membeli peralatan elektrik baru seperti ketuhar mikro hendaklah dibaca sebelum menggunakan peralatan tersebut.
    • Pengawasan ibu bapa/orang dewasa ke atas kanak-kanak apabila bermain, mandi. Seperti tidak membenarkan kanak-kanak mandi sendiri.
    • Mengemas dan membersihkan rumah setiap hari termasuk pengemaskinian kabel elektrik, permainan kanak-kanak.
    • Menutup pintu, pagar bagi mengelakkan kanak-kanak bermain di jalan raya/sungai berdekatan rumah.
  6. Penggunaan alat lindung diri (ALD) Ini merupakan langkah terakhir di dalam hieraki kawalan. Semasa memotong rumput adalah wajar menggunakan alat pelindung mata, ear plug atau ear muff, safety shoes.
    orang potong rumput
    Gambar 10: Penggunaan alat melindung diri semasa memotong rumput (Sumber: http://www.thinkstockphotos.in)

Rujukan

  1. Ablewhite, J., McDaid, L., Hawkins, A., Peel, I., Goodenough T., Deave, T., … & Kendrick, D.  (2015). Approaches used by parents to keep their children safe at home: a qualitative study to explore the perspectives of parents with children aged under five years. BMC Public Health, 1-10. doi:10.1186/s12889-015-2252-x
  2. Garispanduan bagi pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC). (2008). Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kementerian Sumber Manusia). Putrajaya.
  3. Mack, K. A., Lillier, K.D., Baldwin, G., & Sleet, D. (2015). Preventing Unintentional Injuries in the Home Using the Health Impact Pyramid. Health Educ Behav, 42(10). doi:10.1177/1090198114568306.z
Semakan akhir : 25 Mac 2016
Penulis : Padelin Rimpau
Akreditor : Tn. Hj. Rosnani bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

Pemeriksaan Kapal

Pengenalan Kapal merupakan kenderaan pengangkutan terawal digunakan untuk urusan perdagangan

Hepatitis A

Hepatitis A merupakan salah satu penyakit bawaan makanan dan air

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,430

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia