A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Tolong doktor, kenapa gigi saya semakin panjang? Ini adalah antara aduan yang sering dilontarkan oleh pesakit yang dirujuk ke Unit Pakar Periodontik. Betulkah gigi kita boleh memanjang seperti yang dikatakan? (gambar 1a menunjukkan contoh gigi panjang)

gigi-panjang
1a : Gigi panjang

Secara umumnya gigi kita terbahagi kepada bahagian korona gigi, leher gigi dan akar gigi. Tisu penyokong gigi (tisu periodontium) pula terdiri daripada gusi yang berada pada paras sekitar leher gigi, tulang rahang (alveolus), simentum yang menyaluti akar gigi dan ligamen yang menyokong gigi, Kesemua tisu penyokong ini memegang gigi supaya kukuh pada kedudukannya.

cross-section-molar
Sumber : http://www.britannica.com

Penyakit gusi (periodontitis) adalah masalah keradangan tisu penyokong gigi ini akibat jangkitan kuman (bakteria). Bakteria didapati dengan banyaknya dalam plak gigi (tahi gigi). Periodontitis biasanya berlaku jika tahap kebersihan mulut kurang memuaskan disebabkan pengawalan plak gigi yang kurang berkesan. (gambar 1b)

periodontitis-gigi-panjang
1b : Periodontitis (keradangan tisu penyokong gigi)

Apabila ini berlaku, gusi dan tulang penyokong gigi akan terjejas dari segi kualiti dan kuantiti. Jika penyakit periodontitis ini tidak dirawat pada peringkat awal, akan berlaku penurunan paras tisu penyokong gigi ini secara berterusan sehingga mendedahkan akar gigi pesakit. Keadaan ini boleh menyebabkan rasa ngilu (sensitif) dan gigi nampak seolah-olah panjang. Penurunan paras tisu penyokong gigi yang teruk boleh menyebabkan gigi hilang sokongan, gigi mula goyah, senget dan beralih kedudukan. Gigi yang kurang sokongan akhirnya tidak dapat berfungsi sempurna, menyakitkan, tidak selesa, menjejaskan rupa paras malah mungkin terpaksa dicabut jika tidak dirawat.

akar-terdedah
Akar gigi yang terdedah akibat kerosakan tisu penyokong gigi boleh mengundang rasa sensitif

Oleh itu pemeriksaan gigi yang merangkumi kesihatan tisu mulut dan gusi serta perlu dilakukan secara berkala. Ini penting untuk mengenal pasti jika kita mengalami masalah pergigian termasuklah penyakit gusi (periodontitis). Ketahuilah, ramai pesakit periodontitis tidak sedar mereka menghidapi masalah ini kerana pada peringkat awal penyakit gusi mereka biasanya tidak berasa sakit. Tanda awal masalah ini adalah gusi mudah berdarah, namun ramai beranggapan ianya adalah normal. Biasanya mereka hanya sedar pada peringkat lanjut apabila gusi telah menurun (gigi nampak panjang), bengkak atau bernanah dan gigi goyah.

Pencegahan adalah lebih mudah daripada mengubati. Langkah yang paling mudah adalah dengan mengawal plak gigi dengan baik, termasuk teknik memberus gigi, pengunaan floss gigi yang betul dan berjumpa doktor gigi secara berkala untuk pemeriksaan dan nasihat. Pesakit periodontitis pula perlu mendapat rawatan gusi yang khusus (periodontik) untuk mengelak kehilangan tisu penyokong gigi yang berterusan. Gigi panjang dan kehilangan gigi boleh dielakkan jika dirawat pada peringkat awal.

Semakan Akhir : 09 Januari 2017
Penulis : Dr. Sharifah Maznah bt. Wan Mohamad
Akreditor : Dr. Rosrahimi bt. Abdul Rahim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,437,929

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia