A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. DNA dan Sains Forensik

DNA dan Sains Forensik

DNA atau asid deoksiribonukleik adalah satu komponen utama kehidupan. Ia mengandungi set-set arahan biologi yang membentuk keperibadian individu. Maklumat-maklumat ini pula diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui perkembangan pembiakan


Heliks ganda dua yang mewakili corak keperibadian DNA manusia.
Sumber : www.forbes.com

Hampir dua dekad yang lalu, masyarakat umum mendapati istilah DNA adalah suatu yang asing dalam kamus hidup mereka. Hanya beberapa kelompok masyarakat sahaja yang terdedah kepada istilah ini dan arif mengenainya. Namun, disebabkan satu kes berprofil tinggi di mahkamah pada akhir-akhir tahun 90-an telah menjadikan istilah ini popular dalam kalangan masyarakat.

DNA sepintas lalu

DNA atau maksud sebenarnya asid deoksiribonukleik adalah satu komponen utama kehidupan. Ia mengandungi set-set arahan biologi yang membentuk keperibadian individu. Maklumat-maklumat ini pula diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui perkembangan pembiakan (National Institute of Health, 2013).

Semua kehidupan di muka bumi ini memiliki corak DNA yang unik; untuk menjadikan seorang manusia itu manusia dan seekor harimau itu harimau.

Sumber DNA seorang manusia atau seekor arnab mahupun sepohon pokok diwarisi daripada ibu dan bapanya atau dikenali sebagai induk.

Seorang manusia akan memiliki satu set lengkap DNA kromosom yang diperolehi hasil perkongsian ibu dan bapanya. Ia adalah sebanyak 23 pasang set dengan setiap satunya adalah daripada ibu dan bapa menjadikan bilangan mutlak sebanyak 46 set kromosom (American Prosecutors Research Institute, 2003).

Set-set kromosom inilah yang dibarisi oleh jutaan maklumat tentang hidupnya sebagai manusia. Maklumat-maklumat inilah yang dikenali sebagai gen. Contoh gen adalah seperti warna mata atau bentuk hidungnya (American Prosecutors Research Institute, 2003).

Di manakah letaknya DNA di dalam badan?

Apabila bercakap mengenai DNA, adakah anda tahu di manakah letaknya ia di dalam tubuh kita?

DNA boleh didapati di dalam nukleus. Nukleus pula terletak di dalam sel yang membentuk tisu dan seterusnya organ tubuh. Selain daripada sel, DNA juga ada terdapat di dalam mitokondria.

Apakah contoh-contoh sel yang mempunyai rangkaian DNA itu?

DNA boleh didapati pada:

  • Sel darah putih (white blood cell)
  • Sperma dan Rembesan vagina
  • Cecair mukosa, peluh dan air liur
  • Akar rambut
  • Tulang
  • Gigi

Ia juga boleh diperolehi daripada organ-organ seperti jantung dan hati, daripada tisu otot dan juga kulit.

Dalam situasi biasa, DNA akan diekstrak daripada nukleus dan diuji untuk mendapatkan susunannya sebagai data perbandingan. Namun, dalam kes-kes seperti sampel mayat yang telah reput atau sel-sel yang telah mati, DNA mitokondria lebih sesuai digunapakai berbanding DNA nukleus.

 
Hubungkait antara sel dan nucleus dalam tubuh manusia.
Sumber: http://ocw.mit.edu

Aplikasi DNA dalam Sains Forensik

Setelah manusia berjaya memecahkan rahsia misteri susunan kromosom DNA dan keunikannya sebagai salah satu ciri variasi kehidupan, ia diaplikasikan dalam penyiasatan forensik. Kebanyakan kes yang menggunapakai profil DNA adalah untuk memastikan identiti individu sama ada bagi kes mayat reput, kematian akibat bencana ramai mangsa dan mengenal pasti identiti ibu bapa sebenar bagi seorang bayi atau anak yang ditinggalkan/dibuang. Ia juga berguna bagi menyelesaikan isu pertikaian nasib seorang anak sebagaimana dalam kes perebutan harta pusaka, anak luar nikah mahupun untuk mengenal pasti bapa sebenar si anak.

Ujian Paterniti dan Materniti

Dewasa ini, seringkali dipaparkan di dalam media tentang kejadian pembuangan bayi. Bayi yang dilahirkan tanpa ikatan pernikahan yang sah dibuang seperti sampah. Andai bayi itu bernasib baik, ia akan sempat diselamatkan oleh insan prihatin yang lalu-lalang. Namun, jika tidak, bayi itu akan mati ditinggalkan tanpa makanan dan minuman serta berisiko menjadi santapan binatang.

Untuk mencari ibu dan bapa yang kejam ini, perbandingan profil DNA perlu dijalankan. Sampel DNA perlu diambil daripada bayi yang malang tersebut untuk mendapatkan profil DNAnya. Kemudian, ia akan dibandingkan dengan profil DNA pasangan wanita dan lelaki yang dituduh sebagai ibu dan bapa tersebut.

Prinsipnya mudah. Set kromosom seseorang individu diperolehi daripada ibu dan bapanya. Sekiranya padanan profil DNA bayi tersebut dapat dibuat terhadap sampel wanita dan lelaki yang syaki, maka wujud kebarangkalian bahawa bayi itu adalah anak mereka. Siasatan selanjutnya akan dilaksanakan oleh pihak polis untuk mendapatkan pengakuan dan bukti-bukti lain yang boleh membantu.

 
Petikan akhbar tentang pembuangan bayi.
Sumber: http://www.teratakarmo.com/2010/04/kes-buang-bayi-berleluasa.html

Siasatan tulang atau tinggalan manusia

Sama seperti dalam kes-kes yang lain, set profil DNA daripada tulang yang ditemui daripada sesuatu kawasan kejadian perlu diperolehi sebagai rujukan. Masalah yang mungkin timbul adalah ketiadaan profil untuk dibandingkan.

Dalam situasi ini, jika tulang yang ditemui itu disyaki milik seseorang individu yang dikenal pasti, sampel DNA individu tersebut boleh diperolehi daripada barang-barang peribadinya. DNAnya boleh diekstrak daripada berus giginya atau helaian rambut yang gugur di rumahnya. Profil DNA yang diperolehi ini boleh digunapakai sebagai perbandingan.

Bencana ramai mangsa

Dalam situasi yang hampir menyerupai situasi di atas, set padanan DNA perlu diperolehi untuk mengesahkan identiti mangsa. Namun, ada satu lagi isu yang boleh timbul daripada kejadian bencana ramai mangsa.

Kebiasaan bagi kes-kes bencana ramai mangsa seperti banjir besar, tsunami dan gempa bumi, mayat mangsa malapetaka ini sukar dibawa keluar daripada kawasan kejadian dalam waktu yang terdekat. Ia mengambil masa berikutan pelbagai faktor yang menekan seperti aspek keselamatan, kesesuaian lokasi, peralatan yang digunakan dan lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, mayat-mayat mangsa sudah pun mereput pada ketika ia dapat dibawa keluar untuk tindakan selanjutnya. Bagaimana ia boleh dikenalpasti? Andai mayat mangsa masih utuh dalam satu jasad, proses pengenalpastian mudah untuk dilaksanakan. Namun jika ada anggota badan yang telah terputus dan bercampur-aduk dalam satu kawasan bencana yang besar, ia boleh menimbulkan masalah.

Di antara masalahnya adalah; adakah cebisan tulang atau anggota badan ini milik seorang lelaki atau pun wanita? Lantaran itu, teknik pengecaman melalui DNA banyak membantu pihak penyiasat untuk mengenal pasti mangsa daripada cebisan kecil sampel yang ditemui.

Bagaimana DNA membantu penyiasatan?

Selain daripada mengenal pasti kebarangkalian kesamaan profil DNA seseorang suspek atau orang kena tuduh dengan yang ditemui di tempat kejadian mahu pun pada mangsa, ia turut dapat menjawab beberapa persoalan lain. Persoalan bagi ‘di manakah sampel DNA itu ditemui’ dan ‘apakah jenis sampel DNA yang ditemui itu’ dapat membantu pihak penyiasat melakukan silangkait antara suspek dan mangsa (American Prosecutors Research Institute, 2003).

Contoh pertama:

Seorang wanita mendakwa dirogol di dalam sebuah kereta milik suspek. Bukti DNA wanita tersebut ditemui pada tempat duduk kereta tersebut bersama dengan sampel DNA suspek. Ia memberi kaitan di antara wanita itu dan suspek di dalam kereta tersebut, yang menyokong kenyataan mangsa.

Contoh kedua:

Sampel DNA daripada sperma suspek ditemui di dalam vagina (kemaluan) mangsa. Ia boleh memberikan gambaran bahawa terdapatnya hubungan seksual di antara kedua-duanya.

Andai di dalam keterangan mangsa tersebut menyatakan bahawa dia sempat mencakar mangsa di bahagian mukanya, maka dengan penemuan sampel DNA suspek pada kuku jari mangsa boleh membuktikan keterangannya tersebut.

Rujukan

  1. American Prosecutors Research Institute. (2003, 11). forensic dna fundamentals. Retrieved 06 22, 2013, from http://www.ndaa.org: http://www.ndaa.org/pdf/forensic_dna_fundamentals.pdf
  2. Butler, J. M. (2008, 08 21). Forensic DNA Testing: How Are Crimes Solved with DNA Analysis? Retrieved 07 08, 2013, from http://maxwellinstitute.byu.edu/: http://maxwellinstitute.byu.edu/files/Forensic-DNA-Testing.pdf
  3. Lister Hill National Center for Biomedical Communications et al. (2013, 06 17). Genetic Home Reference. Retrieved 06 21, 2013, from http://ghr.nlm.nih.gov: http://ghr.nlm.nih.gov/handbook/basics.pdf
  4. National Institute of Health. (2013, 06 13). National Human Genome Research Institute. Retrieved 06 21, 2013, from http://www.genome.gov: http://www.genome.gov/25520880
  5. Petherick. (2010). Forensic Science Central. Retrieved 07 08, 2013, from http://forensicsciencecentral.co.uk/edmondlocard.shtml
  6. Wellcome Trust. (n.d.). The Human Genome. Retrieved 07 08, 2013, from http://genome.wellcome.ac.uk/: http://genome.wellcome.ac.uk/doc_wtd020877.html

 

Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis / Penterjemah / Penyemak : ChM. Dr. Khairul Adli bin Nikman

 

Artikel Berkaitan

Forensik dan Mitos

Selama bertahun-tahun, terdapat banyak mitos dan salah faham yang mengelilingi forensik dan pelbagai aspeknya. Mari kita lihat dengan lebih dekat beberapa mitos ini dan fakta-fakta yang berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,337

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia