A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Memberus Gigi Bayi : Bagaimana Memulakannya?

Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, adalah menjadi satu kelaziman yang sangat baik untuk menyapu gusi bayi dengan kain kasa atau tuala yang lembut setiap kali selepas makan atau ketika mandi.

 

Perlukah ibubapa membersihkan gusi bayi sebelum gigi tumbuh?

Ya perlu. Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, adalah menjadi satu kelaziman yang sangat baik untuk menyapu gusi bayi dengan kain kasa atau tuala yang lembut setiap kali selepas makan atau ketika mandi. Pada peringkat ini, masih belum ada keperluan untuk menggunakan ubat gigi. Tuala atau kain kasa yang dililit di sekeliling jari boleh digunakan dengan menyapu secara perlahan-lahan disekeliling gusi untuk menghilangkan bakteria yang berbahaya dalam mulut bayi anda.

Bilakah jangkaan gigi pertama bayi akan tumbuh?

Secara amnya, gigi pertama bayi akan tumbuh di bahagian depan rahang bawah ketika bayi berumur enam bulan. Namun, masa pertumbuhan gigi gigi pertama bayi tidak sama antara satu dengan yang lain. Sesetengah bayi masih tiada gigi yang tumbuh walaupun usia telah mencecah setahun.

Bilakah ibubapa seharusnya memberus gigi bayi mereka?

Memberus gigi bayi bolehlah dimulakan seawal gigi pertama kelihatan tumbuh di dalam mulut. Ini akan menanamkan tabiat penjagaan kesihatan pergigian yang baik kepada anak anda.

 

 

Gambar 1: Gigi pertama bayi, biasanya tumbuh di usia enam bulan.

Berapa kerapkah ibubapa seharusnya memberus gigi bayi mereka?

Dua kali sehari terutamanya pada waktu pagi dan malam sebelum tidur.

Adakah ibubapa perlu membelikan berus gigi untuk bayi mereka?

Bergantung kepada keadaan. Anda mungkin berasa lebih mudah untuk membersihkan gigi bayi anda dengan menggunakan kain kasa yang bersih atau tuala basah. Lilitkan di sekeliling jari, letakkan lapisan nipis ubat gigi atau sebesar saiz beras ke atasnya, dan gosok perlahan-lahan pada gigi dan gusi.

Sekiranya menggunakan berus gigi bayi, pilihlah yang mempunyai kepala berus yang kecil, berus nilon yang lembut dan senang/selesa dipegang. Gunakan sedikit lapisan ubat gigi dan gosok secara perlahan-lahan dibahagian dalam dan luar setiap gigi untuk membuang plak dan kotoran.

Berus gigi yang direka khas seperti ‘berus gigi jari’ juga boleh membantu dalam memberus gigi bayi anda.


Gambar 2: Berus gigi jari

Berapa kerapkah seharusnya berus gigi bayi anda ditukar?

Ia seharusnya ditukar secara berkala, kira-kira sebulan hingga tiga bulan. Sekiranya berus mulai mengembang, ia adalah petanda berus gigi perlu ditukar.

Apakah ubat gigi yang sesuai untuk bayi?

Adalah dinasihatkan supaya mencari ubat gigi yang dibuat khas untuk bayi. Periksa bungkusan ubat gigi untuk memastikan tahap kandungan florida adalah sesuai. Gunakan ubat gigi yang mempunyai kandungan florida yang rendah (kira-kira 1,000 ppm) untuk bayi berumur satu hingga tiga tahun.

Pilih ubat gigi yang TIDAK berperisa, seperti perisa buah-buahan, supaya bayi memahami bahawa ubat gigi bukanlah makanan. Menelan ubat gigi berflorida dalam jumlah yang terlalu banyak boleh merosakkan gigi dengan memberikan kesan rapuh, dan boleh menyebabkan bayi sakit atau cirit-birit.

Berapa banyakkah ubat gigi seharusnya digunakan?

Bagi bayi berumur di bawah setahun, tiada keperluan menggunakan sebarang ubat gigi.

Bagi kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun, hanya dengan sedikit atau lapisan nipis ubat gigi melitupi tiga suku berus gigi sudah mencukupi.

Bagi kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke atas, beruslah gigi anak anda dengan ubat gigi bersaiz kacang pis.

Ibubapa dinasihatkan untuk mendidik anak supaya meludah selepas memberus gigi dan tidak makan atau menjilat ubat gigi dari tiub.


Gambar 3: Perbezaan di antara lapisan nipis ubat gigi dan ubat gigi bersaiz kacang pis.

Bagaimanakah cara memberus gigi anak anda?

Ianya mudah dan tidak banyak perkara yang diperlukan. Gunakan berus gigi bayi atau ‘berus gigi jari’, sedikit ubat gigi dan air bersih.

 

Gambar 4: Langkah-langkah dan teknik memberus gigi (bagi kanak-kanak berumur setahun dan ke atas)

  1. Letakkan sedikit ubat gigi berfuorida rendah ke atas berus gigi yang lembut atau pada ‘berus gigi jari’ yang direka khas untuk bayi dan kanak-kanak.
  2. Dudukkan anak di atas paha dengan kepala menghadap kehadapan. Dongakkan kepala anak sehingga mengenai badan anda supaya anda dapat melihat kesemua permukaan gigi.
  3. Halakan berus gigi kepada gusi. Gerakkan berus secara bulatan untuk membersihkan bahagian luar permukaan gigi dan gusi.
  4. Sambung memberus secara bulatan lembut di bahagian dalam permukaan gigi dan gusi.
  5. Berus ke hadapan dan belakang dipermukaan mengunyah gigi.
  6. Selepas memberus setiap permukaan gigi, didik anak supaya meludah keluar sisa-sisa ubat gigi.

 

Rujukan

  1.  Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Guidelines Early Childhood Oral Healthcare 2008. MOH/K/GIG/3.2008.
  2. American Academy of Pediatric Dentistry. Guideline on Infant Oral Health Care. Reference Manual. 2014;V37; No.6;15/16.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Dr. Azura bt. Abdullah
Akreditor : Dr. Salleh bin Zakaria
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

Artikel Berkaitan

Lidah Pendek

Lidah pendek merupakan keadaan pergerakan lidah terbatas kerana dasar lidah (lingual frenulum) melekat hingga ke bahagian hujung lidah. Ini menyebabkan lidah tidak dapat bergerak bebas atau berfungsi secara normal.

Kaedah Angkat Bibir

Proses pereputan gigi boleh dihentikan atau dikembalikan ke keadaan gigi asal jika ia dikesan pada peringkat awal. Maka, ibu bapa perlu menggunakan kaedah mudah secara ‘angkat bibir’ untuk memeriksa mulut anak mereka.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,684

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia