A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Penderaan terhadap warga emas telah menjadi satu masalah sosial yang membimbangkan. Lazimnya golongan warga emas yang lemah dan miskin berisiko tinggi untuk didera.

Penderaan warga emas boleh ditakrifkan sebagai perlakuan tidak wajar dalam bentuk fizikal, seksual, psikologikal/ emosi, sosial, kewangan atau lain-lain perbuatan buruk yang dilakukan oleh individu yang mempunyai pertalian hubungan dengan warga emas tersebut. Penderaan boleh berlaku sama ada sekali atau berulang kali

Antara faktor penyumbang kepada penderaan adalah:

  • Di kalangan warga emas
    • Terlalu banyak bergantung kepada orang lain bagi menjalani kehidupan harian
    • Masalah di dalam komunikasi
    • Kelakuan degil dan agresif
    • Rasa curiga dan enggan dibantu
    • Gangguan daya ingatan
    • Cacat anggota dan tidak dapat bergerak
  • Di kalangan pendera
    • Di kalangan pendera
    • Kurang pengetahuan dan kemahiran menjaga warga emas yang akhirnya meningkatkan tekanan dalam kalangan pendera
    • Tiada pilihan selain terpaksa menjaga warga emas
    • Tiada sokongan dari ahli keluarga yang lain
    • Bebanan kewangan untuk menjaga dan menampung keperluan warga emas
    • Pengalaman lampau yang negatif semasa bersama warga emas
    • Pendera yang pernah didera semasa kecil

Data yang tepat mengenai kes penderaan warga emas sukar didapati oleh kerana kebanyakan kes begini kurang atau tidak dilaporkan.

Tanda-tanda

  • Penderaan Fizikal

Sengaja melakukan perlakuan seperti menampar, memukul, mendatangkan luka, kesan bakar, lecur, mengikat, tidak memberi makan dan mengabaikan kebersihan badan.

  • Penderaan Seksual

Melakukan hubungan seks paksa tanpa kebenaran warga emas yang mengakibatkan rasa takut, resah, malu, hilang harga diri dan kecederaan pada bahagian sulit.

  • Penyelewengan Kewangan

Ini termasuk mencuri, menipu dan mengunakan wang tanpa kebenaran warga emas seperti wang pencen, wang kebajikan dan sebagainya.

  • Penderaan Psikologikal/emosi

Ini termasuk memarahi, memaki hamun, mengejek, mengugut dan tidak menghormati. Gagal memberi bantuan alat pandengaran atau penglihatan kepada warga emas juga dianggap penderaan emosi.

  • Penderaan Sosial

Menafikan peluang dan hak mereka untuk berjumpa atau bergaul dengan orang lain, tidak membenarkan mereka mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti sosial, gagal memberi penjagaan kesihatan atau kebajikan atau tidak memberi mereka ruang privasi.

  • Lain-lain bentuk penderaan termasuk

Memberikan ubat tanpa preskripsi doktor agar warga emas mendiamkan diri atau tidak memberikan ubat yang patut diberi supaya warga emas boleh dipindahkan ke hospital.

Komplikasi

  • Pengulangan kitaran penderaan demi penderaan
  • Kemurungan
  • Kecederaan fizikal seperti patah tulang, cedera kepala, tidak dapat bergerak, jangkitan, gangguan intelek

Rawatan

  • Rawat komplikasi yang berlaku akibat penderaan
  • Rawat masalah psikiatrik jika ada
  • Hindari mengasingkan warga emas
  • Perbaiki komunikasi berkesan antara penjaga dengan warga emas. Rujuk kepada pakar bagi membantu mengurangkan masalah penglihatan, pendengaran atau pertuturan kepada warga emas
  • Bantuan kaunseling

Pencegahan

  • Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada penjaga menangani isu warga emas
  • Mengagihkan peranan dan tugasan sama rata di antara semua ahli keluarga
  • Perbaiki komunikasi secara berkesan
  • Pertimbangkan perkhidmatan sampingan yang boleh membantu ahli keluarga dan warga emas seperti perkhidmatan “respite”

Pemulihan

Aktiviti penjagaan kesihatan untuk warga tua di pusat jagaan harian:

  • Penilaian, pemeriksaan dan program aktiviti untuk menambahkan kualiti hidup harian (ADL)
  • Mengurangkan ruang yang boleh menyumbang kepada luahan emosi yang negatif

Kumpulan Sokongan

AFDM (Alzheimer’s Disease Foundation of Malaysia) (www.adfm.org.my) Majlis Pusat Kebajikan Malaysia Gerantology Association of Malaysia (http://www3.jaring.my/gem)

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Suraya binti Yusoff
  : Dr. Susy Mathew
  : En. Harol Hanam bin Muhammed Wahid
Penyemak : Dr. Lazli Bin Bakar

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,222

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia