A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gigi Palsu Fleksibel

Gigi palsu fleksibel ialah gigi palsu yang diperbuat daripada bahan yang melentur (flexible) iaitu sejenis bahan plastik yang dinamakan nylon.

Pendahuluan

Gigi palsu fleksibel ialah gigi palsu yang diperbuat daripada bahan yang melentur (flexible) iaitu sejenis bahan plastik yang dinamakan nylon. Ia adalah sejenis gigi palsu yang popular di dalam pembuatan gigi palsu separuh buat masa kini.

Kebaikan

Gigi palsu fleksibel lebih ringan, kuat dan tahan lama. Saiznya yang lebih nipis dan lebih melentur dari gigi palsu akrilik atau Cobalt Chromium membuatkan ia lebih terasa semula jadi dan mudah diterima oleh pesakit. Warnanya yang seakan warna gusi membuatkannya serasi dengan warna tisu mulut dan tidak nampak ketara bahawa seseorang itu sedang memakai gigi palsu.

Gigi palsu fleksibel ini juga tidak memerlukan dawai besi atau kerangka besi untuk pelekatan pada gigi. Ia dapat melekap disekeliling gigi kerana cirinya yang mudah lentur. Tidak seperti gigi palsu akrilik,  jika jatuh ia mudah patah tetapi gigi palsu fleksibel ini tidak mudah patah.

Ia juga tidak mengandungi bahan kimia yang terdapat di dalam gigi palsu akrilik/Kobalt Kromium dan bersifat hypo-allergenik, justeru itu boleh menjadi alternatif kepada pesakit yang alergik pada akrilik atau besi.

Kelemahan

Gigi palsu fleksibel disokong sepenuhnya oleh tisu lembut, iaitu gusi. Ini boleh menyebabkan gusi  melecet dan boleh menyebabkan penyusutan paras gusi di sekeliling gigi.

Satu lagi kelemahan gigi palsu fleksibel ialah ianya tidak boleh dibuat proses pelapikan semula.Jika gigi palsu lama telah menjadi longgar disebabkan oleh penyusutan tulang dan gusi, maka ianya perlu dibuat semula. Jadi ini memerlukan tambahan kos dan masa kepada pesakit.

Indikasi

Syarikat pembuatan bahan pergigian nylon, seperti Valplast (Valplast International Corporation,  Amerika Syarikat), mengesyorkan penggunaannya untuk pembuatan gigi palsu separuh.

Gigi palsu penuh memerlukan satu tahap ketegaran di dalam mulut. Sifat mudah melentur bahan gigi palsu fleksibel mungkin tidak sesuai untuk pembuatan gigi palsu penuh. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan di mana gigi palsu yang fleksibel mungkin sesuai untuk aplikasi gigi palsu penuh, termasuk pesakit yang alah kepada gigi palsu akrilik, pesakit dengan gigi palsu akrilik yang mudah pecah dan pesakit yang tidak boleh memakai gigi palsu penuh yang tegar kerana bentuk mulut mereka.

Ia juga berguna dalam pengurusan pesakit yang mengalami bukaan mulut sangat terhad disebabkan oleh keadaan seperti penyakit microstomia, scleroderma dan juga untuk pemulihan semula selepas pembedahan akibat kanser.

Kontraindikasi

Gigi palsu fleksibel tidak sesuai di gunakan untuk kes-kes “immediate” atau gigi palsu segera, kerana selepas gigi dicabut, akan berlaku penyusutan tulang dan gusi dengan kadar yg cepat. Gigi palsu fleksibel ini tidak boleh di buat proses pelapikan semula, jadi gigi palsu akrilik lebih sesuai untuk kes- kes seperti ini.

Gigi Palsu Fleksibel


Gigi palsu fleksibel untuk sebatang gigi  bagi rahang atas.
 

Keadaan mulut pesakit yang kehilangan gigi premolar atas.

Keadaan mulut pesakit selepas memakai gigi palsu fleksibel.

Gigi palsu fleksibel untuk menggantikan dua batang gigi di rahang atas
 

Keadaan mulut pesakit sebelum memakai gigi palsu fleksibel.

Keadaan mulut pesakit selepas memakai gigi palsu fleksibel.

Prosedur pembuatan gigi palsu fleksibel memerlukan dua kali lawatan ke klinik. Pada lawatan pertama, doktor gigi akan membuat pemeriksaan untuk menentukan samada keadaan gigi dan mulut anda sesuai untuk memakai gigi palsu fleksibel.  Setelah itu, doktor anda akan mengambil acuan mulut. Acuan ini akan digunakan untuk membuat model gigi dan akan di hantar ke makmal  untuk pembuatan gigi palsu fleksibel.

Pada lawatan berikutnya, gigi palsu fleksibel yang telah siap diproses dimasukkan ke dalam mulut dan pelarasan akan dibuat sehingga anda berasa selesa memakai gigi palsu tersebut.

Rujukan 

  1. J. P. Singh, R. K. Dhiman, R. P. S. Bedi, S. H. Girish. Flexible denture base material: A viable alternative to conventional acrylic denture base material. Contemp Clin Dent. 2011 Oct-Dec; 2(4): 313–317
  2. LJ Rickman, P Padipatvuthikul, JD Satterthwaite. Contemporary Denture Base Resins: Part 2. Dent Update 2012; 39: 25-30
  3. Sandeep C, Hima Bindu OS, Sreedevi B, Prasad KS. Prosthodontic management of a completely edentulous microstomia patient. J Orofac Sci 2014;6:65-8
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Fauziah bt. Ahmad
Akreditor : Dr. Sabarina bt. Bujang
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Bagaimana Menjaga Prostesis Korona & Jambatan Anda

Korona adalah sejenis restorasi/prostesis pergigian yang menyarung atau mengelilingi gigi atau implan pergigian; menyerupai saiz dan bentuk asal gigi atau direka bentuk mengikut saiz, bentuk dan warna yang dikehendaki/dipilih.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,612

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia