A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Kecergasan & Anda
  6. /
  7. Pemandu Berusia
  8. /
  9. Penilaian Kefungsian Pada Pemandu...

Penilaian Kefungsian Pada Pemandu Warga Emas

Warga emas perlu mengubah cara memandu mengikut keupayaan fizikal beliau untuk memastikan beliau boleh terus memandu dengan selamat

Pengenalan

Memandu merupakan tugasan rumit yang memerlukan integrasi fungsi psikomotor, kognitif dan sensori. Adalah normal untuk keupayaan fungsi memandu berubah dengan peningkatan umur seseorang. Oleh itu, kita perlu mengetahui kebolehan memandu sendiri dan mengamalkan cara memandu yang selamat untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada diri dan juga orang lain. Warga emas perlu mengubah cara memandu mengikut keupayaan fizikal beliau untuk memastikan beliau boleh terus memandu dengan selamat.

Penilaian Kefungsian

Operasi kenderaan memerlukan interaksi antara tumpuan visual, kepantasan pemprosesan mental, reaksi yang tepat pada masa yang sesuai dan pengawalan sensori motor yang cekap, untuk memastikan pemanduan yang selamat. Oleh yang demikian, penilaian kefungsian adalah sangat penting dijalankan untuk mengetahui sama ada  seseorang warga emas itu boleh terus memandu ataupun perlu berhenti memandu.

Indikasi:

Penilaian kefungsian perlu dijalankan sekiranya terdapat gejala kemerosotan dalam kecergasan fizikal seseorang pemandu warga emas. Penilaian ini diperlukan sekiranya warga emas yang berkenaan mengalami:

  • Masalah untuk menoleh ke kiri atau ke kanan untuk melihat kepada keadaan trafik
  • Kesukaran untuk mengalih kaki dari pemacu ke brek atau memutarkan stering kereta
  • Sejarah jatuh (lebih dari sekali dalam tempoh 1 tahun terdekat)
  • Kesukaran berjalan
  • Kesukaran untuk mengangkat anggota atas badan melepasi paras bahu
  • Kerisauan orang lain (anggota keluarga, rakan atau saudara-mara) mengenai kebolehan seseorang itu untuk memandu dengan selamat

Kemerosotan kefungsian

Kemerosotan kefungsian pada pemandu warga emas yang boleh memberi kesan terhadap kebolehan memandu adalah seperti kemerosotan pada sistem motor, visual and kognitif. Huraiannya adalah seperti berikut:

  • Kemerosotan tulang dan otot :
    • Pengurangan kekuatan (genggaman yang kurang boleh menyebabkan pemandu warga emas tidak dapat memutarkan stering dengan cekap dan pantas)
    • Limitasi pergerakan (Julat pergerakan sendi anggota atas yang kurang boleh menyukarkan pemutaran stering)
    • Pengurangan kelenturan pada sendi (contohnya: pengurangan julat pergerakan leher boleh mengurangkan julat penglihatan semasa memandu)
  • Kesakitan:
    • Menimbulkan masalah kepada pegerakan yang memerlukan daya tenaga (contohnya: mengalih kaki dari pemacu ke brek)
  • Kordinasi yang lemah:
    • Mengakibatkan kemerosotan kepada pergerakan halus
  • Kemerosotan fungsi kognitif :
    • Pemandu warga emas mungkin tidak menyedari kebolehan dan had kognitif beliau
  • Refleks motor yang lambat :
    • Masa reaksi yang meningkat (contohnya lambat untuk mengenalpasti kenderaan yang muncul dari tepi atau gagal menyedari kenderaan di hadapan telah perlahan atau pun berhenti)
  • Tidak dapat memberi tumpuan:
    • Tidak dapat memberi tumpuan yang secukupnya apabila terdapat pelbagai maklumat yang timbul pada masa yang sama (contohnya: perhatian diperlukan untuk papan tanda, lampu isyarat dan kenderaan lain pada masa yang sama)
  • Masalah proprioseptif:
    • Kesilapan dalam membuat pertimbangan atau keputusan
  • Kemerosotan tahap penglihatan:
    • Mengakibatkan prestasi visual yang kurang (contohnya: kemerosotan kepada kelajuan pemprosesan penglihatan)
  • Kemerosotan tahap pendengaran:
    • Tidak dapat mendengar dengan jelas isyarat amaran seperti bunyi hon.

Selain dari masalah-masalah yang disenaraikan di atas, kemerosotan kefungsian juga boleh disebabkan oleh perubahan kepada kefungsian yang boleh berlaku secara tiba-tiba (contoh: strok) atau secara perlahan-lahan (contoh: penyakit kronik).

Cadangan / Modifikasi Untuk Pemanduan Yang Selamat

Peningkatan usia tidak semestinya menyebabkan kehilangan kupayaan memandu. Terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk membolehkan seseorang itu terus memandu dengan selamat . Antara langkah-langkah tersebut termasuklah pengubahsuaian kereta serta mengenalpasti dan mengatasi masalah-masalah fizikal yang boleh menghadkan keupayaan memandu. Petua-petua lain adalah seperti berikut:

  • Pemeriksaan berkala (untuk memastikan tahap memandu yang optima)
    • Pemeriksaan mata (pastikan cermin mata yang digunakan adalah yang terkini / penggunaan cermin mata gelap untuk mengurangkan silau)
    • Pemeriksaan pendengaran (sekiranya perlu menggunakan alat bantuan pendengaran, pastikan ianya dipakai semasa memandu)
  • Sentiasa memastikan cermin dan lampu kereta bersih. Tambahkan kecerahan pada panel pemandu untuk menyenangkan pemandu melihat maklumat-maklumat penting seperti kelajuan kereta.
  • Dapatkan tidur yang cukup.
  • Dapatkan kereta yang sesuai. Gunakan alat bantuan memandu yang sesuai sekiranya diperlukan.
    • Pilih kenderaan dengan transmisi automatik, stering dan brek berkuasa yang mudah digunakan
    • Pastikan kereta sentiasa dalam keadaan yang baik dengan menjalani pemeriksaan berkala
    • Dapatkan khidmat nasihat daripada jurupulih carakerja untuk modiifikasi / alat bantuan
  • Pandu secara selamat
    • Telefon bimbit dan muzik akan mengganggu tumpuan dan fokus semasa memandu
    • Selalu jarakkan kereta anda dari kereta hadapan pada jarak yang selamat
    • Beri perhatian lebih semasa berada di persimpangan jalan dan pastikan memandu mengikut arus trafik
    • Hentikan kenderaan di tempat yang sesuai sekiranya anda perlu menerima panggilan telefon
    • Membenarkan jarak kenderaan yang lebih semasa hari hujan
    • Ketahui had kebolehan memandu sendiri (elak dari memandu sekiranya keadaan memandu tidak sesuai atau kurang selesa seperti waktu malam, kesesakan jalanraya, atau cuaca buruk)
    • Merancang perjalanan sebelum bertolak ke tempat yang tidak biasa (untuk lebih berkeyakinan serta mengelak dari sesak haluan)

Dapatkan Penilaian Profesional

Perubahan fizikal dan mental akan berlaku dengan peningkatan usia. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk menerima nasihat orang yang terdekat apabila mereka menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan kita semasa mengendalikan kenderaan. Kita perlu sanggup untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat bantuan.

Doktor anda boleh memberi pandangan tentang tahap kebolehan memandu anda atau merujuk  anda kepada Pegawai / Jurupulih Carakerja untuk penilaian selanjutnya. Modifikasi kereta atau adaptasi fizikal mungkin diperlukan untuk membolehkan anda terus memandu dengan selamat untuk selama yang boleh.  Penilaian daripada pihak profesional juga dapat memberi anda dan keluarga sudut pandangan pihak yang neutral untuk megatasi masalah percangkahan pendapat antara keluarga mengenai keselamatan anda untuk mengendalikan kenderaan.

Warga emas yang didapati tidak selamat untuk memandu akan disyor kan untuk berhenti dari terus memandu. Beliau akan dinasihatkan untuk mengguna cara pengangkutan yang lain untuk tujuan keselamatan.

Rujukan

  1. Mark HB, Robert B et al. The Merck Manual of Geriatrics, 3rd ed. Merck and Co, 2000.
  2. Helena L, Catarina L, Torbjörn F et al. A Swedish survey of occupational therapists’ involvement
  3. and performance in driving assessments. Scandinavian Journal of Occupational Therapy 2007 vol. 14;4:215-220.
  4. Mary AF, et al (2004) Geriatric Secrets. 3rd ed. Mosby: Pennsylvania (Older Driver 231-236)
  5. http://www.helpguide.org/elder/senior_citizen_driving.htm ( Access on 25/4/2013)
  6. http://www.cdc.gov/Motorvehiclesafety/Older_Adult_Drivers/adult-drivers_factsheet.html (Access on 25/4/2013)
  7. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2915446/(25/4/2013) www.aota.org/olderdriver html (Access on 25/4/2013)
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Thillainathan a/l Krishnan
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,052,253

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia