A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gaya Asuhan Ibu Bapa dan Hubungannya Dengan Konflik Remaja

Definisi

Asuhan merupakan satu elemen yang merangkumi aspek mendidik, memberi pelajaran dan membesarkan. Manakala mengasuh bererti memberikan pelajaran, pendidikan dan bimbingan dalam konteks memerhati, menjaga serta mengawal perkembangan fizikal, mental, sosial dan emosi. Seterusnya keibubapaan pula adalah cara, gaya, kemahiran dan ketrampilan menjadi ibu bapa. Secara umumnya, gaya asuhan ibu bapa dapat didefinisikan sebagai kaedah atau cara ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Oleh yang demikian gaya asuhan ibu bapa merupakan salah satu aspek yang penting dalam mempengaruhi kesejahteraan hidup remaja.

Hal ini kerana gaya asuhan ibu bapa mempunyai perkaitan yang kuat dengan pembentukan kendiri remaja termasuklah dari segi pencapaian akademik, cara remaja menyelesaikan masalah, tingkah laku berisiko, kesihatan mental, penghargaan kendiri dan kemurungan (Russell et al., 2010).

Zaman remaja merupakan satu zaman peralihan yang begitu mencabar kerana pada ketika ini adalah merupakan masa remaja untuk mencari identiti dan menilai diri. Remaja dalam pandangan umum ialah satu golongan yang berada pada zaman transisi di antara zaman kanak-kanak dan zaman dewasa. Pada tempoh tersebut, berlaku perkembangan yang pesat dari sudut fizikal, spiritual, daya intelektual, kecenderungan dan kemampuan menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Jenis Gaya Asuhan

Menurut Baumrind (1971), gaya asuhan ibu bapa adalah terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya autoritatif, gaya autoritarian dan gaya permisif.

Gaya Autoritatif

Gaya autoritatif adalah ibu bapa yang mengamalkan ketegasan yang diimbangi dengan kesediaan mendengar pandangan anak-anak, bertoleransi, setiakawan, serta sentiasa melibatkan diri bersama dengan anak-anak. Gaya ini dapat membentuk anak-anak yang berfikiran positif, aktif bersosial, bertanggungjawab dan meningkatkan kompeten dari aspek kognitif.  Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang demokratik cenderung untuk menjadi lebih bertenaga, suka menjelajah, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, berdedikasi, dapat mengawal diri dan bersikap positif terhadap rakan sebaya, Baumrind (1989).

Gaya Autoritarian

Gaya autoritarian merupakan ibu bapa yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap anak-anak dengan mempraktikkan pendekatan kawalan, hukuman, dan peraturan yang ketat yang tidak membenarkan anak-anak mempertikaikannya. Gaya ini menyebabkan anak-anak  cenderung untuk berfikiran negatif, sering memberontak, pendendam, bimbang, cemas, mempunyai konsep kendiri yang rendah dan kurang motivasi untuk berdikari.

Gaya Permisif

Gaya permisif pula merujuk kepada ibu bapa yang mesra, terlalu berlembut dan memenuhi kehendak anak-anak tanpa kawalan. Hal ini akan mengakibatkan anak-anak terlalu bergantung, kurang berdikari dan impulsif. Walaubagaimanapun, anak-anak yang diasuh oleh ibu bapa dengan gaya permisif adalah lebih gembira dan cepat pulih dari sesuatu tekanan atau pun krisis berbanding kanak-kanak yang dibesarkan secara autokratik (Baumrind, 1989).

Secara ringkasnya, gaya asuhan ibu bapa ini dapat dilihat dalam rajah di bawah :

gaya asuhan

 Kesan Gaya Asuhan Ibu bapa Kepada Remaja

Melalui rajah di atas, gaya asuhan ibu bapa sememangnya merupakan elemen yang penting dalam pembentukan kendiri individu remaja. Pembentukan kendiri ini termasuklah dari semua aspek psikologi iaitu, mental dan emosi. Ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan sama ada autoritatif, autoritarian dan permisif masing-masing mempunyai kesan yang berbeza kepada anak-anak.

Gaya asuhan autoritatif adalah ibu bapa yang cenderung untuk mesra dan memberi ruang kepada kepada anak-anak remaja menyampaikan pendapat. Hal ini mendorong remaja untuk menjadi seorang yang positif dan rasa dihormati kerana secara psikologikalnya remaja sememangnya memerlukan individu lain untuk mendengar pendapat dan luahan perasaan mereka disamping rasa dihormati oleh individu lain (Decay & Kenny, 1997). Dalam erti kata lain, ianya dapat membantu individu remaja untuk berkembang dengan lebih positif.

Sebagai contoh, sekiranya anak-anak mempunyai masalah dalam pembelajaran atau gagal dalam subjek tertentu, ibu bapa perlu untuk mendengar penjelasan daripada anak-anak sebelum menghukum mereka. Setelah mendengar penjelasan, ibu bapa juga perlu meminta pendapat mereka bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Dalam masa yang sama ibu bapa hendaklah mengawal anak-anak mereka. Keadaan ini dapat meningkatkan keyakinan seseorang remaja melalui sokongan dan dorongan daripada ibu bapa mereka sendiri.

Gaya asuhan autoritarian adalah ibu bapa yang mengamalkan pendekatan kawalan, hukuman dan peraturan yang ketat serta tidak membenarkan anak-anak untuk mempertikaikannya. Keadaan ini mewujudkan persekitaran yang tidak sihat kepada perkembangan kendiri remaja sekaligus mengakibatkan remaja terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat seperti buli, lepak, pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan dan sebagainya. Sebagai contoh, anak-anak melakukan sesuatu kesalahan dan ibu bapa terus menyalahkan dan menghukum mereka tanpa memberi peluang kepada mereka untuk meluahkan perasaan. Keadaan ini mengakibatkan mereka berasa tertekan dan mendorong mereka untuk terlibat dengan gejala yang tidak sihat sebagai satu cara untuk mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kedua ibu bapa. Pada masa yang sama, remaja merasakan diri mereka tidak dihargai dan berasa mereka tidak diperlukan dalam keluarga. Hal ini mungkin boleh mengakibatkan kesan yang lebih buruk iaitu kemurungan dan berakhir dengan perbuatan membunuh diri.

Satu kajian telah mendapati bahawa remaja yang delinkuen dan agresif adalah berasal daripada keluarga yang ibu bapanya menggunakan hukuman fizikal dan disiplin secara berlebihan kepada anak- anak (Bandura & Walters, 1959). Menurut satu lagi kajian yang telah dijalankan oleh Lawrence (Mohd Salleh, 1986) menunjukkan remaja yang bermasalah, memberontak dan cenderung untuk bertingkahlaku yang terpesong dan menyeleweng adalah daripada anak-anak yang diasuh secara keras, autokratik dan diskriminasi oleh ibu bapa.

Ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan permisif bertindak terlalu lembut serta memenuhi kehendak anak tanpa kawalan. Sebagai contoh, terdapat sesetengah ibu bapa yang menuruti sahaja segala kemahuan anak-anak tanpa ada batasan kerana ibu bapa yang pernah melalui kehidupan yang serba kekurangan semasa mereka membesar tidak mahu anak-anak mereka turut mengalami nasib yang sama. Walaupun tujuan utama ibu bapa adalah untuk memberi keselesaan dan kesenangan kepada anak-anak namun, sekiranya berlanjutan tanpa kawalan, ianya boleh mengakibatkan kepada tahap kebergantungan yang tinggi anak-anak terhadap ibu bapa tanpa wujudnya sikap untuk berdikari. Akibatnya, sikap berdikari, ketahanan emosi dan mental anak-anak remaja berada pada tahap yang sangat rendah terutamanya apabila mereka tidak mendapat sesuatu yang mereka inginkan, mereka akan cepat untuk berasa kecewa dan tertekan.

Ibu bapa yang terlalu membenarkan dan menuruti kehendak remaja akan menyebabkan remaja tidak mendapat panduan dan nasihat yang baik dalam melangsungkan kehidupan mereka.  Walaupun remaja sentiasa inginkan kebebasan untuk melakukan apa yang disukai, namun remaja dalam masa yang sama masih memerlukan pertolongan dan bimbingan ibu bapa. Sikap ibu bapa yang terlalu menuruti dan sentiasa memberi pujian kepada anak-anak menyebabkan konsep dan efikasi kendiri remaja menjadi terlalu tinggi dan tidak realistik (Ismail et al., 2008).

Hal ini menyebabkan sekiranya remaja mengalami sesuatu kegagalan dalam kehidupan mereka, toleransi terhadap kegagalan tersebut adalah rendah dan secara tidak langsung menyebabkan berlakunya gejala yang tidak sihat.

Tips Untuk Berkomunikasi Dengan Anak-anak Remaja

Berikut adalah beberapa tips yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa dalam berkomunikasi dengan anak-anak remaja :

  • Bercakap atau menegur mereka secara bersendirian dan tidak memarahi mereka didepan orang ramai.
  • Menyatakan kelebihan diri mereka serta menghargainya sebagai sesuatu perkara yang positif (Sandwich Method)
  • Memberi respon yang positif serta rasional kepada mereka terhadap sesuatu jangkaan di samping menolong mereka untuk melihat kebaikan dan ketidaksempurnaan dalam kehidupan.
  • Membantu remaja untuk membuat keputusan melalui kemahiran membuat keputusan yang berkesan dengan memberi ruang kepada remaja untuk menyuarakan pendapat mereka di samping membantu mereka untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu pilihan yang dibuat.

Kesimpulan

Gaya asuhan ibu bapa adalah mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan perkembangan kendiri remaja. Ibu bapa yang mempraktikkan gaya asuhan yang bersesuaian akan dapat membentuk anak-anak remaja yang lebih berkeyakinan, berdikari dan mempunyai daya tindak yang tinggi terhadap cabaran dalam hidup mereka. Pendidikan remaja yang sesuai akan memberi kesan yang positif kepada gaya hidup mereka apabila melangkah ke alam dewasa kelak. Remaja mampu membentuk peribadi yang unggul hasil didikan yang sempurna dari ibu bapa mereka, manakala sebaliknya akan berlaku sekiranya ibu bapa memilih gaya didikan anak yang kurang bersesuaian.

 Rujukan

  • A Yahaya, MS Bahari. 2010. Gaya Asuhan Ibu Bapa Remaja Terhadap Tingkah Laku. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
  • Amla Salleh et. Al. 2010. Peranan Bapa Dalam Pembangunan Sahsiah Remaja Dan Implikasinya Terhadap Nilai Kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia. 35(2)(2010) : 9 -17
  • Anuar Puteh. 2001. Jld. XIX. No.2. Perkembangan Dan Pembentukan Remaja Menurut Perspektif Islam. Kajian Malaysia.
  • Berk. L. E. 2007. (4th ed). Development Through Lifespan. Pearson Education, Inc. US.
  • http://pkukmweb.ukm.my
  • http://www.researchgate.net
  • http://www.positive-parenting-Ally.com
  • Mohammad Jamil Yaacob (2007) Mental Sihat OK Di Rumah OK Di Tempat Kerja. PTS Millinea Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
  • Mohd Haikal Anuar Adnan et. Al. 2015. Gaya Keibubapaan Dan Hubungannya Dengan Kemurungan Dalam Kalangan Remaja. Pusat Pengajian Psikologi Dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Semakan Akhir : 23 Januari 2017
Penulis : Nur Azhana binti Ahmad
Akreditor : Hjh Hashimah binti Abd Razak

 

Artikel Berkaitan

Luka Tembakan : Rawatan Awal

Luka ini berpunca daripada kemasukan peluru atau lain-lain pelontar ke dalam tubuh badan yang menyebabkan kecederaan dalaman yang serius. Luka pada titik kemasukan peluru mungkin kecil dan bersih tetapi luka di dalam mungkin lebih serius serta lebih besar akibat peluru yang berselerak.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,402

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia