A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Osteoporosis

Pengenalan

Ianya adalah penyakit sistemik di mana tulang menjadi lemah dan rapuh menyebabkan kadangkala tulang menjadi begitu rapuh sehinggakan lebih mudah untuk patah, aktiviti-aktiviti seperti membongkok, mengangkat barang atau batuk boleh menyebabkan keretakan.

Ianya merupakan masalah perubatan yang kerap ditemui di kalangan warga tua.Bahagian tulang yang kerap terjejas adalah tulang pergelangan tangan,tulang spina dan tulang pinggul. Komplikasi kepatahan tulang pinggul akibat osteoporosis boleh menyebabkan kadar kematian sehingga 25% dalam tahun pertama. Dijangkakan hanya 25% dari pesakit ini akan kembali ke tahap aktiviti normal.

Pada tahun 1997,kadar kepatahan tulang pinggul bagi individu berumur 50 tahun keatas di Malaysia dianggarkan sebanyak 90 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Ianya lebih ketara bagi wanita lanjut usia.

Sebab

Di dalam kebanyakan kes, tulang mejadi reput dan lemah disebabkan oleh kekurangan kalsium dan fosforus. Osteoporosis juga boleh terdapat pada pesakit yang mengalami masalah hormon ataupun pesakit yang mengunakan steroid yang berlebihan.

Kekuatan tulang adalah bergantung kepada ketumpatan tulang dan ini bergantung kepada tahap kandungan garam kalsium,fosforus dan lain-lain garam dalam tulang. Apabila tahap kandungan garam ini menjadi kurang, tulang akan menjadi lemah. Aktiviti seperti berenang, pilates dan berlari boleh membantu untuk menguatkan tulang dan boleh menghindarkan osteoporosis.

Selepas putus haid, tahap hormon estrogen menurun. Ini menyebabkan kadar pelupusan tulang  meningkat sebanyak 1-3 % setahun dan proses ini akan berterusan. Bagi lelaki kadar pelupusan tulang bermula agak lambat berbanding wanita tetapi akan mejadi sama dengan kaum wanita selepas umur 65 tahun. Dalam usia yang lanjut wanita mungkin akan kehilangan sehingga 35-50 % ketumpatan tulang manakala lelaki akan kehilangan sekadar 25-35% sahaja.

Faktor risiko

Osteoporosis adalah penyakit yang tidak mempunyai gejala pada kebanyakan pesakit sehingga fraktur berlaku. Disebabkan kaedah saringan yang tidak kos efektif, mengenal pasti faktor-faktor risiko adalah penting dalam mendiagnosa penyakit ini.

Risiko yang tidak boleh diubah :

  • faktor umur
  • bangsa ( oriental & Caucasian )
  • jantina perempuan
  • putus darah haid pada umur awal ( kurang dari 45 tahun )
  • kurus
  • sejarah keluarga osteoporosis

Risiko yang boleh diubah :

  • pemakanan yang kurang mengandungi kalsium
  • tidak banyak melakukan aktiviti fizikal
  • menghisap rokok
  • pengambilan alkohol yang berlebihan
  • pengambilan kafein yang berlebihan

Tanda dan gejala

Pada peringkat awal kerapuhan tulang, pesakit tidak mengalami sebarang tanda atau gejala. Apabila kerapuhan telah menyebabkan tulang itu lemah, pesakit akan menunjukkan tanda dan gejala seperti berikut :

  • sakit tulang belakang
  • pesakit akan kelihatan pendek dan bongkok
  • Fraktur pada tulang belakang, sendi pergelangan tangan, sendi tulang pinggul atau tulang lain walaupun oleh kecederaan kecil.

Diagnosa

Doktor boleh mengesan osteoporosis menggunakan berbagai kaedah dan alatan menguji ketumpatan tulang. Ujian yang paling sensitif untuk mengesan osteoporosis adalah DEXA scan (dual energy X-ray absorptiometry). Ujian ini adalah mudah, pantas dan tepat. Ketumpatan tulang bahagian pergelangan tangan, tulang spina dan pinggul boleh diuji. Ujian lain temasuk imbasan CT ataupun imbasan bunyi.

Bilakah masa untuk mendapatkan rawatan?

Rawatan awal adalah penting. Proses kereputan tulang boleh diperlahankan jika penyakit ini dikesan awal. Jika anda berisiko untuk menghidap penyakit ini segeralah berbincang dengan doktor terutamanya bagi wanita hampir atau selepas putus haid .

Rawatan

Selective Estrogen Receptor Modulators (SERMs):

Ubat Raloxifene 60 mg sehari boleh mengekalkan ketumpatan tulang spina dan pinggul. Ia juga mempunyai faedah tambahan iaitu mengurangkan risiko pembentukan kanser payudara.

Bisphosphonates:

Ubatan bisosfonat seperti Alendronate dan Risendronate boleh mengurangkan kadar pelupusan tulang. Ianya boleh mengurangkan kadar kepatahan tulang sehingga sebanyak 50%. Sangat sesuai bagi individu lelaki, muda dan mereka yang menghidap osteoporosis atas sebab pengunaan steroid yang berlebihan. Kesan sampingan ubat ini termasuklah sakit perut dan gastritis.

Calcitonin:

Adalah agen anti pereputan yang diberikan melalui sedutan hidung. Ia juga mempunyai kesan penahan sakit.

Kalsium:

Apabila osteoporosis sudah di tahap teruk, garam kalsium sahaja tidak memadai. Namun ia adalah rawatan tambahan yang boleh digunakan bersama ubatan yang lain.

Vitamin D

Vitamin D sebanyak 800 IU/sehari yang diambil bersama kalsium berkesan untuk mengurangkan kadar osteoporosis pada warga tua.

Pencegahan

Pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi Senaman menolong membina tulang yang kuat dan melambatkan proses kerapuhan tulang

Jangan menghisap rokok

Kurangkan pengambilan alkohol dan kafein

Kurangkan pengambilan kafein

Semakan Akhir : 25 April 2012
Penulis : Dr. Azaiddin Akasah
Penyemak : Dr. Heselynn Hussein

Artikel Berkaitan

Senaman Posnatal

Senaman posnatal adalah untuk ibu-ibu selepas bersalin. Jenis-jenis senaman Di

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,631

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia