A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Diet & Penyakit
  6. /
  7. Pengurusan Diet Kanak-kanak Talasemia

Pengurusan Diet Kanak-kanak Talasemia

Kanak-kanak Talasemia Major yang menjalani pemindahan darah secara tetap dan kerap disarankan untuk mengamalkan diet rendah zat besi bagi mengurangkan pengumpulan zat besi di dalam badan. Kanak-kanak Talasemia Minor tiada pengehadan zat besi yang disarankan. Mereka digalakkan makan secara seimbang bagi memenuhi keperluan tenaga, protein, lemak, vitamin dan mineral yang mencukupi mengikut usia.

Saya penghidap Talasemia. Apa yang boleh saya makan?

Gambar hiasan (sumber: www.guidedplaygames.com)

Pengenalan

Penyakit Talasemia adalah penyakit genetik (keturunan) pada sel darah merah yang boleh diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak. Ia disebabkan oleh perubahan gen yang mengganggu proses pembentukan hemoglobin yang menyebabkan jumlah hemoglobin berkurangan.

Hemoglobin adalah protein di dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen dan zat makanan ke otak dan seluruh badan. Kekurangan hemoglobin menyebabkan kekurangan oksigen di otak dan sel badan yang boleh memberi kesan seperti kurang daya tumpuan dalam pelajaran, kurang cergas, tidak cerdas, letih, mengantuk serta mudah pitam.

Rajah 1 : Perbandingan sel hemoglobin kanak-kanak normal dan kanak-kanak talasemia.

Kategori Penyakit Talasemia

Terdapat 2 jenis talasemia iaitu :

  1. Talasemia Major –> Pesakit talasemia.
  2. Talasemia Minor –> Pembawa; tiada gejala dan kelihatan sihat.

  1. Sel darah merah pada kanak-kanak Talasemia Major boleh hidup beberapa minggu sahaja berbanding empat bulan bagi individu normal.
  2. Kanak-kanak yang menghidap Talasemia Major memerlukan pemindahan darah pada setiap dua hingga empat minggu. Ini penting untuk mengelakkan masalah kekurangan darah dan memastikan tisu badan sentiasa mendapat bekalan oksigen yang cukup untuk menjalankan fungsi tubuh.
  3. Pemindahan darah yang tetap dan kerap menyebabkan peningkatan dan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam badan.
  4. Zat besi berlebihan akan berkumpul di hati.
  5. Apabila simpanan zat besi di hati telah penuh, zat besi berlebihan akan berkumpul di jantung dan kelenjar endokrin.
  6. Zat besi yang berlebihan hasil pemindahan darah boleh dikeluarkan melalui terapi chelation (pengkelatan) sama ada melalui suntikan atau pengambilan secara oral.

Kesan Sampingan Pemindahan Darah

1)  Risiko pengumpulan zat besi di dalam organ badan seperti hati, hati, jantung dan kelenjar endokrin yang boleh menyebabkan organ-organ ini gagal berfungsi :

  • kerosakan pada hati
  • kegagalan jantung
  • kencing manis.

2)  Kelewatan tumbesaran dan baligh terlewat (delayed puberty)

3)  Penyakit tulang / osteoporosis

Saranan Pemakanan

Kanak-kanak Talasemia Major yang menjalani pemindahan darah secara tetap dan kerap disarankan untuk mengamalkan diet rendah zat besi bagi mengurangkan pengumpulan zat besi di dalam badan.

Pengurusan pemakanan bagi diet rendah zat besi adalah seperti berikut:

  1. Mengelakkan makanan tinggi zat besi seperti organ dalaman (hati, limpa, paru), daging merah (lembu, kambing, khinzir), makanan laut (tiram, kerang), stok/pati daging, ikan sardin, ikan bilis.
  2. Mengelakkan makanan dan minuman yang tinggi vitamin C seperti buah-buahan sitrus (buah limau, jus limau, jambu batu, betik) bersama-sama makanan lain yang mengandungi zat besi kerana Vitamin C berupaya meningkatkan penyerapan zat besi. Buah-buahan sitrus perlu diambil berasingan semasa perut kosong.
  3. Mengurangkan penyerapan zat besi dengan mengambil makanan tinggi zat besi dengan sumber kafein seperti kopi dan teh pada waktu hidangan utama.
  4. Mengambil 2 hingga 3 cawan susu skim atau rendah lemak sehari kerana kalsium mencegah penyerapan zat besi di samping melindungi tulang daripada osteoporosis.
  5. Mengelakkan daripada menggunakan kuali besi (wok) untuk memasak. Gunakan non-stick pan (kuali tidak melekat).
  6. Suplemen vitamin C boleh diberikan terutama semasa terapi chelation (pengkelatan) iaitu Desferrioxamine.
  7. Suplemen asid folik boleh diberikan kepada pesakit yang tidak menjalani pemindahan darah atau rutin pemindahan darah yang tidak tetap atau berkala. Asid folik berguna untuk pesakit talasemia dengan low transfusion regime dan jika bercadang untuk hamil.
  8. Suplemen vitamin E berguna untuk pesakit Talasemia. Vitamin E sebagai antioksida dalam mengurangkan radikal bebas dan melindungi sel darah merah.

** Ini berlainan dengan kanak-kanak Talasemia Minor, di mana sekatan zat besi tidak diperlukan dalam diet mereka. Mereka digalakkan makan secara seimbang bagi memenuhi keperluan tenaga, protein, lemak, vitamin dan mineral yang mencukupi mengikut usia.

Saranan keperluan zat besi untuk kanak-kanak :

Umur Keperluan zat besi (mg) sehari
Kurang dari 10 tahun Kurang daripada 6mg
11-17 tahun Lelaki Kurang daripada 10mg
Perempuan Kurang daripada 20mg

Sumber: Recommended Nutrient Intake (RNI) / Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia 2005.

Senarai Makanan Tinggi Zat Besi

Contoh makanan berprotein dengan kandungan zat besi yang tinggi:

Hati, paru, limpa

Daging lembu / kambing / khinzir Ayam
Tiram, kerang Kuning telur Stok/pati daging
Kekacang, kacang soya Tauhu Tempe
Ikan bilis Ikan sardin Minuman berasaskan coklat, coklat (bar)

Sumber : Jadual Komposisi Makanan, 1997.

Contoh makanan dengan kandungan zat besi yang tinggi.

Contoh sayur-sayuran dan buah-buahan dengan zat besi yang tinggi :

Jus oren Jus prun Prun
Kurma, kismis Sayur-sayuran hijau Bayam
Brokoli  Seleri  

Sumber : Jadual Komposisi Makanan, 1997.

Makanan / minuman lain yang diperkaya zat besi:

Oat diperkaya zat besi Bijirin yang diperkaya zat besi Susu formula bayi diperkaya zat besi
Tepung gandum diperkaya zat besi Serbuk kari  

Sumber: Jadual Komposisi Makanan, 1997.

Rujukan

  1. Clinical Practice Guidelines : Management of Transfusion Dependant Thalassaemia. Nov 2009. MOH/P/PAK/195.09 (GU). Ministry of Health. www.moh.gov.my .
  2. Living with Thalassemia, Northern California Comprehensive Thallasemia Center, Children’s Hospital & Research Center, Oakland. 2003-2012. http://thalassemia.com/living-with-thal-nutrition-diet.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Norsuhaila binti Sha’ari
Akreditor : Yeo Pei Sien
Penyemak : Nik Mahani binti Nik Mahmood

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,435,284

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia